Sunday, October 24, 2010

Menyediakan peluang pekerjaan.

Salam semua.

Dalam beberapa hari ini mindaku akan sekali-sekala tenggelam timbul mengingati menara ratusan tingkat yang akan dibina kelak, kepalaku sesekali mendongak ke atas cuba membayangkan berapa jauh kepalaku terpaksa bergerak ke belakang untuk melihat puncaknya, sekiranya bangunan itu telah siap nanti, kalau dikala malam tentu sekali aku akan terlihat juga bulan dan bintang, jika waktu siangnya agaknya cahaya matahari akan menyucuk mataku.

Aku bayangkan juga bahawa tentu sekali akan terdapat ramai kontraktor gergasi , sederhana dan kecil-kecilan akan berada di tapak pembinaan semasa operasi pembinaannya dan ramailah penjaja makanan di tepi-tepi pagar yang menutup kawasan pembinaan, pembekal besi cerucuk, paku, atap, tail, kayu, sink, lampu dan lain-lain bahan binaan akan sebok membawa muatan ke tapak binaan setelah mereka mendapat tempahan, maka seboklah juga pekerja binaan, sama ada yang mahir atau sebaliknya, jurutera dan akitek tentu sekali memerah otak untuk memastikan bangunan itu dibangunkan dengan kejab dan kukuh serta dijamin tidak akan runtuh setelah siapnya nanti. semua yang terlibat itu tentulah akan mendapat habuannya masing-masing, tentu sekali projek mega ini akan memberi peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia dan juga pendatang, sama ada pendatang berizin atau tanpa izin.

Di samping itu aku juga teringat kepada pemuda dan pemudi yang sedang mencari pekerjaan, terdapat di kalangan mereka yang telah menghadiri konvokesyen sejak 2004 atau sebelumnya belum mendapat apa-apa pekerjaan yang menjamin kehidupan selesa bagi keluarga mereka, kalau dapat pekerjaan pun hanya buat beberapa ketika sahaja, selepas itu dihentikan kerana aktiviti syarikat berkurangan oleh itu tenaga pekerja perlu dikurangkan, maka kembalilah mereka menjadi penganggur semula, apakah agaknya tasauwur penanggung hutang PTPTN ini terhadap cadangan membina bangunan pencakar langit yang baru ini.Aku juga teringat mereka yang miskin yang mana minda mereka hanya tertumpa kepada mencari sesuap nasi, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Mungkinkah duit yang akan dibelanjakan sebanyak itu mampu mengatasi masalah mereka ini.kalaulah wang itu dialihkan kepada projek mengatasi pengangguran dan membasmi kemiskinan, apa megahnya bangunan pencakar langit bagi rakyat biasa seperti mereka ini. itulah terkadang terfikir di mindaku, aku bukan ingin membangkang atau mencegah pelaksanaan projek mega itu kerana diriku tiada apa-apa kuasa dan bisa pun. Cuma aku ingin menyatakan bahawa aku lebih berminat menyelesaikan masalah pengangguran dan kemiskinan mengatasi cadangan membina bangunan pencakar langit itu kerana setelah siap nanti pun mereka yang mewah sahaja akan mendapat manfaat daripadanya berbanding dengan mereka yang menganggur dan miskin sama ada mereka yang datang dari kampung ataupun bandar.

Pada hematku usaha mengatasi pengangguran dan membasmi kemiskinan serta meningkatkan mutu pendidikan lebih utama berbanding dengan lain-lain sektor. Lebih baik dana yang sedia ada itu dipergunakan untuk tujuan tersebut.Kalau kerajaan memiliki wang simpanan sehingga mampu membina bangunan pencakar langit sepatutnya pihak yang berwajib tiada lagi alasan untuk membiarkan wujudnya pengangguran dan kemiskinan.juga tiada yang tercicir dari sekolah kerana tidak menguasai akademik sebab mereka dapat masuk ke bidang vokasional dan teknik, kesejahteraan keseluruhan rakyat perlu diutamakan.

Wang yang digerakkan ianya akan mengaktifkan aktiviti ekonomi, kiranya wang itu telah berpindah ke tangan penganggur kerana telah mendapat pekerjaan dan orang miskin yang telah mendapat bantuan, mereka ini akan membenjakannya, sudah tentu wang tersebut bergerak di dalam pasaran, walaupun kelihatan peratus pergerakkan ekonomi itu sedikit tetapi ianya dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh dan akan menjadi serampang dua mata juga. Dari segi moralnya tindakan ini dirasakan lebih prihatin dan mulia..

Dalam menjaga kesejahteraan rakyat beberapa perkara ini perlu dijaga dan dipelihara serta diberi keutamaan iaitu sektor pendidikan, pekerjaan dan membasmi kemiskinan dan juga keagamaan, jika ini diabaikan negara akan menghadapi berbagai masalah yang akan mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Sekiranya perancangan projek tersebut tercetus dari hati yang ikhlas kerana ingin memajukan agama, bangsa dan negara, dibuat dan dirancangkan kerana Allah bukan terdapat kepentingan lain atau semata-mata untuk kebaikan rakyat dan negara , bukan untuk memuaskan rakyat tertentu sahaja, ayuh teruskan........


Sekian...wallahu aklam.

No comments: