Showing posts with label Khutbah Jumaat.. Show all posts
Showing posts with label Khutbah Jumaat.. Show all posts

Friday, May 22, 2009

Suara Mimbar hari ini. (22.05.09 )

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Pada hari ini ( 27. Jamadil Awal 1430 ) masuk waktu Zohor di kawasan Shah Alam dan kawasan yang sewaktu dengannya jam 1.13 petang. Seperti biasa setiap petang Jumaat saya akan melaporkan ucapan khatib/khutbah yang disampaikan di masjid yang saya hadir menunaikan untuk solat.

Pada hari ini khutbah menyentuh mengenai kewajipan mentaati ibu dan bapa. berikut adalah dalil nakli berkenaan.
Fiirman Allah bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia".
Surah Israk (23).

Rumusannya.

(1) Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada ibu bapa dan sentiasa bersopan dengan mereka, memandangkan ibu mengandungkan kita dan mendidik kita sehingga menjadi manusia yang berguna, ibu dan bapa sama-sama berkorban memelihara kita sejak dari kecil maka sewajarnyalah kita pula memelihara mereka apabila mereka telah tua dan uzur.

(2) Pada zaman ini terdapat anak-anak yang tidak hormati ibu bapa, malah terdapat juga anak-anak yang melawan ibu bapa dengan kekerasan dan terdapat juga yang tergamak membunuh ibu bapa kerana hilang kewarasan.

(3) Paling menyedihkan terdapat juga anak yang menghantar ibu atau bapa mereka ke Pusat Jagaan orang tua tetapi tidaklah menjadi kesalahan, jika dihantar di atas persetujuan mereka ke Pusat-Pusat Penjagaan disamping mendalami ilmu pengetahuan mengenai Islam, khususnya perkara yang berkaitan dengan amal ibadat khusus.

(4) Anak-anak hendaklah sentiasa berbuat baik dengan ibu bapa, memberi perbelanjaan, memastikan penjagaan makan, minum, kesihatan dan keperluan lain supaya mereka hidup selesa dan sentiasalah berdoa kepada ibu bapa supaya Allah mengampunkan dosa mereka, mengasihani mereka seperti mana mereka mendidik dan mengasihi anak-anak mereka semasa anak-anak mereka masih kecil.
_______________________________________

Dilarang berkata "ah" kepada ibu bapa
_______________________________________

Sekian, Wallahu aklam. wassalam.

Friday, May 8, 2009

Kuliah Dan Khutbah Jumaat ( 13 Jamadil Awal 1430 )


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Bersyukur kepada Allah Taala kerana mengizinkan kita bertemu lagi, pada kesempatan ini saya ingin mencatatkan beberapa info ringkas yang dikutip dari kuliah sebelum solat Jumaat tadi. Saya tidak pasti masa yang tepat kuliah tersebut dimulakan, ketika saya sampai jam 12. 55 penceramah sedang rancak menyampaikan kuliahnya dan ahli Jamaah pun telah ramai memenuhi ruang masjid.

Kuliah Sebelum Solat Jumaat.

12.55 t. hari
Di antara intisari yang dapat saya petik ialah;
(1) Penceramah menyentuh mengenai tilawah Al.Quran, menurut katanya pada masa kini bilangan orang membaca al.Quran sebagai amalan harian sangat berkurangan, disyorkan kepada AJK Masjid supaya meletakkan Al.Qurana di atas rehal diaturkan di sepanjang saf sejumlah yang sesuai untuk memberi lebih kemudahan kepada ahli Jamaah untk membacanya. Cara begitu katanya mungkin boleh menambahkan jumlah pembaca pada setiap hari Jumaat sementara menunggu masuk waktu solat.

(2) Seterusnya beliau menceritakan seorang Ahli Jamaah Masjid Tikam Batu, Kuala Muda; Kedah yang sangat istiqamah membaca Al.Quran, bersolat fardu setiap waktu secara berjamaah di masjid, sentiasa datang awal ke masjid dan sentiasa berharap supaya hayatnya juga akan berakhir di masjid. Sifat mahmudahnya itu dikagumi kawan dan rakan, akhirnya doanya itu dimakbulkan Allah, beliau meninggal ketika sedang menunaikan solat di masjid. Jenazahnya diziarahi oleh muslimin dan muslimat yang sangat ramai berbanding dengan jenazah-jenazah yang lain pada hal beliau bukan orang kenamaan atau memegang apa-apa jawatan yang berpengaruh.

(3) Katanya lagi Khalifah Omar ibnu Abdul Aziz dalam keadaan sebok macam mana sekali pun beliau akan membaca al.Quran sekurang-kurangnya 4 juzuk setiap hari.

(4) Kuliah hari ini juga menyentuh mengenai sifat syukur atau orang yang bersyukur, mereka yang bersyukur kepada Allah ialah mereka yang sentiasa reda terhadap pemberian Allah terhadap dirinya, banyak bersedekah dan menyedari bahaw rezeki itu terdapat bersamanya rahmat dan berkat dan sebaliknya.


1.13 petang.
Azan Zohor dan diikuti dengan solat sunat Jumaat
kemudian

Khutbah dibacakan, di antara intisarinya:

(1) Khutbah hari ini menyarankan supaya kita menjauhkan diri daripada sifat takabbur dan 'aujub ( sombong diri) - sifat takbur, riak dan sombong diri ini tidak sepatutnya wujud pada manusia kerana manusia kerdil lemah dan jahil dan kejadian mereka pun dariapada air yang hina ( iaitu daripada campuran air mani lelaki dan perempuan ) - Hanya Allah sahaja yang memiliki sifat tersebut kerana Allah sahaja bersifat Maha Bijaksana, Maha Berkuasa dan memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang lain.

(2) Sifat takbur dan sombong ini adalah sifat buruk yang dimilik iblis, maka manusia tidak sewajarnya memiliki sifat tersebut kerana memiliki sifat tersebut akan menyerupai sifat buruk yang wujud pada iblis, manusia sepatutnya memilki sifat-sifat yang mahmudah dan akhlak yang mulia.

(3) Sifat takbur dan sombong ini berlaku di antaranya kerana bermegah-megah dengan keturunan, berasa dirinya telah cukup berilmu, berasa dirinya telah banyak melakukan ibadat, berasa dirinya mempunyai ramai pengikut dan berasa dirinya cantai dan lawa dalam hal ini khususnya bagi kaum wanita.

(4) Untuk mengelakkan berlaku takbur dan sombong ini kita perlulah bermuhasabah diri dan bermuraqabah.
- Muhasabah terhadap semua perkara yang telah kita lakukan sama ada baik dan buruk serta membuat anjakan kepada sifat yang mahmudah ( positif).
- Menyedari bahawa dunia ini bukan tempat berpoya-poya.
- Bermujahadah iaitu bersungguh-sungguh untuk mentaati Allah.
- Taqarrub dan muraqabah dengan pertingkatkan amal ibadat kepada Allah..

- Sentiasa berdoa agar kita dijauhi sifat-sifat buruk tersebut.



Sekian, wallahu aklam. wassalam.




Friday, April 24, 2009

SERUAN DARI MIMBAR JUMAAT.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Seruan Mempertingkatkan diri dan Ummah.


Seruan khutbah Jumaat pada hari ini seperti biasa memulakan dengan memuji Allah dan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhamad.s.a.w. dan membacakan beberapa potongan ayat Al.Quran. sebagai menyempurnakan rukun-rukunnya. Di antaranya membacakan ayat surah yang tercatat maksudnya di bawah ini.

"Dan Aku tidak menciptakan jin
dan manusia melainkan
supaya mereka menyembah-Ku".
( Surah Az.Zuriyat 56 )

Selain daripada itu khutbah mengingatkan sidang hadirin supaya sentiasa bertakwa kepada Allah.

Di antara intisari khutbah hari ini ialah:

(1) Mengingatkan bahawa manusia adalah makhluk Allah paling mulia di sisi-Nya , mereka diberi amanah dan dilantik menjadi khalifah di atas muka bumi ini. sebelumnya amanah ini telah ditawarkan kepada langit, bumi, gunung-ganang dan lain-lain tetapi mereka menolaknya kerana mereka tidak mampu memikulnya. Lantas manusia menerima tanggungjawab tersebut.

(2) Sebagai khalifah di atas muka bumi ini manusia memegang amanah yang sangat berat untuk disempurnakan, mereka bebas mengumpul khazanah di dunia dengan syarat mematuhi batas-batas ajaran Islam. Islam adalah ajaran yang unggul dan penganutnya pula adalah sebai-baik ummah.

(3) Dalam bidang kemajuan dan rekacipta umat Islam sekarang hendaklah mengikut formula yang telah digunakan oleh masyarakat Islam yang telahpun menunjukkan kegemilangan mereka pada suatu ketika dahulu, masyarakat Islam sepatutnya menjadi masyarakat yang mencipta, bukana semata-mata menjadi masyarakat pengguna sepanjang masa. Masyarakat Islam boleh lakukan tetapi sayangnya tiada tindakan yang sewajarnya, walaupun pada masa ini di sekolah memang diajar kemahiran tersebut.

(4) Sidang hadirin diseru supaya meningkatkan diri sendiri dan masyarakat terutamanya dalam bidang penciptaan kerana bidang tersebut juga salah satu ibadah dan sumbangan yang bernilai kepada ummah.

(5) Untuk meningkatkan diri dan ummah di dalam bidang ini, ilmu Allah yang sangat luas itu perlulah dicari dan selongkar, keluasan ilmu Allah itu tiada bandingannya. jika ditulis dengan dakwatnya sebanyak air di lautan, semua daun dan ranting digunakan sekali pun ilmu Allah tidak akan berkurangan.

(6) Khutbah juga mengajak sidang hadirin supaya bermuhasabah diri dengan melihat kemajuan orang lain dan bertindak untuk memperbaiki keadaan kemunduran itu ke arah memperbaiki diri dan umat Islam. Saranan akhirnya khatib mengingatkan supaya "bekerjalah seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah seolah-olah kita akan mati esoknya"

(7) Seperti biasa khutbah diakhiri dengan berdoa memohon keampunan dan kesejahteraan untuk sekalian kaum muslimin dan muslimat.
_________________

28 RABIUL AKHIR 1430.
24 APRIL 2009.
_________________
Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

Friday, April 17, 2009

Sedutan Khutbah 21 Rabiul Akhir 1430H

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Salam sejahtera dan bertemu lagi. Seperti biasa pada petang ini saya menulis mengenai sedutan ringkas atau rumusan Khutbah Jumaat yang telah dibacakan sebentar tadi di masjid yang saya hadiri. khutbah yang disampaikan pada hari ini rumusannya seperti di bawah.

Di antara isi kandungannya:
(1) khutbah dimulakan dengan memenuhi rukunnya terlebih dahulu iaitu memuji Allah iaitu dengan membaca surah Al.Fatihah ayat 1 - 6. yang bermaksud " Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani . Yang menguasai pemerintahan hari Pembalasan ( hari Akhirat) Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang
kami sembah , dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus." . dan kemudiannya diikuti dengan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad.S.A.W.

(2) Khutbah hari ini menarik perhatian sidang hadirin dengan menjelaskan tentang betapa istimewanya kejadian manusia, diterangkan fizikal dan jasmani manusia yang cantik dan canggih iaitu Allah menjadikan kepala berada di atas dan kakinya di bawah, hidung, telinga, kaki, tangan dengan serba lengkap dan terletak dalam keadaan yang sangat istimewa.

Manusia pula menjalani kehidupan dengan mendiami di rumah-rumah yang berbagai jenis, rumah teres, banglo, istana dan seumpamanya.
Sebahagian daripada mereka telah lalai dan tertipu dengan keindahan dan kemewahan dunia sehingga terlupa mengerjakan ibadat kepada Allah.
Mereka yang bertugas sebagai penggali kuburpun masih melupai Allah dengan melakukan maksiat selepas meliha
t kematian dan tidak mengambil iktibar daripadanya.

Mereka yang mengumpul atau mencari harta atau rezeki juga melupai Allah, dalam hal ini Khatib membacakan Surah Attakaasur ayat 1 - 2 yang bermaksud " Kamu telah dilalaikan ( daripada mengerjakan amal bakti ) oleh perbuatan berlumba -lumba untuk mendapatkan dengan sebanyak-banyaknya ( harta benda, anak- pinak, pangkat dan pengaruh )".


(3) Khutbah merujuk kepada perjumpaan Allah dengan roh manusia ketika manusia masih di alam roh, Allah menceritakan kepada rasul-rasul mengenai perkara ini dengan diketuai oleh Nabi Muhammad.S.A.W. menyatakan ramai manusia gagal mengahadapi ujian kerana mereka beribad
at untuk memasuki syurga dan mengelakkan diri daripada memasuki neraka. Mereka yang berjaya katanya hanya mereka yang beribadat semata-mata kerana Allah , berkaitan dengan perkara ini khutbat menjelaskan kepada sidang hadirin dengan membacakan doa iftitah , disamping memberi keterangan dan penjelasan, doa tersebut bermaksud.
"Allah Maha Besar Dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi Dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit Dan bumi,
Dengan suasana lurus Dan berserah diri Dan aku
bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,
Ibadatku,
Hidupku,

Matiku
Adalah untuk Allah Tuhan sekelian
alam.
Tidak Ada sekutu bagiNya Dan kepadaku diperintahkan untuk tidak
Menyekutukan bagiNya Dan aku dari golongan orang Islam".



(4) Khutbah juga mengingatkan sidang hadirin bahawa ramai di antara penghuni neraka meluahkan penyesalan mereka dengan menyatakan mereka ingin kembali ke dunia untuk beribadat kepada Allah, khutbah merujuk kepada surah As-Sajadah ayat 12. yang bermaksud, " Dan ( sungguh ngeri ) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka ( dalam keadaan malu dan hina ), sambil merayu ): " Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya ( akan segala yang kami ingkari dahulu ); Maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yaqin (yakin)".

(5) Kesimpulannya dinyatakan di dalam khutbah yang kedua, menegaskan bahawa menunaikan solat itu adalah fardu 'ain yang wajib ditunaikan dengan sewajarnya dan beribadat adalah semata-mata kerana Allah.( kerana patuh dan taat kepada Allah ).

(6) Khutbah diakhiri dengan doa untuk kesejahteraan muslimin dan muslimat dan juga memohon kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Doa memohon keampunan muslimin dan muslimat adalah salah satu rukun khutbah Jumaat.

Sedutan ini ditulis berdasarkan isi kandungan yang mampu saya mengingatkannya sahaja dan banyak lagi isi penting yang tidak dicatatkan di sini.

Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.