Wednesday, October 20, 2010

PAS dan UMNO patut bersatu di padang yang lain pula.

Salam semua



Setelah saya membaca berbagai maklumat dari berbagai saluran media, maka saya terpanggil untuk menulis artikel ini yang berupa artikel politik yang sering saya mengelak dari menulisnya, tetapi, untuk kebaikan bersama terfikir pula bahawa mendiamkan diri bukanlah suatu sifat dan sikap yang baik dan bertanggungjawab terhadap negara yang tercinta. Setiap rakyat berhak memberi pendapat dan pandangan kerana kekadang mereka yang dianggap terpencil pun pandangan mereka ada juga yang bernas.

Mengambil contoh yang berlaku pada suatu ketika dahulu, suatu syarikat menjual sos tomato menerima pandangan pekerja bawahan dalam menyediakan semula tudung botol yang menjimatkan kepada tudung botol yang terbuka dan mengabaikan keselamatan dan menyerahkan tugas penjagaannya kepada pengguna sendiri, Mengikut pendapat pekerja bawahan itu bahawa tudung jenis tersebut akan meningkatkan jualan syarikat kerana kemungkinan boleh berlaku tumpahan atas sebab kesilapan pengguna, walaupun dari segi moralnya tudung baru itu agak nakal sedikit berbanding dengan tudung yang lama, tudung yang terdahulu itu menyediakan lubang-lubang kecil untuk sos itu keluar mengikut kadar yang dikehendaki oleh pengguna sahaja.melalui tudung rekaan baru pihak syarikat mengharapkan pengguna melakukan kesilapan supaya sos tersebut akan cepat kehabisan dan membelinya semula.Dengan itu jualan sos tomato syarikat mereka akan meningkat.Ternyata pelaksanaan cadangan tersebut memberi pulangan yang lebih baik.

Tidak salah menerima pandangan yang diberikan oleh orang bawahan asalkan pandangan itu bernas dan bermutu, Pandangan orang atasan pun kekadang tidak bermutu kerana terdapat juga di kalangan mereka yang terpilih yang sedang berada di atas itu terdiri dari kalangan mereka yang tersalah pilih atau tidak layak dipilih kerana terlalu cenderong melayan kepentingan diri.( bukan semuanya).

Oleh itu, sekiranya PAS dan UMNO terpaksa bersatu semula buat kali kedua, mereka perlulah bersatu di padang yang lain dan bukan lagi di padang UMNO seperti yang telah berlaku pada masa yang telah lalu, di mana ianya telah pun mengukir sejarah hitam bagi sesetengah pihak, sebaliknya buat kali ini mereka perlu bersatu di atas padang PAS, ( jika mahu bersatu ) mungkin dengan cara ini padangnya lebih baik dan teratur serta lebih bertanggungjawab, walaupun ini hanya andaian tetapi keyakinan terhadap cara tersebut lebih membawa kebaikan dan dilihat ramai yang akan menyokong dan merestuinya.

Apabila UMNO berada di padang PAS maka sudah tentulah mereka terpaksa mematuhi budaya PAS dan adat resamnya seperti mana PAS mematuhi budaya UMNO tempoh hari.lagi pun PAS dan lain-lain parti telah menari mengikut gendang UMNO sejak lebih 50 tahun yang telah lalu.Mungkin gendang yang akan dipalu oleh PAS dapat mengharmonikan semua budaya yang sedang diamalkan oleh UMNO dan bukan UMNO.

Dalam perjuangan menyatukan bangsa kepentingan individu perlu disingkirkan, perkara ini sentiasa disebut-sebut oleh mereka, kini sampailah masa untuk mereka merealisasikannya, kiranya mereka enggan maka ternyatalah mereka itu bercakap tidak serupa bikin dan hipokrit semata-mata.

Sebenarnya saya tidak mencadangkan supaya dua parti lama yang berpengalaman ini bersatu di bawah satu bumbung dan juga tidak melarang mereka bersatu, saya cuma andaikan, jika mereka terdesak dan terpaksa berbuat demikian maka barulah saya cadangkan supaya mereka bersatu dan memberi peluang kepada PAS pula menjadi terasnya bukan lagi seperti yang telah berlaku suatu ketika dahulu. Biarlah PAS pula yang mengatur khemah dan menentukan resipi masakannya.

Walaupun artikel ini dilihat seperti anjing menyalak bukit atau melukut di tepi gantang tetapi, jika ditakdirkan selepas PRU ke-13 nanti sukar hendak membentuk kerajaan baru, mana tahu tiba-tiba serkap jarang artikel ini mengena tepat pada sasarannya.
 

Sekian...Wallahu aklam...Wassalam.

No comments: