Showing posts with label Renungan dan Muhasabah Diri.. Show all posts
Showing posts with label Renungan dan Muhasabah Diri.. Show all posts

Monday, December 1, 2008

RENUNGAN DAN MUHASABAH DIRI.



Paparan maksud ayat 11, 12 dan 13 ( surah al.Hujuraat ) untuk kurenungi bersama kawan-kawan dan diharapkan ianya dapat memberi tasauwur ( pandangan & gambaran ) yang betul terhadap kehidupan manusia sejagat.

Ayat 11.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kaum lelaki menghina kaum lelaki ( yang lain ), kerana boleh jadi kaum yang dihina itu, lebih baik dari kaum yang menghina, dan janganlah kaum perempuan ( menghina ) kaum perempuan ( yang lain ), kerana boleh jadi perempuan yang dihinakan itu, lebih baik dari perempuan yang menghina. Jangan kamu mencela sesamamu dan pula memanggil dengan gelaran ( yang tidak baik ). seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah beriman. Barangsiapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ayat 12.
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan ( terhadap sesama muslim ), kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari aib orang dan janganlah pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu , bahawa dia memakan daging saudaranya yang telah mati ( bangkai ) ?. Maka tentu kamu benci untuk memakannya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Ayat 13.
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan ( bapa dan ibu ) dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa ( berbagai umat ) dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang termulia di antaramu di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.

SURAH AL.HUJURAAT ( ayat 11, 12 dan 13 )

Di antara intisari maksud ayat di atas:
(1) Allah SWT melarang manusia menghina di antara satu sama lain kerana mungkin yang dihina itu lebih mulia di sisiNya.

(2) Di dalam ayat di atas juga menyatakan larangan mencela orang lain dengan memanggil dengan gelaran yang tidak baik, seperti panggilan fasik dan seumpamanya.
(3) Jika perbuatan buruk itu kita pernah melakukannya maka hendaklah bertaubat kerana perbuatan seperti itu dianggap perbuatan yang zalim.
(4) Kita hendaklah bersangka baik di antara orang Islam dan dilarang mencari aib orang lain serta dilarang membuka rahsianya. Juga dilarang mengumpat sesama orang Islam.
(5) Mengumpat itu diibaratkan seperti memakan daging saudara kita sendiri yang telah mati, begitulah hinanya perbuatan mengumpat itu. Kita diingatkan supaya takut kepada Allah dan Allah Maha Penerima taubat.
(6) Allah SWT menjadikan manusia di atas muka bumi ini berbagai bangsa atau suku kaum supaya manusia berkenalan di antara satu sama lain dan bergaul dengan baik sesama mereka.
(7) Orang yang paling baik di kalangan kita di sisi Allah ialah orang yang bertakwa.

Wallahu aklam bissowab. Wassalam.