السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

24434
Hari ini tiada maklumat yang bermakna untuk disampaikan kepada anda semua, cuma saya ingin menghuraikan nombor rahsia yang merupakan salah satu ibarat yang tertera di atas kad yang dinukilkan oleh I LUVISLAM.COM. Nombor tersebut direkacipta susunannya oleh Hamba Allah yang tidak diketahui gerangannya. Nampaknya telah digunapakai sehingga kini. Ketika saya menjadi guru dahulu nombor ini memang saya juga gunakan untuk menarik perhatian para pelajar kepada kewajipan menunaikan solat.
Di mana solat itu diibaratkan oleh Nabi Muhammad.s.a.w. di dalam sabdanya sebagai tiang Ad.Din ( Islam ), runtuh tiang maka runtuhlah Islam, kata-kata itu boleh membawa perngertian bahawa sesiapa yang tidak menunaikan solat bermakna tiadalah Islam baginya. Solat merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucapkan dua kalimah syahadah, tiada alasan yang boleh diterima bagi seseorang Islam yang sengaja tidak menunaikan solat lima waktu.
Baiklah berbalik kepada nombor itu tadi, saya sering bertanya para pelajar tentang nombor tersebut bagi mengingatkan mereka jumlah rakaat bagi setiap waktu kerana dengan cara ini senanglah mereka mengingatinya. kita menggunakan nombor 999 untuk menghubungi Balai Bomba, dan 222 untuk menghubungi Balai Polis misalnya. Apakah nombor penting yang boleh kita hubungi Allah Taala. Soalan beginilah sering ditanya kepada para pelajar untuk mengingatkan mereka bahawa menunaikan solat itu amat penting dan wajib ditunaikan oleh mereka.
Sebelum itu konsep nombor 24434 itu telahpun dihuraikan kepada mereka iaitu nombor 2 itu ialah membawa maksud solat Subuh perlu ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Zohor 4 rakaat, Asar 4 rakaat, Maghrib 3 rakaat dan Isyak 4 rakaat. Kemudian disatukan menjadi 24434. Itulah rahsia nombor tesebut.
Apabila seseorang itu menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, bermakna individu tersebut telah menghubungi Allah dengan sempurna dan secara berjadual serta tertunailah kewajipannya kepada Allah.
Itulah juga yang dimaksudkan nombor rahsia makna tersirat yang tertera sebagai tajuk 'entry' ini.
Ada sesiapa yang belum mengetahuinya sebelum ini. Sebenarnya ini adalah pendekatan secara bergurau dan suka-suka serta main-main dengan kanak-kanak yang sememangnya suka pendekatan seperti ini.
Berguraulah selalu dengan anak-anak mengenai perkara ini.
Nampaknya dah panjang nanti jemu membacanya, hanya sekadar ini dahulu.
Sekian.Wassalam.