Showing posts with label Ketagih benda-benda kotor.. Show all posts
Showing posts with label Ketagih benda-benda kotor.. Show all posts

Tuesday, June 30, 2009

Ketagih rokok. - Wanita.

Gambar hiasan.


Salam semua.

Pada pagi ini saya terasa ingin menulis sesuatu walaupun tiada bahan yang menarik untuk disebarkan kepada kekawan, keinginan untuk menulis amat penting kerana keadaan itu boleh menggamit idea datang mencurah-mencurah untuk dinukilkan di atas kaca laptop Toshiba kesayanganku ini, sama ada dibaca atau tidak itu terpulanglah kepada keadaan dan takdir. Kalau ada yang membacanya alhamdulillah, kalau sebaliknya pun sekurang-kurangnya saya mendapat kepuasan meluahkan apa yang tersimpan di dalam minda.

Tadi jam 7.40 pagi saya menefon Hj.Ramli jiran saya ketika tinggal di Sg.Layar Hujung dahulu menanyakan khabar kekawan di sana, katanya dua daripada kawan kami masuk hospital Sg.Petani, saya doakan semoga mereka cepat sembuh, disamping itu saya juga bertanyakan tentang " Kursus Cara-Cara Mengerjakan Haji " iaitu topik sebelum ini yang telah saya poskan untuk bacaan umum di dalam laman blog ini, beliau menyatakan bahawa kursus itu sedang berjalan dan berbaki dua siri lagi, beliau juga meluah perasaan seronok dan gembiranya kepada saya kerana kehadiran peserta bertambah ramai dan wang derma pun meningkat, dengan maklumat itu saya pun membuat beberapa pindaan fakta pada "entry" yang lalu itu supaya akur dengan keadaan sebenar.

Selepas berbual-bual dengan Hj.Ramli melalui telefon, saya keluar ke Tesco Extra untuk kudapan dan membeli sedikit barang keperluan, sebelum masuk ke dalam ruang membeli- belah, saya singgah dahulu di Restoran Kayu Nasi Kandar pekena Me goring dan teh o nipis. sedang menikmati me goring , tiba-tiba seorang wanita dalam lengkongan usia 40an, rupanya cantik dan masih manis, walaupun kemanisannya semakin menurun tetapi beliau masih termasuk di dalam golongan orang yang cantik, itu pada hemat saya ...hehehe..., saya pun tengok secara curi-curi sahaja, maksudnya saya melihat ketika beliau melihat ke arah lain.

Sebenarnya pada awal kehadirannya ke restoran saya hanya melihat sepintas lalu sahaja, tumpuan saya menjadi lebih sedikit apabila lepas makan beliau menghisap rokok, saya tidak melihatnya ketika beliau menyalakan api rokok kerana beliau bukan menjadi tumpuan saya sebelunya kerana asap yang berkepul-kepul dari mulutnya itu menyedarkan mata saya barulah beliau menjadi tumpuan saya.

Apabila saya melihat keadaan itu timbul rasa kesian kepadanya kerana terperangkap dengan ketagihan rokok itu, saya tertanya-tanya di dalam hati bagaimana agaknya beliau mula terperangkap dengan ketagihan tersebut, kalau beliau seorang lelaki saya dapat agak jejaknya kerana saya sendiri pernah ketagih rokok 20 tahun yang lalu.

Pada zaman dahulu terdapat sebuah bakul khas diperbuat daripada daun mengkuang untuk mengisi sireh, pinang, kapur, kacip, tembakau, daun rokok dan curut, demikianlah setnya yang ada di dalam bakul tersebut, setiap kali tetamu datang itulah yang akan dihidangkan terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti dengan kopi atau teh dan lain-lain. sebab keadaan itu terdedah maka senanglah saya mencubanya tetapi masyarakat dahulu hanya ketagih merokok sahaja tidak melarat kepada ketagih yang lain.Ada juga ketagih candu tetapi bilangannya sangat sedikit dan terpencil.

Menyambung cerita tadi, di dalam hati dan minda saya terasa ingin membantunya untuk beliau berhenti daripada tabiat merokok itu kerana kalau beliau berhenti merokok saya pasti wajah beliau akan kelihatan lebih ceria dan manis serta menawan. Zaman dahulu ramai wanita ketagih rokok sama ada curut atau rokok daun, sebab itu setiap rumah disediakan bakul seperti yang saya sebutkan tadi ( merujuk kepada kanpung saya ) tetapi ketika itu tidak pula saya berasa pelik atau sumbang, mungkin saya masih kanak-kanak belum pandai menilainya .

Sungek, curut , rokok, gam, arak, dadah adalah sesuatu yang kotor dan memudaratkan bagi mereka yang minum, menghidu atau menghisabnya. Semua manusia menyedari perkara ini tetapi manusia tetap ingin merasainya, bukan hanya setakat ingin merasainya sahaja, malah berulang-ulang kali merasainya sehingga ketagih, mengapakah manusia suka mengambil atau menghisap benda-benda kotor sehingga ketagih, Kalau dikaji benda-benda kotorlah yang menjadi bahan tarikan kepada manusia sehingga menjadi ketagih. Saya dapati benda-benda kotor inilah menjadi bahan ujian Allah kepada manusia. Di dalam kekotoran terdapat pula sedikit kebaikan dan kelazatan, begitulah Maha Kuasa dan Maha Bijaksana Allah mencipta sesuatu.

Keinginan untuk membantu wanita tadi supaya hilang ketagih merokok hanya menjadi angan-angan sahaja, apa yang boleh saya lakukan untuk kebaikannya sekadar berdoa semoga Allah memberi taufik dan hidayah yang mencukupi sehingga beliau mampu meninggalkan ketagihan tersebut.

Semasa saya di ambang berhenti ketagih merokok dahulu dan setelah sedar akan keburukan dan kerugian akibat perbuatan tersebut, saya merokok di hadapan cermin dan merenung wajah sendiri, apabila dilakukan demikian saya sedari bahawa ketika saya merokok kelihatan wajah saya begitu huduh dan sama sekali tidak kelihatan hebat , malah kelihatan bodoh dan mundur. Akhirnya saya mengambil keputusan berhenti merokok ketika umat Islam sedang menunaikan kewajipan puasa Ramadan. Maknanya saya memilih bulan tersebut sebagai titik permulaan berhenti merokok. Alhamdulillah berjaya.

Pada hemat saya, mereka yang terjebak dengan ketagihan merokok dan lain-lain ketagihan memerlukan taufik dan hidayah yang tinggi sehingga mampu melawan ketagihan tersebut, disamping usaha-usaha yang lain.
Hidayah dan taufik yang dikurniakan Allah mampu mengubah minda yang terperangkap dengan ketagihan itu kepada ketaatan kepada Allah, di mana Allah sukakan Kebersihan dan kesucian seperti mana diajar Rasulullah.s.a.w. oleh itu orang yang terlibat dengan gejala tersebut akan bertekad meninggalkan layanan ke arah memenuhi keperluan ketagihan tersebut .
_______________

Maksud firman Allah,
Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan; karena sesungguhnya setan itu adalah musuh yang nyata bagimu.
Surah Al.Baqarah (168)
_______________

Sekian.Allah Maha Mengetahui.