Tuesday, October 5, 2010

Perlembagaan sesuatu parti menjurus pemimpin dan ahlinya beristiqamah pada matlamat yang ditujui.

Salam semua.

Minda saya masih ingin menulis mengenai politik walaupun pengetahuan mengenainya sangat sedikit dan nipis bak kulit bawang. Apa pun saya akan menulis hanya sekadar kulit bawang itulah juga supaya kupasannya tidak melalut dan menyeleweng ke arah lain. Berdasarkan pengalaman yang lalu terdapat juga pemimpin di dunia yang sangat berpengaruh sehingga mindanya itulah seolah-olah menjadi perlembagaan parti, sekiranya ini berlaku sangat berbahaya kepada rakyat dan negara, Untuk mengelakkan ini berlaku parti perlu melazimkan diri melatih dan mendidik ahli-ahlinya supaya memahami perlembagaan parti dan mematuhinya.

Dengan cara tersebut di atas barulah para ahli tidak menjadi pak turut semata-mata, sebaliknya berfikir secara aktif dan kreatif. Pemimpin juga tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan bahawa mereka berjuang untuk itu dan ini tetapi tiada sebaris pun yang dinyatakan secara bertulis dan terancang di dalam perlembagaan parti. Masakan perjuangan penting tidak dinyatakan di dalam perlembagaan parti, situasi ini akan dipersoalkan oleh ahli parti yang cerdik dan bijak.


Perlembagaan sesuatu pertubuhan ialah garis panduan yang mesti dipatuhi setiap ahli sama ada ahli biasa atau pemimpinnya, di dalam panduan tersebutlah perkara yang boleh dilakukan atau dilarang melakukannya dicatat dengan jelas dan nyata, batasannya diwujudkan sebaik mungkin.Biasanya perlembagaan inilah yang berkuasa, kuasanya melebihi kuasa yang dimiliki pemimpin, sebab itulah kekadang terdapat pemimpin yang tersirat agenda dirinya, mereka akan cuba mengelak dari mematuhi perlembagaan dengan alasan yang berbagai-bagai bertujuan mencapai matlamat dirinya yang tersirat di dalam hati.Ada kalanya perlembagaan yang dirasakan menjadi penghalang kepada kumpulannya untuk terus berkuasa akan dibuat pindaan dengan memberi hujah yang kelihatan baik tetapi lazimnya hanya untuk seketika sahaja kerana hakikatnya tidaklah menjadi lebih baik daripada yang asal. Perkara ini akan senang berlaku sekiranya para ahlinya tidak didedah dan dididik untuk memahami perlembagaan .

Kesedaran terhadap perlembagaan parti menyebabkan perlembagaan itu dapat mengawal para pemimpin dan para ahlinya, mereka akan mentadbir dan mengurus berdasarkan kehendak dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh parti . Para ahli tidak lagi menjadi pak turut kepada pemimpinnya melainkan para pemimpin yang beristiqamah mematuhi perlembagaan.

Pada hemat saya masyarakat kita masih mengabaikan hal ini.

Sekian...Wallahu aklam.

No comments: