Saturday, October 2, 2010

Rumah Terbuka...Mencari keredaan Allah atau menyesuaikan diri dengan keadaan.

Salam semua.

Pada suatu ketika dahulu Rumah Terbuka ini akan diadakan oleh pembesar negara atau mereka yang ternama sahaja, diadakan pada setiap perayaan mengikut agama dan bangsa masing-masing, saya tidak pasti budaya daripada mana atau siapa yang memulakannya, yang pasti setiap kali ada perayaan, maka akan adalah Hari Terbuka ini, sama ada Perayaan Hindu, Kristian, Tahun Baru Cina atau Perayaan Islam.

Bagi orang Islam rumah terbuka wujud setiap hari iaitu terbuka untuk sesiapa sahaja di kalangan saudara Islam yang ingin menziarahi rumah mereka bertujuan mengeratkan silaturrahim dan terbuka juga untuk mereka yang bukan Islam, pilihlah mana-mana hari yang disukai untuk menziarahi rumah saudara atau sanak saudara dengan syarat mematuhi adab ziarah bukan sahaja dikhaskan pada hari perayaan sahaja. adat dan budaya ini sangat dituntut oleh Islam.Malah kepada tuan rumah terdapat pula peraturana atau adab menyambut tetamu. Budaya rumah terbuka ini telah mengubah senario ziarah di kalangan masyarakat kita, mungkin juga disebabkan perubahan hidup dan perkembangan ekonomi masyarakat setempat.

Jamuan yang diadakan oleh orang Islam mempunyai aturcaranya yang tersendiri yang dikenali sebagai khenduri. Jamuan khenduri adalah salah satu usaha untuk mendapatkan keredaan Allah iaitu dengan bersedekah melalui jamuan atau memberi tetamu makan percuma, khasnya mereka yang dijemput.Doa tertentu akan dibacakan di dalam majlis tersebut untuk meyakinkan lagi terhadap keyakinan bahawa Allah menerima sedekah mereka dan diaminkan oleh semua yang hadir.Sebelum itu tuan rumah telah pun memasang niat bahawa segala jamuan itu adalah sedekah darinya kepada semua tetamu.Jamuan khenduri ini mempunyai identitinya yang tersendiri, jika dirobek identitinya, maka rosak dan cacatlah matlamat asal untuk mencari keredaan Allah itu. Niat dan aktivitinya perlu selari dengan ajaran Islam . Niat terutamanya hendaklah istiqamah dengan "Lillahi Ta'ala atau kerana Allah Ta'ala".

Kini Rumah Terbuka ini bukan sahaja diadakan oleh orang ternama, malah telah merebak ke tengah-tengah masyarakat biasa yang mana aturcaranya berbeza-beza di antara satu sama lain, ada yang masih mengekalkan budaya khenduri yang boleh diistilah atau dikategorikan sebagai amalan yang digalakkan oleh ajaran Islam.

Apa pun yang kita fikirkan, hendaknya janganlah mengadakan Rumah Terbuka ini kerana disebabkan tekanan mengekalkan atau menjaga status kerana situasi ini akan menyebabkan seseorang itu sanggup berhutang untuk menjayakannya.Bukan kebiasaan Islam berhutang untuk melakukan kerja kebajikan atau sedekah.

Mengadakan Rumah Terbuka ini adalah suatu budaya yang baik , tetapi, hendaklah aturcara yang dipilih dan dipraktikkan itu bersuaian dengan ajaran Islam, disamping wang yang dibelanjakan untuknya dari sumber yang halal, sekiranya aktivitinya bercampur-aduk dengan perkara yang dilarang, maka akibatnya akan mendapat lagha dan sia-sia . Tidak sesuai sama sekali aktiviti yang bercampur-aduk dengan perkara yang dilarang oleh Islam dikaitkan dengan menyambut perayaan Islam seperti Aidil Fitri atau Aidil Adha.

Sekian...Wallahu aklam.


No comments: