Thursday, October 21, 2010

Mulianya Melayu kerana Islamnya.

Salam semua.

Pada hematku.
Melayu tanpa Islam hidup mereka mungkin akan dipenuhi dengan kepercayaan karut, bersabung ayam dan kerbau,ilmu hitam, berjudi dan tidak lekang dek adat, termasuk adat-adat yang karut marut yang membazirkan serta mengamalkan sistem riba, Dalam suasana demikian akhirnya Melayu beruntung dan sangat beruntung kerana Allah mengurniakan nikmat Islam kepada mereka, Dengan nikmat Islam itu sebahagian besar daripada orang Melayu telah meninggalkan amalan buruk tersebut, walaupun masih ada bakinya, yang berbaki itu masih terus menerus mengamalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.

Orang Melayu yang terus mengamalkan amalan lama itu masih selesa dan langsung tidak risau dengan sistem riba dan mereka sentiasa mengutamakan kebendaan dan kekayaan serta keseronokan dunia, amalan ini dapat dilihat melalui cara setengah daripada mereka menyambut Hari Raya khasnya Raya Puasa, juga cara berpakaian, cara mereka memprogramkan khenduri kahwin ,cara menyambut dan menguruskan kelahiran serta juga cara menyambut hari kelahiran. Dalam acara dan aktiviti sambutan tersebut mereka akan mengabaikan saranan yang dibuat oleh Islam, terdapat juga di antara mereka yang melabelkan saranan Islam itu sebagai kolot dan ketinggalan zaman.

Melayu menumpang Islam.
Kehidupan orang Melayu menumpang Islam , termasuk Melayu yang mengabaikannya, mereka yang mengabaikan Islam biasanya terdiri daripada mereka yang kurang faham ajaran Islam secara menyeluruh dan hanya memiliki pengetahuan Islam sekadar peringkat menengah yang tentunya pengetahuan yang diperolehi itu ketika mereka masih muda remaja, ditambah pula sukatan pelajarannya tidak mencakup keseluruhan bidang yang dituntut , Biasanya selepas itu mereka tidak berminat lagi untuk meneruskan pembelajaran sama ada secara formal atau tidak formal yang sangat mudah didapati itu. Sekadar itulah gambaran Islam mereka walaupun mereka memiliki pengetahuan tinggi dalam bidang yang lain yang tidak disepadukan dengan nilai Islam.Terdapat pula di kalangan mereka ini orang yang berpengaruh dengan itu berkembang dan tertanamlah pula nilai itu ke dalam prinsip hidup pengikutnya, sehingga menolak atau mengabaikan pula nasihat ulamak pada perkara yang tertentu yang berlaku di dalam masyarakat.Ulamak tidak menjadi idola kerana disangkanya Islam itu hanya sebahagian daripada hidup yang berdiri sebaris dengan amalan-amalan yang lain, berbeza dengan mereka yang berminat dengan kehidupan Islam, mereka ini sentiasa sahaja menambahkan ilmu pengetahuan Islam untuk disepadukan dengan ilmu keduniaan yang mereka miliki sehingga mereka berjaya menjadi orang Islam yang baik dan taat Allah, mungkin mereka itu seorang doktor, jurutera, perunding, akitek dan seumpamanya.

Mulianya Melayu kerana Islam.
Tidak dapat dinafikan lagi kemuliaan orang Melayu itu bergantung kepada sejauh mana mereka mengamal dan menghayati Islam, Mulia yang dimaksudkan di sini ialah kemuliaan yang hakiki yang diiktiraf dan diakui oleh manusia dan Allah, Bukan kemuliaan yang dilabelkan kerana individu Melayu itu memiliki kekayaan, kekuasaan atau pangkat kebesaran yang dikurniakan oleh sesuatu pihak yang mana mereka juga manusia.


Perlu buat anjakan.
Sekiranya kita ingin mendapatkan manfaat daripada kemuliaan orang Melayu itu maka kita perlulah membuat anjakan, kita perlu mengakui bahawa Islam itu adalah suatu cara hidup yang lengkap dan ambillah cara hidupnya serta praktikkan di dalam pentadbiran negara secara bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas, tinggalkan cara hidup yang lain, Islam bukan salah satu serpihan daripada aktiviti hidup yang melengkapkan kehidupan dunia, malah ianya cara hidup ciptaan Allah yang lengkap dan sempurna mencakup dunia dan akhirat, jika diamalkan dan dipatuhi sepenuhnya manusia akan selamat di dunia dan di akhirat.

Sekiranya kemuliaan Melayu itu hendak dijadikan lambang dan teras perjuangan, semestinya kita perlu membuat anjakan secara total kepada dasar yang dianjurkan oleh Islam supaya Melayu menjadi mulia dan terus mulia.Kemuliaan Melayu hanya berupaya dijana melalui penghayatan cara hidup Islam. Cipta dan wujudkan persekitaran Islam yang mesra alam, bak kata pepatah sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit, ayuh tepuklah dada, buka minda dan tanyalah iman, kalau tidak lakukan demikian, bermakna situasinya kita masih lagi meneruskan pembinaan bukit dan benteng pasir yang akhirnya akan runtuh dan merudum lagi sebagai pengiktirafan kepada kejahilan kita.

Sekian...wallahu aklam...wassalam.

No comments: