Wednesday, October 27, 2010

Pada hakikatnya tiada siapa yang mampu membakar al.Quran.

Salam semua.

Realitinya membakar al.Quran bukan umpama membakar sebuah rumah.
Berita sekumpulan manusia yang ingin membakar al.Quran telah lama berlalu tetapi ingatannya akan melekat di dalam minda orang Islam yang telah membaca dan mengetahuinya kekal buat selama hidupnya kerana ianya tidak akan berlalu begitu sahaja, sebaliknya telah dicatatkan di dalam sejarah yang pahit dalam pergaulan dan sosial manusia ciptaan Allah yang hidup di dunia fana ini.
Pada hakikatnya al.Quran itu ialah sebutan atau lafaz di dalam bahasa Arab beserta makna dan maksudnya yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad.s.a.w. melalui malaikat Jibril.a.s.
Merujuk kepada asalnya, al.Quran ini tersimpan di dalam dada ( hafaz) Nabi Muhammad.s.a.w. bukannya ditulis di atas kulit, pelepah tamar, kertas atau di atas skrin komputer.

Dari dada Nabi Muhammad.s.a.w.kemudiannya berkembang ke dalam dada sahabat-sahabat Rasulullah.s.a.w kerana mereka mempelajari dan juga menghafaz setiap kalimah dan ayatnya, setelah itu barulah datang minda kreatif menulisnya di atas pelepah tamar, kulit binatang dan lain-lain seperti yang disebutkan di atas.Jika dibakar semua bahan yang tercatat al.Quran itu tidak bermakna al.Quran telah terhapus dan akan lenyap di dunia ini, Allah menjamin ianya akan kekal sehingga dunia ini musnah.Walau bagaimana pun perbuatan jahat ingin membakar al.Quran untuk menghinanya itu perlulah ditentang dan dihalang oleh orang Islam kerana perbuatan itu telah melampau dan terkeluar dari persekitaran akal yang waras.

Membakar al.Quran bukanlah umpama membakar sebuah rumah, setelah dibakar maka hanguslah rumah itu, kemudian hilanglah segala perkara dan objek mengenai rumah tersebut melainkan tinggal habuknya dan pada ketika itu ianya tidak berguna lagi.Tetapi, jika semua kitab al.Quran dibakar pun, al.Quran tidak akan lenyap di dunia ini kerana al.Quran itu sebenarnya tersimpan di dalam dada orang Islam di seluruh dunia, itulah keistimewaan dan keajaiban al.Quran yang tiada pada kitab-kitab lain seperti Taurat ( Musa ), Injil ( Isa ) dan Zabur ( Daud ). semua kitab ini tiada lagi naskah asalnya, kalau dikatakan ada dan masih digunakan ianya bukanlah yang asal, sebaliknya telah hilang sebahagian besar kandungannya kerana ditambah atau dipinda oleh manusia atas matlamat dan kepentingan diri mereka. maka jadilah kandungannya tidak sama di antara satu sama lain, tegasnya kitab-kitab tersebut tidak layak lagi disebut atau dinamakan atas nama asalnya.

Baca dan kaji dahulu.
Mereka yang terlalu benci dan fobia dengan al.Quran disyorkan supaya mereka membaca dan mengkaji al.Quran itu terlebih dahalu, kenalilah al.Quran itu terlebih dahalu ( Tidak kenal maka tidak cinta ) , tiada sebarang buku atau kitab sehebat al.Quran di dunia ini, untuk mengetahui dan mengesahkannya anda perlu membacanya sendiri, setelah anda faham anda akan dapati bahawa al.Quran itu luarbiasa, anda akan menyesal dan menangis kerana telah terlewat mengenali al.Quran yang sepatutnya anda telah lama membaca dan mengkajinya, anda akhirnya tidak mungkin lagi mampu membohongi diri sendiri dengan mengatakan bahawa al.Quran itu tidak benar atau palsu.


Siapakah lebih buruk dan hina.
Sesuatu tindakan yang hanya berdasarkan andaian tanpa bukti tentulah tidak dapat dianggap perbuatan itu bertamadun atau maju, sebaliknya inilah yang dikategorikan sebagai jahiliyah atau sesat haluan hidup , mereka sebenarnya sangat memerlukan al.Quran untuk mensejahterakan hidup mereka yang penuh dengan andaian dan tuduhan yang sebahagian besarnya tersasar dari landasan yang sebenar, mereka perlu mengenal diri sendiri dengan membaca dan mengkaji al.Quran, kalau masih degil dan tidak mahu membacanya mereka akan hidup di dalam keadaan yang buruk dan hina kerana sebahagian besar tindakan mereka akan dimurkai Allah.

Kenalilah Allah Yang Maha Esa ( wahdaniah) .
Perkara yang paling utama dalam hidup ini atau dalam beragama ialah mengenal Allah ( Tuhan ) yang mencipta alam ini, termasuk mencipta diri kita kerana kita juga sebahagian dari alam yang dimaksudkan, ini adalah titik permulaan pengajian, inilah juga tertibnya, selepas mengenal Allah barulah beralih kepada mengenali perkara lain yang berkaitan dengannya, tanpa mengenal Allah terlebih dahulu segala pengajian dan amalan kita akan menjadi sia-sia, setelah anda membaca dan mengkaji al.Quran dengan mendapat bantuan mereka yang pakar dalam bidang tersebut ( ulamak ) nescaya anda akan berjumpa dan menemui jalan yang lurus dan selamat di dunia dan di akhirat.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: