Wednesday, May 13, 2009

Kisah benar yang sukar dipercayai.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Kisah ini telah lama berlaku dan beberapa kali terlintas di minda untuk menceritakanya di laman ini, kekadang rasa tidak sampai hati untuk mengisahkannya kerana perkara ini berlaku pada anak murid sendiri, anak murid sendiri terasa seperti anak sendiri kerana memikirkan kisahnya mungkin dapat membuka minda pembaca maka terpanggil pula untuk menceritakannya, walaupuin tidak menyebut atau memaparkan namanya di sini, di dalam minda tetap terbayang individu tersebut .

Kisah ini sangat sesuai dibaca oleh ibubapa supaya ibubapa yang mempunyai anak remaja dapat meyakini bahawa kita sebagai ibubapa sebenarnya mengenali anak kita dalam versi yang tidak sama dengan versi yang dikenali oleh orang lain di luar sana. Mungkin kita melihat anak kita bulat dan cantik tetapi orang lain pula melihat anak kita empat persegi dan tidak berapa cantik.

Kisahnya begini.
Seorang pelajar perempuan telah gagal di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Tahap prestasi yang dicapainya membolehkan beliau mengulang belajar semula di tingkatan 5. Keputusan SPM biasanya diumumkan pada bulan Mac pada tiap-tiap tahun, Kelas untuk murid mengulang ini biasanya dibuka pada bulan April. Pelajar ini tidak memohon untuk mengulang tetapi pada tiap-tiap hari beliau memakai pakaian sekolah dengan lencana sekolah lamanya. Pada tiap-tiap pagi hari persekolahan beliau akan dihantar oleh bapanya ke sekolah dan diturunkan tidak berapa jauh dari pintu pagar utama sekolah.

Begitulah seorang bapa yang prihatin menghantar anaknya ke sekolah pada tiap-tiap hari persekolahan sehinggalah akhir bulan November iatu setelah selesai peperiksaan SPM tahun tersebut. Harapan ibubapa tentulah pada tahun ini anak mereka tidak gagal lagi seperti tahun sebelumnya.

Pada bulan Mac tahun berikutnya keputusan peperiksaan SPM pun diumumkan, apakah yang berlaku di antara ibubapa dengan anaknya pada minggu pengumuman tersebut tidaklah diketahui tetapi beberapa minggu kemudian bapa dan anaknya datang ke sekolah untuk mengetahui keputusan peperiksaan tersebut, kebetulan pada hari itu guru yang mengendali peperiksaan SPM menghadiri mesyuarat di tempat lain, tidak pasti tempatnya, walau bagaimanapun guru penolongnya masih berada di sekolah, Maka guru ini pun menyemak Helaian Daftar Pelajar bagi Peperiksaan SPM pada tahun tersebut, puas guru tersebut mencari nama yang diberikan itu tetapi nama itu tidak tersenarai di dalam helaian tersebut.

Bapa murid ini mulai merungut dan marah kepada guru tersebut kerana pada hematnya anaknya telah berkali-kali datang untuk mendapat keputusan tetapi gagal mendapatkannya oleh itu beliau datang sendiri dengan penuh sangkaan buruk terhadap sekolah , suara tingginya tidak dapat ditahan lagi, guru tadi yang bertugas atas tiket menurut perintah terpaksalah beralah sepanjang masa.

Guru penolong itu menyatakan bahawa berdasarkan helaian pendaftaran ini ternyata anaknya tidak didaftarkan untuk menghadiri peperiksaan, bapa tadi berkali-kali menyatakan anaknya memang mengulang di sekolah tersebut dan dihantar pada tiap-tiap hari persekolahan.

Guru beralah dan meminta bapa dan anaknya datang pada keesokan harinya kerana pada hari tersebut ketua bahagian pendaftaran dapat menyemak dan memberi penjelasan sendiri kepada beliau.

Esoknya mereka berdua datang sekali lagi dan berjumpa dengan guru yang dimaksudkan, guru tersebut tidak mengambil masa yang lama terus sahaja memaklumkan bahawa nama anaknya memang tiada di dalam daftar tersebut. Bapa enggan menerima kenyataan itu kerana anaknya bertegas bahawa beliau memang mengulang di sekolah itu.

Disemak nama dalam buku daftar pelajar tingkatan 5 pun tidak tersenarai namanya, namun demikian murid ini tidak mahu beralah beliau terus menyatakan beliau memang mengulang.
Penerangan diberikan sampai ke tahap itupun beliau masih tidak berpuasa hati dan masih menaruh syak bahawa pihak pengurusan sekolah tidak menguruskannya dengan penuh tanggungjawab.
Untuk memerangkap bekas pelajar tersebut beliau diminta supaya membawa beberapa buah buku latihan atau catatan sebagai bukti bahawa beliau memang hadir sebagai pelajar mengulang seperti didakwanya.

Demikianlah sikap bapa budak ini yang menaruh kepercayaan terhadap anaknya pada tahap yang tersangat tinggi tanpa syak wasangka sedikit pun sehinggalah ke penghujungnya, pada hal beliau juga seorang kakitangan kerajaan yang tentunya mempunyai pelajaran di peringkat asas seperti orang lain juga tetapi sikap telah menggagalkan perancangan yang sangat penting untuk anaknya.

Mereka berdua pun balik dan dalam jangka masa yang tidak begitu lama pihak sekolah menerima panggilan telefon. Dengan perasaan yang amat sedih dan pilunya bapanya memohon maaf, katanya selama ini beliau ditipu oleh anaknya selama hampir setahun, sedang beliau beranggapan bahawa anaknya ke sekolah mengulang belajar untuk mengambil peperiksaan SPM buat kali kedua. Rupa-rupanya beliau menipu diri sendiri dan keluarga seluruhnya.

Apakah punca budak perempuan ini bertindak demikian rupa perlulah kita renungi, mempersalahkan anak remaja ini sepenuhnya rasanya kurang tepat, kemungkinan juga terdapat kelemahan dan kesilapan di mana-mana di luar atau di persekitaran pelajar tersebut.


Sekian. Wallahu aklam. wassala
m.

12 comments:

Ad Rifza said...

Rasanya tidak perlu dipaksa atau disuruh untuk belajar jika tdak berminat...Masih byk peluang lain yg dapat menjurus kpd minat seseorang skrg..

Leenoh said...

Salam Ad.Rifza,
Mungkin juga pelajar tersebut dipaksa oleh ibubapa utk mengulang tetapi yang hairannya di mana dia berada sementara menunggu bapanya datang ambil utk pulang, sebab datng dihantar, balik diambil, nasib baik pada ketika itu ruang kejahatan masih kurang.

AyKay said...

itulah manafaatnya ibubapa utk 'involve' dlm pendidikan anak2, takkan selama setahun tak tengok langsung kerja2, latihan2 sekolahnya. tambahan pula dah mengulang. mana boleh lepas tangan je.

kesimpulan; apa2 perkara buruk berlaku, lihat diri sendiri... dimana kita.
tq for the story

Leenoh said...

Salam Aykay.
Ya. memang di situlah kelemahannya, semasa di sekolah dulu budak ini termasuk di dalam kalangan pelajar yang baik akhlaknya.
Saya sendiri terperanjat dan sukar hendak percaya perkara seperti itu boleh berlaku.
Kata orang kepada anak-anak ni, percaya boleh harap jangan sepenuhnya.

sentosa77 said...

Salam.. kesian bapa budak peempuan tu, itulah anak2 zaman sekarang, ada segelintirnya yng tidak mengenang jasa ayah dan ibu..

Leenoh said...

Salam Zaidon.
Zaidon apa khabar, semoga sihat walafiat.
Memang kesian, kata orang kepala sama hitam tapi hati lain-lain.
Marilah kita berdoa semoga akhirnya diberkati Allah jua.

Dee said...

bila terkenang kesungguhan ayahnya menghantar anaknya ke sekolah..kasihan..

Leenoh said...

Salam Dee.
Memang kasihan, kesungguhan telah wujud tetapi bidang yang perlu diperhatikan itu tidak menyeluruh.

buNga said...

salam p.Ngah...

duhhh.......... lama tul budak tu nipu bapak dia baru dpt di kesan... hmmm... (kataku sambil mengkerut kening)

AQisH said...

salam..
dh lama x jenguk sini
pakngah pekabar ;-)

nice story..mmg ibu bapa kena ambil berat perihal sek. anak² kan..tq for sharing

Leenoh said...

Salam.
Pak Ngah istiqamah mengunjungi laman blog AQisH kerana blog anda di antara blog terawal Pak Ngah kunjungi dan beberapa rakan anda.
Sebenarnya Pak Ngah baru sahaja kenal blog, bila kenal terus buka lamannya, kenal blog belum sampai setahun.

Berbalik kepada anak-anak, kita amat bertuah bila dikurniakan anak yang baik, anak yang baik ianya berwajah satu, di depan kita atau di depan orang lain sama sahaja.
Tetapi anak yang nakal memiliki banyak wajah, di depan kita ok tapi di belakang lain pula halnya.

Semoga Allah kurniakan anak-anak yang baik kepada kita. Insya Allah.

Leenoh said...

Salam buNga.
Pada mulanya Pak Ngah tidak sampai hati nak cerita tetapi memandangkan terdapat banyak pengajarannya maka dinukilkan di sini.
Mesejnya supaya ibubapa menyedari bahawa perkara seperti boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, jika kita terlepas pandang.