Wednesday, October 20, 2010

Betapa pentingnya hubungan silaturrahim.


Salam semua.

Artikel kali ini ingin menukilkan sorotan kembali pengalaman dan pemerhatian penulis terhadap kehidupan yang telah lalu, setiap individu sudah tentunya mempunyai pengalamannya masing-masing , cumanya berbeza di antara satu sama lain, pendedahan ini bukanlah ingin mengutuk atau mengumpat sesiapa, kita sebenarnya tidak layak mengutuk dan mengumpat sesiapa pun kerana masing-masing mempunyai kelemahan dan dosa.Nukilan ini hanya sebagai peringatan untuk diri sendiri dan mungkin juga boleh dikongsikan bersama , juga mengharapkan kebajikan dan kebaikan kerana menganjurkan perkara baik akan menghasilkan kebaikan jua. Menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada perkara makruf serta mencegah kemungkaran merupakan perintah Allah yang sering diulang peringatannya.

Hubungan silaturrahim.
Betapa pentingnya hubungan silaturrahim sesama Islam telah digambar dan dinukilkan dengan jelas dan nyata di dalam al.Quran dan al.Hadis sebagai peringatan kepada manusia dan umat Islam khasnya.Umat Islam yang telah sampai seruan ini tidak seharusnya mengabaikan begitu sahaja saranan tersebut.Mereka hendaklah sentiasa membuat semakan dan muhasabah diri secara ikhlas dan jujur dengan menyedari Allah sentiasa memerhatikan hamba-Nya.
________________________________

Terdapat peringatan di dalam al.Quran yang bermaksud;
"(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (22)
(Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya (23)
(Surah Muhammad).

Peringatan dari al.Hadis;
" Tidak masuk syorga orang yang memutuskan silaturrahim"

______________________________

Hubungan silaturrahim bukan sekadar bersaudara atau berkawan, bersaudara atau berkawan ianya boleh berlaku kerana kebetulan, iaitu melalui kelahiran atau pergaulan, melalui kelahiran kerana dilahirkan oleh ibu yang sama, maka semua yang dilahirkan oleh ibu tersebut jadilah saudara , manakala melalui pergaulan disebabkan muamalat atau aktiviti kehidupan harian maka berlaku hubungan sebagai kawan rakan, hubungan ini tanpa disemai dan dimasukkan roh yang dihubungkaitkan dengan perintah Allah, ianya akan menjadi hubungan biasa yang tiada akan dinilai oleh Allah Taala.Hubungan silaturrahim sesama saudara Islam perlu ada muhabbah atau kasih sayang kerana Allah Taala. Semua hubungan tersebut dilaksanakan kerana melaksanakan suruhan dan perintah Allah.

Hubungan ukhuwah dan muhabbah.
Hubungan ukhuwah dan muhabbah ( bersaudara dan kasih sayang) akan bernilai kiranya jalinan itu dilakukan kerana mematuhi perintah Allah tetapi bukannya secara adat atau kebetulan sahaja.

Kemahiran berbuat demikian bukanlah sesuatu yang senang dan enteng kerana terdapat di kalangan mereka yang berpelajaran tinggi pun masih tidak mampu melaksanakannya, berpelajaran tinggi yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang memiliki kelulusan ijazah Sarjana Muda dan ke atas pun gagal melaksanakan tuntutan ini. Sebaliknya mereka yang memiliki kelulusan atau pelajaran yang bertaraf sederhana atau yang lebih rendah mampu pula merealisasikan tuntutan tersebut. Sesungguhnya manusia memerlukan hidayah dan taufik dari Allah. Untuk merealisasikan suruhan ini manusia memerlukan pelajaran, pendidkan yang disepadukan dengan taufik dan hidayah dari Allah.Dengan itu kita hendaklah sentiasa memohon untuk mendapatkan taufik dan hidayah Allah itu.

Hubungan silaturrahim ialah hubungan yang dijalin semata-mata kerana Allah, berkasih kerana Allah, berjumpa kerana Allah dan berpisah jua kerana Allah. Semua perkara yang berlaku yang bersabitkan silaturrahim adalah kerana Allah.

Antara perkara pengerat dan penghalang silaturrahim.
Perkara yang boleh mengerat dan mengakrabkan silaturrahim ialah aktiviti yang boleh menyentuh hati seseorang individu seperti bertegur sapa, tolong menolong, memberi bantuan, bersedekah, ziarah menziarahi di antara satu sama lain.

Allah itu bersifat Maha Pengasih, Pengampun dan banyak lagi sifat-sifat kesempurnaan yang lain. maka kita sebagai hamba-Nya hendaklah menghayati sifat-sifat tersebut dan melaksanakannya sekadar daya manusia seperti berkasih sayang kerana Allah, suka memaafkan orang lain, berbaik sangka dan seumpamanya.

Penghalang kepada hubungan silaturrahim juga melibatkan hati dan perasaan seperti ego, sombong diri, buruk sangka, mempercayai kepercayaan karut yang melampau batasan akal biasa, sangat sukar memberi kemaafan kepada orang lain, tidak bermuhasah secara jujur, tidak berasa suatu keuntungan apabila memaafkan orang lain dan seumpamannya.

Sekian...Wallahu aklam...Wassalam





No comments: