Wednesday, June 29, 2011

Zaman telah berubah.(puisi)

Salam semua.


Zaman telah berubah.

Bagi orang Melayu;
Kini bukan zaman semangat padi.
bukan zaman berdoa di depan pelamin.
bukan zaman jelapang padi.
bukan zaman menjual padi yang sedang menguning di pokoknya.
Bukan zaman perasap kemiyan pada setiap malam Jumaat.
bukan zaman khenduri sudah padi.
bukan zaman buat ketupat bila disangka pecah perut.
bukan zaman kandar dan junjung.
bukan zaman Kugiran di majlis walimatul urus.

Kini zaman ilmu;
zaman Sains dan Teknologi,
zaman menyedari kehidupan dunia dan akhirat,
zaman menyedari pelaksanaan kewajipan terhadap perintah Allah,
zaman solat sunat hajat, solat syukur, solat istikharah dan solat gerhana,
zaman qiamullail dan zaman kesedaran terhadap matlamat hidup hakiki.

Zaman orang bandar dan kampungnya telah berubah;
kini orang bandar dan kampung sebok mencari ilmu Islam,
masjid dan surau dimakmurkan,
mereka memahami , menyebar dan merealisasikannya,
mereka telah berubah dan sedang berubah.

Sekian...Wallahu aklam.

Tuesday, June 28, 2011

PENGALAMAN DI KOTA MAKKAH: " Menunggu Masuk Waktu ShoLat"

PENGALAMAN DI KOTA MAKKAH: " Menunggu Masuk Waktu ShoLat": "ramai jemaah datang awal awal di Bumbung MH Menunngu masuk waktu solat Mahgrib...."

IHSAN @ IKHLAS. ( puisi )

Salam semua.

IHSAN @ IKHLAS.

Ketika bersolat,
ketika bekerja di sekolah,
ketika bekerja di sawah.
ketika bekerja di ladang.
ketika bekerja di laut.
ketika tidur dan jaga.
ketika melayan anak isteri,
ketika bekerja di pejabat,
ketika menguruskan parti politik,
ketika bekerja di kementerian.
Allah melihat kita.

Ketika bersembang.
ketika berucap.
ketika makan,
ketika menguruskan projek kerajaan,
ketika kempen pilihan raya,
ketika bertengkar dan berhujah.
Allah melihat kita sepanjang masa, setiap detik dan saat.

" Beribadatlah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat kamu" (Al.Hadith)

Itulah ihsan yang berteraskan ikhlas.
Beribadat kerana Allah @ Bekerja kerana Allah.
__________________________________________________
Catatan;
Bekerja yang tidak melibatkan perkara haram dan pekerjaan itu atas tujuan menyempurnakan perintah Allah seperti menyara keluarga dan apa- apa kerja ke arah menunaikan perintah Allah terhadap diri hamba-Nya.

Sekian...wallahu aklam.

Monday, June 27, 2011

Badai Saqifah…(puisi)

Badai Saqifah…


Bumi Madinah menjadi suram
Berita sedih menyelubungi Umat Islam
Hilang nya permata yang menerangi Malam
Cahaya yang terang kepada seluruh alam

Nabi Muhammad telah wafat
Tarikh 8 Jun, 632 tetap diingat
Di rumah Baginda keluarga bermesyuarat
Di situlah juga akan disemadikan jasad

Bukan di situ saja agenda berpakat
Kerana sudah ada cita-cita hendak diperbuat
Di Saqifah Bani Saadah tempat istirehat
Di situlah tempat Ansar memulakan mesyuarat

Di penjuru terjauh tempat berpakat
Sehingga tidak terdengar dari rumah Nabi Muhammad
Dulunya Saqifah Bani Saadah di luar kota yang berkat
Kini hanya dipinggir Masjid Nabawi bagi mereka yang mahu menyiasat

Ketika Rasulullah s.a.w belum dimakam
Ada orang membawa berita ‘radio malam’
Omar Al Khattab pun menjadi geram
Omar tak boleh hanya duduk berdiam

Bersamanya dibawa Abu Bakar dan Abu Ubaidah ibn Al-Jarrah
Terfikir di hati adakah Ansar mahu membuat sejarah
Memilih pemimpin baru di dunia Arab Jazirah
Membelakangkan Muhajirin dari kota suci Mekah

Maka bermula lah pertengkaran Muslimin
Muhajirin dan Ansar mencanangkan pemimpin
Masing-masing ada calon 'Presiden'
Dalam umat Islam yang kini tiada pemimpin

Omar berdepan dengan Ansar
Bersatu nya Aus & Khazraj menjadikan mereka besar
Namun berjaya Omar mengasingkan dua puak besar
Divide & Rule’ menjadi strategi besar

Aus dan Khazraj berpecah semula
Khazraj mahu pemimpin nya Sa’ad ibn Ubadah menjadi Tok Ketua
Manakala Aus yang lebih kuat berdiri di belakang Abu Bakar pula
Melihat nasib yang tidak setara, maka akur lah Khazraj kepada yang
lebih berkuasa.

Terlantiklah Abu Bakar menjadi Khalifah
Sedang keluarga Rasul menguruskan jenazah di rumah
Tidak lah mereka tahu bahawa bencana telah tertempah
Berpecah lah ummah dan sesama kita bertumpah lah darah.

Keesokan nya riuhlah bicara
Rupa-rupa nya sudah ada pilihanraya
Maka terkejut lah Ali bin Abu Talib dan sekian keluarganya
Pilihan dibuat tanpa dirujuk Ahlul Bait Baginda dan sekian penyokongnya yang ada.

Bermulalah episod perpecahan Islam
Kesan luka nya memanglah teramat dalam
Sehingga kini Islam timbul tenggelam
Cahaya gemilang hanya nampak berbalam…

Sedang aku bersedih berbungkam
Aku coretkan puisi yang suram
Di bawah pohon Saqifah yang penuh dendam
Kutintakan nukilan ini buat umat Islam.

Hasil nukilan: Ahmad Al-Qadah
Di: Saqifah Bani Sa’adah, Madinah Al Munawwarah
Tarikh: 26 Jun, 2011.

Sunday, June 26, 2011

Maju selangkah lagi ke hadapan.


SHAH ALAM, 26 Jun: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor maju selangkah lagi ke hadapan dengan pelancaran Tabung Amanah Pembangunan Islam (Tapis) versi baru, malam tadi.

Cerita penuhnya klik di sini.

Saturday, June 25, 2011

Akhlak manusia (puisi).

Suatu ketika dahulu.
Ketika ikan sepat dan puyu berenang riang ria di air jernih,
di dalam petak padi yang sedang menguning.
di dalam sungai yang bersih dan jernih airnya.
Aku juga persis seperti mereka riang- ria bersama kekawan.

Aku cuma bersedih ketika mahu makan durian,
makan nasi berlaukkan daging,
ingin memakai baju baru dan membeli basikal baru.
keluargaku tidak punyai wang untuk perbelanjaan itu.
Kini aku di luar lingkarannya.

Tapi...
rasa riang-ria aku telah bercampur sedih.
Aku sedih melihat bayi dibuang merata-rata.
sungai dikotori sampah sarap.
rompakan, kecurian dan penipuan.
Rakyat menipu negaranya.
Negara menipu rakyatnya.

Dewasa ini tiada lagi kebersihan.
Sungai tercemar, laut dikotori.
Permukaan bumi sebahgiannya semakin kontang.
sebahagiannya tercemar dan terbiar.
Semuanya akibat hati dan akhlak manusia.

Tuesday, June 21, 2011

Langkah PAS langkah bijak

Salam semua.

Langkah PAS mengubah kulit
Negara Islam kepada Negara Berkebajikan suatu langkah yang bijak dan permulaan derapnya sangat sesuai dan pada ketika yang diperlukan. Hanya kulitnya sahaja yang diubah atau ditukar dengan yang baru, bahannya masih menggunakan bahan yang halal , isinya juga masih yang asal.Bahagian yang berubah hanya kulit semata-mata.

Pakaian dan rupa paras kekadang dapat menambahkan kawan dan kenalan kerana perubahan itu juga mempengaruhi andaian dan tanggapan seseorang individu, berlebih-lebih lagi perubahan yang mempunyai wawasan dan serampang banyak mata. PAS sebagai parti politik memang wajar menjadi kapal bukannya rumah api yang tersergam di dalam laut di mana kedudukannya statik.

Kini terdapat juga mereka yang melihat pada kulit yang telah berubah itu sebagai perubahan keseluruhan, itu hanyalah suara ketakutan dan kebimbangan.Suara itu akan memberi khalayak berfikir dan mencari hakikatnya, akhirnya akan terjumpalah isi yang asal itu dan akan merasai suka dan berminat dengannya.

Isi kandungan atau dasarnya adalah Islam, nama yang digunakan bukan suatu nama yang buruk, Sebaliknya suatu nama yang baik dan disukai ramai, selagi namanya baik dan dasarnya baik seperti dianjurkan Islam, selagi itulah ianya dianggap baik dan kehendaki diperjuangkan.

Sejak dahulu PAS kelihatan sentiasa hidup dan proaktif ke arah Islam, dulu perlembagaannya hanya fokus kepada Melayu dan Islam tanpa memperincikan di dalam perlembagaannya secara serius, kini perlembagaannya telah berubah ke arah lebih sesuai dan menepati perjuangan Islam, "Islam untuk semua" adalah slogan yang menepati ajaran Islam kerana Islam didatangkan Allah ke dunia ini untuk semua manusia.

Berkeinginan melakukan sesuatu yang baik, seperti ingin merealisasikan Islam di dalam kehidupan telah dikira baik dan telah mendapat pahala kerana proses keinginan itu menggunakan minda dan berfikir ke arahnya, aktiviti berfikir itu akan mendapat pahala setimpal dengannya, walaupun keinginan itu tidak kesampaian.

Sekiranya tiada keinginan tersebut bermakna kita tidak menghiraukan suruhan dan perintah Allah ke arah menjadikan Islam sebagai Addin atau sebagai suatu cara hidup yang dianjurkan Islam ( Allah). Sikap demikian itu secara tidak langsung membenarkan pengaruh asing mendominasikan kehidupan di dalam negara orang Islam. Penjajahan cara ini biasanya tidak disedari oleh mereka yang terlibat kerana cara berfikir telah sebati dengan kehidupan tersebut.

Sekian... wallahu aklam.

Friday, June 17, 2011

Persediaan sebelum mesyuarat.


Salam semua.

Pada hematku.

Artikel kali ini ingin memaparkan pertembungan dengan beberapa insiden yang memberi pengalaman yang bermakna , iaitu pertembungan dengan situasi yang kurang memuaskan hati kerana kurang berhati-hati atau mungkin juga kesuntukan masa ketika merancang sesuatu mesyuarat menyebabkan persediaan tidak sempurna dan tidak menepati perlembagaan.

Di dalam sesuatu persatuan individu seperti pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari, mereka sentiasa terlibat secara langsung dengan perancangan atau memanggil untuk sesuatu mesyuarat, sama ada pengerusi atau setiausaha yang merancang mesyuarat tersebut, keempat-empat mereka sebaiknya berbincang terlebih dahulu untuk menentukan agenda mesyuarat, setelah selesai mengatur agenda yang hendak dibincang barulah surat jemputan ke mesyuarat dihantar kepada ahli yang terlibat dan agenda mesyuarat hendaklah disertakan bersama, tanpa agenda tersebut ahli yang terlibat akan datang ke mesyuarat dengan minda yang kosong dan tertanya-tanya apakah yang akan dibincangkan, situasi ini tidak menghasilkan idea yang bernas yang boleh disumbangkan di dalam mesyuarat nanti.

Malah situasi itu juga menyebabkan ahli yang terlibat dengan mesyuarat akan merasai mesyuarat tersebut kurang penting. Setiap mesyuarat sebenarnya penting, tiada mesyuarat yang tidak penting, kalau tidak penting mesyuarat tentulah tidak akan diadakan.Oleh itu setiap mesyuarat adalah penting.

Oleh sebab mesyuarat berjalan dalam jangka masa yang agak panjang juga maka makan minum ahli perlu juga diambil kira atau disediakan, Perkara sekecil atau sampingan ini juga memerlukan perancangan atau tempahan awal.

Pengerusi, Timbalan Pengerusi , Setiausaha dan Bendahari hendaklah sering berhubung dan berbincang serta berkongsi maklumat tentang persatuan, pengurusan persatuan dirasakan tidak berkualiti sekiranya mereka tidak berkongsi maklumat atau tidak bekerja dalam satu pasukan.Ahli Jawatankuasa Biasa pula akan menjadi pembantu atau penyokong yang berkualiti di dalam mesyuarat dengan meluahkan pendapat dan pandangan mereka dan seterusnya membantu apabila sesuatu projek diaplikasi dan dilaksanakan.


_________________

BERSATU TEGUH, BERCERAI ROBOH.
__________________________


Terdapat beberapa unsur yang boleh mengurangkan kualiti mesyuarat dan sebahagian masa serta ruang yang disediakan untuk mesyuarat menjadi sia-sia,
di antaranya disebabkan:

(1) Kehadiran yang tidak tepat pada masa yang telah ditetapkan.
(2) Tempat mesyuarat yang tidak sesuai, susunan meja dan kerusi yang menyebabkan ahli mesyuarat akan bersembang di antara satu sama lain, sebagai contoh duduk mengadap di antara satu sama lain dalam keadaan berdekatan menyebabkan mereka bersembang atau berbisik-bisik.
(3) Terdapat ahli yang tidak mahir dalam prosedur mesyuarat, sesuatu pertanyaan atau pendapat diberikan ketika belum sampai agendanya.( tidak berkaitan dengan agenda )
(4) Pengerusi sendiri kurang mahir dalam mengendalikan mesyuarat kerana kurang faham peranan atau fungsi setiap agenda.
Menyebabkan beliau membiarkan atau melayan perbincangan pada perkara yang diluar agenda.
(5) Pengerusi dan setiausaha kurang membuat persediaan atau tidak mengandaikan terlebih dahulu apa yang akan berlaku di dalam mesyuarat nanti.
(6) Pengerusi dan setiausaha tidak duduk semeja dan berbincang terlebih dahulu isu atau agenda yang akan dibawa ke mesyuarat.
(7) Pencadang dan penyokong sesuatu cadangan yang mendapat sokongan sebulat suara tidak dicatatkan di dalam minit, menjadikan minit itu sebagai laporan biasa (bukan minit) - minit seumpama ini menimbulkan keraguan kerana susah hendak dibuat semakan kesahannya.

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, June 15, 2011

Masih ada yang menginsafinya.(puisi)

Salam semua.

Bumi seolah-olah semakin marah-marah.
Bulan dan bintang semakin bersedih.
Matahari semakin garang dan panas.
Mungkin makhluk yang memerlukan perkhidmatan mereka semakin biadap.
Mereka tidak menghiraukan penciptanya.

Gempa bumi, gerhana matahari dan bulan semakin kerap berlaku.
Mereka hanya melihat dari sudut sains dan melupai Allah.
Allah adalah Pencipta segala kejadian.
Pencipta makhluk,
Pencipta Alam smesta.
Pencipta segala-galanya.

Masih ada yang menginsafinya.

Bukan bumi marah-marah.
Bukan bulan dan bintang bersedih.
Bukan matahari semakin garang dan panas.

Tetapi.
Allah yang mengatur dan memerintah begitu rupa.
segala-galanya telah diberi amaran.
Rasul utusan-Nya.
Rasul pembawa berita-Nya.

Tetapi.
Ada yang ingkar.
Ada yang membantah.
Ada yang durhaka.
Ada yang langsung tidak percaya.

Berbahagialah mereka yang mendapat hidayah dan taufiq-Nya.
Beruntunglah mereka yang menginsafinya.

Sekian...wallahu aklam.

Tuesday, June 14, 2011

Siang-siang buat rumah - Malam-malam pecah rumah.


Salam semua.

Petang tadi saya buka email dan terbaca email dari jiran yang memaklumkan bahawa rumahnya dimasuki pencuri semasa beliau balik ke kampung,sebelum ini saya telah pun dimaklumkan oleh seorang kawan yang boleh dikatakan setiap hari ber"joging" dengan saya berhampiran dengan tempat kediaman kami, bunyi emailnya seperti berikut.


"Assalamulaikum,

Untuk makluman dan perhatian, pada 12/6/2011 (Ahad) rumah saya seperti alamat di atas didapati telah dimasuki pencuri. Kejadian berlaku semasa saya tiada dirumah bercuti balik kampung dari 8/6/2011 jam 9pm hingga 9/6/2011 jam 3.30pm. Kejadian dimaklumkan oleh jiran sebelah rumah semasa saya dalam perjalanan balik dr kampong lebih kurang jam 1.30pm menyatakan melalui hp grill tingkap dapur rumah saya telah bengkok dan terbuka pandangannya dari luar. Saya dan keluarga sampai dan jiran-jiran hadir sama dirumah dan periksa bilik utama dan bilik anak telah diselongkar habis selerak dan saya mendapati laptop & broadband, hp, PDA, camera, jam, 3 bentuk cincin kahwin dan tabung anak RM700 dll hilang anggaran semua lebihkurang RM7500. Laporan Polis telah saya buat dan pegawai siasatan jg telah hadir dan menyatakan tiada kesan jari ditemui dan mensyaki pencuri memakai sarung tangan........."

Memandangkan persekitaran berhampiran tempat kediaman kami buat masa ini terdapat banyak rumah kongsi, tempat kediaman pekerja warga asing, maka ramailah kekawan mensyaki perbuatan itu , berkemungkinan aktiviti mereka ini. Kalau mereka menjadi pegawai penyiasat sudah tentu mereka akan masukkan di dalam senarai siasatan. Ada benarnya andaian mereka ini kerana sebelum ini tidak berlaku jenayah seperti ini, kini jenayah tersebut semakin kerap berlaku.Tidak baik mensyaki sesuatu kepada orang lain tetapi dalam kerja penyiasatan perlu ada andaian dan mencuba pertunjuk yang diperolehi.

Saya pula teringat sebuah lagu tetapi tidak ingat lirik dan penyanyinya, cuma yang saya ingat samar-samar ialah siang-siang buat rumah, malam-malam pecah rumah, pada suatu ketika dulu lagu ini agak popular juga.

Sebenarnya bukan lirik lagu itu yang hendak diutarakan di sini kerana lagu itu telah pun berlalu , namun begitu temanya mungkin ada juga sentuhannya. Perkara penting yang hendak dibincangkan di sini ialah kualiti keselamatan di negara kita sedang memperlihatkan ianya menjadi semakin rendah dan rapuh, kita semakin takut kepada warga asing, sempadan kita juga semakin rapuh dan kurang berdaulat. Pendatang asing semakin senang membolosi sempadan masuk ke negara kita
.

Kini kita takut walaupun berada di dalam rumah sendiri berbanding pada suatu ketika dahulu. semua pertunjuk itu tidak pula memberi kesan motivasi kepada masyarakat kita untuk bersatu atau mesra dengan jiran, kadang-kadang tinggal sebelah menyebelah pun tidak kenal di antara satu sama lain, ada yang ketika keluar rumah pun susah hendak pandang kiri kanan untuk melemparkan senyuman kepada jiran yang belum dikenali itu, bersikap lu gua masih belum berubah walau pun isyarakat keselamat telah menunjukkan ke arah kerapuhan. Budaya Melayu dan Islam kedua-duanya turut terhakis, manakala penjenayah semakin bertambah serentak dengan bertambahnya kemasukan warga asing ke negara ini.

Mungkin pada suatu hari nanti kita akan dapatkan semula budaya murni yang terhakis itu. Sekiranya budaya baik itu dapat dikembalikan semula, nescaya tembok keselamatan akan kukuh semula dan boleh dipercayai.


Sekian...wallahu aklam.

Sunday, June 12, 2011

Dosa Qazaf - Khutbah Jumaat.

Salam semua.

Khutbah Jumaat 10.06.2011 dua hari yang lalu kandungannya amat tepat dan sesuai dengan situasi Masyarakat Malaysia kini. Temanya berkaitan dengan "Dosa Qazaf", Qazaf ialah menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa membawa empat saksi yang adil. ( gambar di sebelah kiri : Datuk Mohd.Tamyes bin Abdul Wahid dipetik dari Sinar Harian hari ini ) Seperti dilaporkan di dalam Sinar Harian Datuk Tamyes menjelaskan bahawa kandungan khutbah itu tidak dipolitikkan seperti mana yang dianggap oleh sesetengah pihak.Sebaliknya memberi kefahaman kepada masyarakat.

Pada Jumaat lepas saya sendiri mengikuti khutbah tersebut satu persatu tanpa terasa mengantuk atau lalai kerana khatib berjaya menyampaikannya secara yang amat sesuai dengan kandungannya, nas-nas ayat al.Quran yang diutarakan juga tepat dan akur dengan tajuk khutbah serta disebut pula nombor ayat dan surahnya, agaknya bagi memudahkan ahli jamaah menyemaknya di rumah, jika mereka ingin meneruskan bacaan atau kajian mengenai perkara tersebut. Di antara okjektif khutbah ialah menyampaikan ilmu pengetahuan dan berita setempat untuk kebaikan ahli jamaahnya.

Berikut adalah di antara ayat yang disebutkan di dalam khutbah.

[13]
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
(Surah An.Nur)

Khutbah Jumaat tiada motif politik: Kata Mufti S'ngor.

Sekian...wallahu aklam.


Ucapan Tahniah dan takziah.


Salam semua.

Ucapan Tahniah dan takziah.

Ucapan tahniah dan takziah di antara amalan yang disuruh oleh ajaran Islam. Disarankan supaya memberikan ucapan tahniah kepada individu atau mereka yang mendapat sesuatu kebaikan atau kejayaan, manakala ucapan takziah pula diberikan kepada individu yang ditimpa musibah atau kesusahan.

Ucapan ini akan memberikan kemantapan emosi kepada mereka yang terlibat, mereka akan merasakan apa yang telah berlaku itu dikongsi bersama. Ucapan tahniah akan memantapkan rasa gembira dan syukur, ucapan takziah pula akan meringankan beban kesusahan yang sedang ditanggung kerana ada pihak yang berkongsi rasa kekecewaan dan kesusahan itu.

Sekiranya kita menerima ucapan tersebut melalui email, facebook,laman sesawang, sms atau lain-lain kaedah moden sekarang ini, orang yang menerimanya hendaklah menjawabnya setelah keadaan mengizinkan dan jangan sekali-kali mengabaikannya kerana mereka yang mengucapkannya itu adalah mereka yang amat prihatin terhadap diri kita atau menyokong kerja buat kita.

Merujuk kepada anda yang telah terpilih di dalam muktamar yang lalu ( Muktamar PAS -57 ) tentulah lebih utama menjawab ucapan itu kerana jawapan balas anda itu akan memberikan tambahan pengaruh kepada anda dan akan menambah lebih ramai
lagi penyokong , kesopanan dan budi baik anda itu sudah tentu akan tersebar dan mempengaruhi pula mereka yang di atas pagar turun ke bawah untuk bersama anda...insya Allah.

Berbalik kepada perlawanan bola sepak di antara Trengganu dan Kelantan yang telah berlangsung di Stadium Bukit Jalil malam tadi, ucapan tahniah kepada Pasukan Trengganu kerana berjaya menjulang piala FA dan Kelantan kerana berjaya masuk pertandingan akhir, walaupun kalah 2 - 1.

Sekian...wallahu aklam.

Saturday, June 11, 2011

Terhinakah bila dihina.

Salam semua.

Terhinakah bila seseorang itu dihina.

Manusia dikenali atau diistilahkan juga sebagai binatang yang bercakap, di sana mereka mempunyai akal yang boleh berfikir dan membuat sesuatu keputusan, mereka dijadikan Allah sebaik-baik kejadian, perkara ini ( sebaik-baik kejadian ) disebut di dalam al.Quran di dalam surah At.Tin.

Hinakah manusia yang dihina oleh manusia sedangkan orang yang kena hina itu orang yang beramal solih, baik dan beriman. Kejadian menghina Rasul-rasul, ulamak dan orang yang baik memang pernah berlaku sejak zaman dahulu atau juga berlaku sepanjang zaman.

Sudah menjadi lumrah mereka yang memperjuangkan kebaikan akan ditentang oleh orang yang jahat, orang yang jahat inilah yang akan menentang kebaikan tersebut dengan berbagai cara dan ikhtiar termasuk memfitnah.

Adakah dengan sebab penghinaan oleh orang jahat itu maka orang yang baik ini perlu mengundurkan diri dari medan perjuangan menegakkan kebenaran dengan alasan untuk mengelakkan penghinaan. Penghinaan orang jahat terhadap orang yang baik tidak akan membawa orang baik itu menjadi hina. Orang yang baik di sisi Allah ialah orang-orang yang bertaqwa. Kayu pengukur untuk mengetahui hina atau mulia seseorang itu ialah sejauh mana kadar ketaqwaannya terhadap Allah.

Penglibatan Ulamak di dalam kancah politik amat sesuai dengan realiti hidup masyarakat Malaysia, tanpa penglibatan dalam bidang tersebut mereka tidak akan dapat merealisasikan tugas mereka ke tahap maksimum sebagai penerus atau pewaris para Nabi . Sebaliknya mereka akan terperangkap di bawah arahan orang lain yang tidak berwibawa dalam bidang hukum hakam Islam. Ulamak sebagai pegawai kerajaan akan terperangkap di bawah Perintah Am Kerajaan yang mana mereka perlu ikut orang yang lebih berkuasa dan akur dengan - Saya yang menurut perintah - walaupun pihak yang berkuasa sedang berada di dalam situasi yang tidak akur dengan Islam. Kalau ulamak melibatkan diri dengan politik "Saya yang menurut perintah" akan berubah menjadi " Saya yang menjalankan tugas" - tugas dan amanah Allah.

Dasar kerajaan terjana bermula di atas tapak politik, parti yang memenangi dalam pilihan raya akan merealisasikan dasarnya di dalam kerajaan, jika ulamak tidak melibatkan diri dengan politik, iaitu sektor awal penggubalan dasar kerajaan, maka akan berlakulah kekurangan dalam aspek yang dikehendaki oleh Islam semasa dasar itu digubalkan.


Maksud surah At.Tin.
[1]
Demi buah Tiin dan Zaitun, [2] Dan Gunung Tursina, [3] Serta negeri (Makkah) yang aman ini, - [4] Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). [5] Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, [6] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. [7] (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? [8] Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?


Sekian...wallahu aklam.





Friday, June 10, 2011

Rumah siap pahat berbunyi.

Salam semua.

Pada hematku

Rumah siap pahat berbunyi.
Setelah selesai Muktamar PAS ke 57 yang berlangsung pada 3-5hb Jun 2011 yang telah lalu, lantas berlakulah rumah siap pahat berbunyi, walaupun rumah telah siap dengan baik dan kukuh selayaknya.

Di dalam dunia politik kritik yang membina dan yang meruntuhkan akan wujud seperti mana wujudnya manusia yang baik dan yang jahat, situasi seperti ini memang tidak dapat dielakkan.Apa pun kritik yang hendak diluahkan, bagi orang Islam tidak dibolehkan mengkritik terhadap sesuatu yang berkeadaan baik supaya menjadi buruk atau menjadi jahat.

Rumah yang cuba dibina atau yang sedang dirancangkan ini adalah sebuah rumah yang berbeza dan diharapkan akan mampu memberi kebajikan kepada semua penghuninya, tidak kira bangsa atau agama.

Merujuk kepada PAS yang dikatakan para ulamaknya telah ditewaskan kerana telah timbul rasa kurang suka kepada mereka, telahan itu tidak tepat kerana mereka yang dicalonkan dan bersetuju bertanding adalah layak untuk menjawat jawatan yang ditandingi, kelayakan ini adalah merujuk kepada perlembagaan parti.Pada asasnya mereka kesemuanya adalah layak untuk menjawat jawatan yang ditandingi, tetapi, disebabkan jawatan itu memerlukan seorang sahaja atau tiga orang sahaja untuk dipenuhi, maka berlakulah di antara mereka yang tidak terpilih ( bukan tersingkir), Situasi begini adalah perkara biasa di dalam amalan demokrasi sihat. Di dalam perlembagaan tidak menyebut bahawa JAWATAN itu hanya untuk ulamak atau ulamak sahaja yang layak menjawatnya.

Mereka yang terpilih dan termasuk juga yang tidak terpilih semuanya terbukti terdiri daripada kalangan mereka yang sedang berjuang merealisasikan perlembagaan parti dan inginkan penghayatan Islam di dalam kehidupan mereka, ( status mereka adalah sama ), sekiranya terdapat kelemahan atau keterlanjuran berlaku dalam merealisasikan Islam , maka Majlis Syura / Dewan Ulamak akan mengawal keterlanjuran tersebut. Mengikut perlembagaan siapa sahaja yang dilantik tidak akan berpeluang merealisasi dan mengaplikasikan secara bersendirian tanpa syura. Sekiranya berlaku juga individu tersebut akan menerima padahnya.

Pendekatan merealisasikan parti tetap berbeza di antara kumpulan atau barisan para pemimpinnya tetapi yang tidak berbezanya ialah semua aktiviti mematuhi perlembagaan dan berlaku di dalam lengkungannya.

Semua perkara yang tersebut atau tercatat di dalam perlembagaan semuanya telah pun dipersetujui semasa perlembagaan diluluskan oleh parti.( Suara atau bunyi pahat tadi sebenarnya suara gangguan sahaja tidak akan lebih dari itu ).

Syabas dan tahniah kepada perwakilan dan calon-calon yang bertanding kerana anda telah dapat membuktikan suatu Pertandingan Yang Bersih dan Menarik. khasnya kepada generasi muda dan masyarakat Malaysia amnya melalui akhlak yang mulia yang patut mendapat penghormatan dan sanjungan.

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, June 8, 2011

Puasa - Perut buncit menjadi saksi ( puisi )

Salam semua.

Puasa - Perut buncit menjadi saksi.

Sungguh banyak faedah berpuasa.
Perut buncit menjadi kempes.
Itu cuma bukti di dunia.
Bukti di akhirat ganjarannya dibalas.

Perut buncit menjadi saksi.
Lepas berpuasa ianya terbukti.
Siapa yang alami dia yakini.
Orang dewasa tentulah menyedari.

Waktu senja sangatlah gembira.
Orang dewasa serupa kanak-kanak.
Semua orang berada di meja.
Hendak makan ikut kehendak.

Berpuasa bukan hanya tahan lapar.
Semua maksiat perlu dihindar.
Memerlukan banyak sifat sabar.
Barulah pahala naik kadar.

Panas baran ketika berpuasa.
Kerana sabarnya tiada ketahanan.
Sebenarnya marah kepada siapa.
Adakah dimaksudkan kepada Tuhan

Kalau berpuasa janganlah lupa berniat.
Segala pembatalnya hendaklah ditinggalkan.
Amalan tersebut bukan sekadar ibadat.
Di sampingnya juga menjana kesihatan.

Sekian...wallahu aklam.

Ahlan wasahlan ya Ramadan.( puisi )

Salam semua.

Ahlan wasahlan ya Ramadan.

Ingat kurma,ingatlah Ramadan.
Ingat Ramadan, ingatlah kurma.
Bersiap sedia menyambut Ramadan.
Dua purnama lagi akan menjelma.

Nampak kurma, nampaklah Ramadan.
Nampak Ramadan, Nampaklah kurma.
Kedatangan Ramadan hebat sambutan.
Gerai jualan tercegat di mana-mana.

Manisnya kurma, manis lagi Ramadan.
Manis Ramadan semerbak dirasai.
Tawaran tempah gerai sedang disusun.
Pilihlah di mana lokasi yang disukai.

Pilihlah lokasi yang disukai.
Untuk anda mencari rezeki.
Rezeki yang halal lagi diberkati.
Dalam setahun hanya sekali.

Susunlah steratigi agar tidak rugi.
Menjual makanan yang berkualiti.
Pada waktu petang bukannya pagi.
Semua larangan harus diingat sendiri.

Rejab dan Syaaban berpuasa latihan.
Dapat pahala dan sihat badan.
Sungguh gembira orang beriman.
Menyambut kehadiran bulan Ramadan.

Sekian...wallahu aklam.

Sunday, June 5, 2011

Allah Maha Pencipta.

Salam semua.

Ini bukanlah suatu artikel tetapi merupakan petikan terjemahan al.Quran dari surah Al.An'am ayat 95 -110. Dengan membaca dan berfikir mengenai kandungan terjemahan ini insya Allah akan memberi suatu kesedaran baru kepada kita mengenai kejadian makhluk ciptaan Allah dan juga akan menambahkan keakraban kepada Allah serta yakin terhadap kekuasaan Allah.

________________________________________

[95]
Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?
[96]
Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[97]
Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.
[98]
Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).
[99]
Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.
[100]
Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari apa yang mereka sifatkan!
[101]
(Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.
[102]
Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.
[103]
Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[104]
(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”.
[105]
Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu dengan) berkata: “Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain) “, dan supaya kami menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui.
[106]
Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.
[107]
Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata).
[108]
Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
[109]
Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
[110]
Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.

Sekian ... wallahu aklam.

Ulamak tidak tewas ,malah relevan sepanjang masa.

Salam semua.

Pada hematku.

Golongan ulamak tidak tewas, malah relevan sepanjang masa.

Setengah pendapat dan laporan menyatakan golongan ulamak dalam PAS tewas dalam pemilihan Muktamar PAS ke 57 - 2011, merujuk kepada Tuan Hj.Mohamd Sabu ( Mat Sabu ) yang bukan dari golongan ulamak telah terpilih menyandang jawatan Timbalan Presiden buat sesi 2011/2013 . Berdasarkan maklumat yang diperolehi Mat Sabu memperolehi 40% undi (Mat Sabu mendapat 420 undi berbanding Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man 399 dan Nasharuddin Mat Isa 224.) , ini bermakna baki 60% lagi berkongsi pula di antara dua calon golongan ulamak tersebut. Angka itu menunjukkan para perwakilan masih mahu ulamak berperanan. Oleh itu golongan ulamak tidak tewas, malah relevan sepanjang masa.

Selain hujah tersebut ulamak telah pun didaulatkan dan institusikan sebaik sahaja Majlis Syura Ulamak/Dewan Ulamak ditubuhkan dan termaktub di dalam perlembagaan parti, di mana majlis tersebut akan menjadi pengawal kepada aktiviti parti dan memastikan dasar parti berlandaskan Islam.

Kalau melihat kepada angka undian itu juga menunjukkan para perwakilan memahami perlembagaan parti mereka, justeru mereka tidak bimbang memilih siapa sahaja yang berkelayakan untuk menerajui parti yang semakin mendapat perhatian dan sokongan ramai itu.


Sekiranya laporan dan komen itu datang dari pihak parti lawan perlulah diambil pengertian dan maksud di sebaliknya kerana biasanya mereka menggunakan bahasa terbalik. Pemimpin yang dikatakan baik dan bijaksana oleh lawan hendaklah diartikan sebagai lemah dan manakala yang dikatakan tewas sebenarnya tidak tewas.


Sesungguhnya peranan ulamak sebagai pewaris Nabi relevan sepanjang masa, tahniah dan syabas kepada PAS kerana telah menggubal perlembagaannya sesuai dengan kehendak dan keperluan sekalian masyarakat khasnya masyarakat Islam Malaysia.

Sekian...wallahu aklam.

Mencari Tuhan

Salam semua.
Artikel/terjemahan ayat-ayat al.Quran ini disalin dari Facebook Lee Noh.
Manusia tidak mampu mencari Tuhan/Allah dengan akal semata-mata, mereka memerlukan akal dan wahyu untuk mengenal Allah, disamping mendapat taufiq dan hidayah-NYa.
BACALAH BIAR KITA SAMA-SAMA MENDAPAT PAHALANYA. Daripada tidak membacanya lebih baik baca....he he he betul juga.
_____________________________

[74]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.
[75]
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
[76]
Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.
[77]
Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.
[78]
Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
[79]
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.
[80]
Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?
[81]
“Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?”
[82]
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
[83]
Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
( Surah Al.An'am ayat 74 - 83 )
Sekian...Wallahu aklam.





Saturday, June 4, 2011

Kemenangan golongan bukan ulamak

Salam.

Pada hematku.

Kemenangan golongan bukan ulamak dalam barisan kepimpinan PAS tiada masalah. Ianya masih mantap.

Kemenangan golongan bukan ulamak menguasai kepimpinan Pas Pusat tidak menimbulkan apa-apa
persoalan dalam menentukan hala tujunya. Hala tuju PAS tidak akan mereng ke mana-mana kerana di sana terdapat benteng barisan Majlis Syura dan Dewan Ulamak PAS Pusat yang sentiasa bersiap siaga memberi teguran dan mengawal perjalanan parti, jika berlaku mereng ke kiri atau ke kanan yang boleh menyebabkan tergelincir daripada dasar yang telah ditetapkan di dalam perlembagaan parti sudah tentu golongan ulamak akan memberi teguran dan amaran, disamping ahli dan penyokong parti yang telah ditarbiahkan oleh parti buat sekian lama.

Mereka yang terpilih adalah juga di kalangan mereka yang telah ditarbiah oleh ulamak dan faham serta meyakini cara hidup Islam.

Akhir kalam tahniah kepada semua yang terpilih dan pada yang tidak terpilih teruskan perjuangan, ucapan takziah tidak sesuai untuk anda semua kerana anda masih di medan perjuangan.

Sekian...Wallahu aklam

Friday, June 3, 2011

Jumaat muncul lagi ( puisi )

Salam semua.

Masa berdetik setiap saat.
Tanpa disedari Jumaat muncul lagi.
Berhimpun di masjid untuk berpakat.
Hari mulia lagi diberkati.
Kalau panas makan kembang semangkuk.
Kalau tidak kerengkung naik merah.
Mendengar khutbah kenapa terangguk-angguk.
Apakah khatib juga yang bersalah.

Kandungan khutbah biarlah matang.
Membacanya pula sambil berdiri.
Khatib menjaga ramai orang.
Makmum hanya seorang diri.

Belajar al.Quran membantu solat.
Ketika belajar hendaklah bersabar.
Hanya sejam untuk beribadat.
Apakah tidak sudi untuk bersabar.

Makanlah sedikit sebelum ke Jumaat.
Jangan sampai perutnya kenyang.
Itulah cara khusyuk solat.
Kalau tidak mindanya melayang-layang.

Banyak ilmu di dalam khutbah.
Mengapa ramai mengabaikannya.
Bagaimana kita mahu berubah.
Kalau buat indah tak indah saja.

Kasih saudara semasa berada.
Itulah saat yang paling indah.
Sifat ilmu hidup sentiasa.
Semakin digunakan semakin bertambah.

Sekian sahaja ana berceloteh.
Memamerkan ilham di pagi hari.
Menulis yang baik menghasilkan faedah.
Untuk dibawa ke akhirat nanti.

Sekian...wallahu aklam.

Wednesday, June 1, 2011

Henti keaktifan facebook.

Henti keaktifan facebook/Deactivate facebook.
( Artikel untuk Facebook )

Saya menulis artikel ini ketika keinginan untuk mengaktifkan semula facebook yang sedang dihentikan keaktifannya, Setelah saya siap menguruskan proses mengaktifkan semula,tiba-tiba dinyatakan bahawa saya perlu menunggu 24 jam untuk mengaktifkan semula facebook .Kebiasaannya bila-bila masa boleh diaktifkan semula, agaknya pihak pengurusan tidak menggalakkan saya berbuat demikian pada masa akan datang.Kali kedua saya membuat semakan saya dimaklumkan seperti berikut;

Semakan ke:2. ( 1 Jun 2011 )
-Masa menunggu berbaki 23 jam 54 minit lagi - barulah FB boleh digunakan;
"You'll have to wait 23 hours and 54 minutes to reactivate. We'll send you an email letting you know when your wait time is over".

Semakan ke:3.( 2 Jun 2011 )
- Masa menunggu berbaki 4 jam 55 minit lagi - barulah FB boleh digunakan;
"You'll have to wait 4 hours and 55 minutes to reactivate. We'll send you an email letting you know when your wait time is over".

Maka saya pun terpaksalah menunggu seperti yang diarahkan, masa yang digunakan untuk melayan facebook bolehlah digunakan untuk kegiatan lain yang mungkin lebih bermanfaat.Sesuatu yang telah biasa sukar hendak ditinggalkan kerana ianya telah menjadi adat kepada kita, kalau pada masa dahulu kita ketagih membaca surat khabar tetapi setelah kita membiasakan diri dengan membaca laman sesawang, barulah kebiasaan itu dapat ditinggalkan dan melekat pula pada laman sesawang tersebut, termasuklah facebook dan twitter.

Ramai manusia kini hidup dalam dua alam iaitu alam nyata dan alam maya.Dunia alam maya juga sangat luas dan bitara cakupan maklumatnya.Dunia memerlukan berbagai kepakaran untuk memaju dan mengembangkan bidang ini. anak muda masih belum terlambat untuk menerokai bidang ini, kiranya anda berminat anda akan hidup ceria dan berketrampilan dengan menceburi bidang tersebut.

Artikel ini tidak bercadang untuk menghuraikan apa yang terdapat di dalam alam maya yang dimaksudkan, sebaliknya tulisan ini sekadar menyatakan betapa dunia sekarang berbeza dengan zaman dahulu iaitu zaman sebelum abad yang ke-21. Abad yang ke-21 seolah-olah kehadirannya membawa ujian yang besar kepada generasi muda, mereka diuji untuk menilai dan memilih jalan yang selamat kerana alam nyata dan alam maya masing-masing mempunyai kebaikan dan keburukan. Penilaian yang teliti sebelum membina identiti diri akan membawa mereka ke arah kecemerlangan.

Artikel ini ditulis dalam tempoh menunggu facebook ini diaktifkan, oleh itu buat masa ini artikel ini belum boleh diposkan ke facebook untuk bacaan umum, sebaik sahaja proses mengaktifkan ( reactivation ) siap artikel ini akan diposkan.

Sekian.

Orang di atas pagar.

Orang di atas pagar.

Kini orang di atas pagar semakin kerap memalingkan muka mereka ke kanan dan ke kiri.

Peribahasa baru " Orang di atas pagar" , pagar merupakan sempadan di antara sesuatu kawasan, pagar didirikan untuk membezakan sesuatu kawasan dengan kawasan yang lain, selain dari itu berperanan untuk menghalang daripada orang atau binatang masuk atau keluar dari sesuatu kawasan tertentu. Pagar boleh dikelaskan sebagai penjaga, penjaga pula jika tidak beramanah diibaratkan pula sebagai harapkan pagar, pagar makan padi.

Orang di atas pagar tercetus dari penilaian atau gelaran yang diberi kepada sikap seseorang terhadap politik, sama ada orang tersebut menjadi ahli parti politik tertentu atau tidak menjadi ahli mana-mana parti, mereka yang tidak menjadi ahli mana-mana parti politik inilah yang diibaratkan sebagai orang di atas pagar. Orang di atas pagar tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat parti politik sama ada di peringkat ranting, cabang, cawangan atau bahagian. Mereka mungkin menjadi penyokong sesuatu parti yang serasi dengan mereka pada sesuatu ketika dan mungkin juga pada suatu ketika yang lain akan berubah, perubahan akan berlaku di hati mereka apabila perkembangan parti tersebut menjadi tidak relevan pada penilaian mereka.

Orang di atas pagar bukan berarti mereka tidak aktif di dalam politik dan tidak perdulikan perkembangan politik atau tidak fikir hal politik negara, kekadang mereka ini mindanya lebih ligat daripada orang yang menyertai sesuatu parti politik, berada di atas pagar berarti mereka dapat melihat lebih jelas perkembangan politik semasa, dengan berada di atas pagar mereka boleh pandang kanan dan kiri dengan bebas, pagar adalah sesuatu yang tinggi sudah tentu mereka yang berada di atas pagar dapat melihat dengan senang akan mereka yang berada di bawah pagar. Pergerakan orang di padang politik dapat dilihat dengan jelas dan juga dapat membuat penilaian yang adil.

Sekiranya penonton bola sepak berada di atas pagar seolah-olah mereka berada di atas anak tangga stadium, dapat melihat kedua-dua pasukan itu dengan baik, malah lebih menyeluruh berbanding dengan pengadil yang terpaksa berlari ke sana dan ke mari untuk melihat dan mengetahui situasi permainan.

Kini mereka yang di atas pagar semakin kerap memalingkan muka mereka ke kanan dan ke kiri kerana permainan yang ditonton semakin rancak dan hilang kewarasan tanpa memperdulikan lagi peraturan dan peradaban manusia, mereka yang menguasai kawasan permainan seolah-olah menjadi pengadil sendiri. Mereka berani melambungkan bola menyembuyikan tangan walau di depan pengadil sekali pun.

Bagi mereka yang di atas pagar tetap mempunyai kuasanya yang tersendiri tanpa digugatkan oleh sesiapa, mereka tetap memberi sorakan kepada permainan yang baik , adil dan berkualiti. Jika kedua-dua pasukan itu sedang bertarung untuk mewakili negara, mereka yang di atas pagar tetap mengundi pasukan yang terbaik dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pasukan seperti mereka yang mempunyai pasukan dan menjadi penyokong setianya, walaupun pasukan mereka telah memamerkan permainan yang ganas dan mengabaikan peraturan yang sepatutnya dipatuhi. Mereka akan tetap menyokong pasukannya dan akibatnya pasukan mereka semakin menjadi corot dalam memamerkan permainan pada masa akan datang.

Artikel ini hanya untuk diri sendiri, mungkin anda sukar memahaminya.