Showing posts with label Disiplin menyempurnakan saf dan keutamaannya.. Show all posts
Showing posts with label Disiplin menyempurnakan saf dan keutamaannya.. Show all posts

Monday, June 22, 2009

Disiplin menyempurnakan saf dan keutamaannya.


Gambar hiasan

Pada "entry" kali ini saya ingin menyampaikan sedikit panduan yang ringkas mengenai susunan saf di dalam solat jamaah berdasarkan Hadis yang dipaparkan di bawah ini.


Sabda Rasulullah.s.a.w:

Daripada Abu Mas'aud al.Ansoori r.a. katanya: " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah merapatkan bahu-bahu kami ketika hendak didirikan solat sambil Baginda bersabda: " Betulkan,penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu. Jangan jadikannya bengkang-bengkok, nescaya nanti akan berselisih hati-hati kamu.
Hendaklah saf yang paling dekat denganku, terdiri daripada orang cerdik pandai dan matang fikirannya dari kalangan kamu. Kemudian hendaklah mengikut saf seterusnya orang yang baligh tetapi belum matang pemikirannya atau orang-orang yang hampir mencapai umur baligh. Kemudian hendaklah mengiringi saf seterusnya kanak-kanak yang telah mumaiyiz dan yang sepertinya" Berkata Abdullah bin Mas'aud: " Aku melihat kamu semua hari ini sangat kuat berselisih dan bertelingkah" ( Riwayat Imam Muslim )

Intisarinya.
Kalau kita meneliti Hadis di atas kita dapat melihat betapa sempurnanya ajaran Islam, ajarannya mementingkan disiplin dan adab yang mampu mendidik umatnya atau penganutnya mampu menyusun masyarakatnya maju ke hadapan.Arahan dan peraturan yang diwujudkan sangat suai dan relevan dengan kehidupan masyarakat.

Cuba lihat susunannya;

(1) Saf pertama yang menjadi saf utama kerana ianya berhampiran dengan imam (pemimpin) diperintahkan supaya dipenuhi oleh orang cerdik pandai dan matang fikiran di kalangan ahli jamaah.

(2) Saf berikutnya diikuti pula oleh mereka yang telah baligh atau hampir baligh.


(3) Saf seterusnya dipenuhi oleh kanak-kanak mumaiyiz dan yang sepertinya.

Susunan saf ini, jika dilihat dari segi kepimpinan terdapat menasabahnya kerana andai kata imam melakukan kesilapan akan dapat ditegur oleh orang yang betul-betul berada di belakangnya.( teguran yang diizinkan semasa sedang solat ),

Kalau imam terbatal solatnya juga akan dapat dan mampu digantikan oleh orang yang betul-betul berada di belakangnya.
Selain daripada itu orang yang berada disaf berikutnya adalah terdiri daripada mereka yang bukan cerdik pandai oleh itu mereka boleh menjadikan orang di depan mereka itu sebagai panduan dan contoh untuk mereka ikuti.

Kanak-kanak amat sesuai berada di saf belakang supaya mereka tidak menimbulkan gangguan ketika sedang bersolat atau tidak berlaku apa-apa perbuatan yang melucukan yang mungkin membatalkan solat orang dewasa, jika mereka berada di tengah-tengah orang dewasa tanpa disiplin tertentu perbuatan tersebut tidak dapat dielakkan.

Saf yang rapat dan lurus amat penting dijagai.
Cara meluruskan saf ialah dengan melihat lurusnya tumit kita dengan tumit orang lain di dalam saf dan merapatkannya sekadar bersentuhan yang masih memberi keselesaan untuk bersolat.
Sekiranya berlaku kekosongan atau terdapat ruang di hadapan, orang berkenaan hendaklah cepat melangkah ke hadapan untuk menyempurnakannya, itulah cara yang terbaik bukan membiarkannya sehingga makmum yang berada di saf yang jauh datang memenuhinya.


Pengetahuan yang seragam mengenai perkara ini patut dimiliki oleh setiap makmum tanpa pemgetahuan yang seragam tingkah laku yang bertentangan akan terus berlaku dan keinginan mencapai kesempurnaan solat berjamaah akan lambat tercapai.
___________________

Peringatan tambahan:
Sekiranya jamaah itu terdiri daripada beberapa golongan, maka saf hendaklah diatur seperti berikut;
(1) Imam.
(2) Makmum lelaki.
(3) Kanak-kanak lelaki.
(4) Perempuan dewasa.
(5) Kanak-kanak perempuan (belum baligh)

Sabda Rasulullah. s.a.w.
Adalah Rasulullah.s.a.w. mengatur saf lelaki di depan saf kanak-kanak dan saf perempuan di belakang saf kanak-kanak.
( riwayat Muslim )

___________

Sekian.Allah Maha Mengetahui.Wassalam.