Thursday, October 21, 2010

Jasa jangan dipamerkan keterlaluan.

Salam semua.

Kalau kita telah berjasa dan banyak memberi sumbangan jangan terlalu mempamerkannya kerana perbuatan itu akan memuakkan orang dan menyebabkan mereka mencari pula kelemahan dan kekurangan kita untuk memastikan benarkah jasa kita itu hakiki atau hanya kebetulan sahaja atau hanya wujud sambil menyelam sambil minum air.Jasa boleh sahaja dipamerkan atas kadar sederhana dan seadanya sahaja untuk menjadi teladan kepada umum.

Apakah sebenarnya yang ditakrifkan sebagai jasa, bagi penulis jasa itu dihasilkan melalui usaha yang ikhlas oleh orang yang berjuang untuk memajukan agama dan anak bangsanya serta negara yang tercinta, jauh sekali membuat sesuatu sambil mengharapkan keuntungan diri dan mengambil kesempatan di atas jasa tersebut untuk mempromosi diri atau kumpulannya.

Sumbangan ala Robin Hood tentulah tidak layak disebut jasa kerana Islam tidak menghalalkan cara untuk mencapai sesuatu matlamat. Sebagai contoh; Perbuatan menjaga dan menyuburkan ladang adalah sesuatu yang baik dan dipuji, tetapi, sejurus selepas ladang awam itu mengeluarkan hasilnya, sebahagian hasil itu diambil pula secara senyap-senyap untuk menjana kekayaan dan kemewahan diri sendiri, sumbangan tadi dengan sendirinya terbatal dan tidak lagi diiktiraf sebagai jasa, sebaliknya perkembangan dan kemajuan ladang berkenaan dibantut dan diundurkan ke belakang.

Kalaulah demikian situasinya jasa yang dicanangkan itu merupakan khayalan di dalam sebuah karangan biasa tanpa terselit nilai hakikinya, jika jasa hakiki ditaburkan, keadaan ladang akan menjadi semakin maju dan berjaya serta dapat menaik dan meningkatkan taraf orang yang bergantung harapan dengannya.

Ramai orang ingin bertugas dan berkhidmat di dalam ladang berkenaan tetapi bukan bertujuan hendak menyubur dan memajukan ladang, sebaliknya ingin mengambil kesempatan mendapatkan sesuatu keuntungan yang dihasilkan oleh ladang yang subur itu, setelah dapat berkhidmat maka riuh-rendahlah mereka mencanangkan bahawa merekalah yang mahir menguruskan ladang dengan menyembunyikan hutang-hutang yang begitu banyak yang sedang ditanggung oleh ladang yang juga akan melibatkan mereka yang bergantung harapan terpaksa sama-sama menanggung hutang tersebut. Mereka yang bertugas di dalamnya tidak pernah kerugian kerana upah yang mereka terima tidak pernah susut dan kurang.

Sekiranya jasa dipromosi dan canangkan secara bersungguh-sungguh kepada umum bermakna diri sendiri tidak yakin bahawa jasa itu telah diiktiraf, kerana, mungkin diri sendiri menyedari bahawa jasa itu tidak tulen , sumbangan yang dikatakan budi dan jasa itu sebenarnya tiket untuk kekal bertugas di dalam ladang yang sangat subur itu.

Hanya khayalanku.

2 comments:

Mak Su said...

benar... bila kita mula sebut2... hilanglah ikhlas, lepas tu mula mencari salah orang lain kekurangan orang lain seterusnya caci maki konon aku saja yg bagus hebat... itu adalah merugikan

Leenoh said...

Salam Mak Su.

Memang betul, biarlah jasa itu dikenang oleh orang lain yang merasainya...Mereka yang berjasa tidak perlu mewar-warkannya.