Friday, October 22, 2010

Bila ilmu bertambah pandangan dan sikap pun berubah.

Salam semua.
















Apakah agaknya mesej yang akan dimuatkan di dalam artikel ini....akan bersambung nanti...insya Allah.
-----------------------------------------------------------------------
Hanya pemerhatianku sepintas lalu.

Setelah tiga jam saya membiarkan kenyataan di atas dalam keadaan penuh kemusykilan barulah artikel ini di sambung. Sebenarnya artikel ini ingin membuat sorotan kembali ke zaman tahun 80an di mana pada ketika itu kefahaman masyarakat Melayu bermain tarik tali di antara ingin melonjakkan penghayatan Islam di suatu pihak dan di suatu pihak lagi berusaha menolaknya secara tidak langsung, perkara ini berlaku kerana didorongkan oleh pengetahuan dan juga kepercayaan masing-masing,. sudah tentulah yang satu itu tidak betul dan di pihak yang satu lagi itu betul kerana mereka memiliki ilmu dan pendidikan Islam yang mencukupi.

Pada ketika itu mereka yang tidak faham Islam merasakan bahawa memakai kopiah putih itu hanya mereka yang mendiami atau sedang belajar di pondok-pondok yang banyak terdapat di Kelantan,Kedah, Perak dan Terengganu sahaja, manakala mereka yang layak memakai serban dan jubah hanya mereka yang telah menunaikan fardu haji, walaupun tidak terdapat di dalam mana-mana kitab yang menerangkan demikian tetapi pengaruh percakapan mulut ke mulut telah memberi kesan demikian rupa kepada masyarakat kita, masyarakat ketika itu tidak melazimkan diri merujuk permasalahan mengenai ajaran Islam kepada kitab-kitab, mereka menyangka Islam itu hak orang Melayu, maka ikut sahaja amalan orang Melayu yang turun temurun itu walaupun tidak betul dan tidak tepat amalannya.

Kelaziman pada ketika itu dan zaman sebelumnya mereka yang telah meningkat usia melebihi 40 tahun akan mula memakai kopiah putih tetapi tidak memakai serban dan jubah, melainkan sebahagian mereka yang telah menunaikan fardu Haji, kefahaman dan tanggapan yang tidak tepat ini mulai berubah dengan cepatnya selepas tahun 80an, di mana sebahagian orang yang tidak mendalami ajaran Islam rasa terkejut dan pelik dengan perubahan itu. Sebenarnya sejak awal 70an lagi sudah pun terdapat kumpulan tertentu yang mengamalkan pakaian berserban dan berjubah serta berpakaian menutup aurat kerana mereka ini sentiasa menambahkan ilmu dan merujuk kepada kitab-kitab yang di dalamnya dimuatkan dengan penerangan-penerangan yang dikukuhkan dengan ayat al.Quran dan al.Hadis yang menjelaskan bahawa berpakaian serban dan jubah atau berkopiah putih bukanlah dikhaskan kepada mereka yang telah menunaikan fardu Haji atau seperti mana yang dijelaskan di atas tadi. Setelah faham mereka pun mengamal dan menghayatinya.

Berusaha untuk mengetahui perkara tersebut dan perkara-perkara yang lain semat-mata ingin menghayati Islam secara yang betul dan tepat, di samping mendekatkan diri dengan cara hidup Rasulullah.s.a.w. sama ada cara berpakaian , makan minum dan aktiviti yang lain-lain lagi.

Kesan daripada menampilan tersebut, ramailah masyarakat kita pada ketika itu khasnya masyarakat Melayu ingin mengetahui hakikatnya, mereka mulai mencari maklumat dengan menghadiri usrah-usrah dan ceramah-ceramah, akhirnya sebahagian besar daripada mereka bertambah ilmunya dan masyarakat pun berubah sedikit demi sedikit, pandangan dan sikap mereka pun menepati ajaran Islam kecuali mereka yang masih mengabaikan ilmu Islam.

Mereka yang masih mengabaikan ajaran Islam sehingga sekarang ini masih kabur dengan masalah ini dan berdegil untuk merealisasikannya, kekadang menimbulkan kemarahan orang Islam lain yang ingin menghapuskan gangguan tersebut.

Sekian..wallahu aklam...wassalam.

No comments: