Saturday, October 16, 2010

Pejuang tidak mengambil kesempatan mendapatkan ganjaran melalui kedudukan dirinya

Salam semua.

Pada hematku.

Artikel kali ini ingin menghurai dan mentakrifkan mereka yang dikategorikan sebagai pejuang bangsa berdasarkan kacamata penulis sendiri. Menjadi lumrah manusia mendapatkan sesuatu melalui usaha, usaha atau usaha yang bersungguh-sungguh , usaha yang bersungguh-sungguh diertikan juga sebagai berjuang atau perjuangan untuk mendapatkan sesuatu, mendapatkan sesuatu mungkin untuk diri sendiri atau untuk masyarakatnya atau bangsanya.

Pejuang (pemimpin) - untuk mereka mendapatkan sesuatu sama ada untuk diri sendiri atau bangsanya dengan memamerkan perjuangan untuk memaju dan menyelamatkan bangsa, sudah tentulah pejuang bangsa itu berjuang dengan ikhlas memajukan agama, bangsa dan negaranya. Pada permukaannya pejuang untuk kekayaan diri atau pejuang bangsa kelihatan serupa sahaja . Pejuang yang cerdik ini akan mendapat kedudukan di dalam masyarakat, rakyat biasa yang kurang pengetahuan sukar hendak memastikan sama ada individu tersebut pejuang bangsa atau pejuang kekayaan diri kerana kepetahan hujah pejuang ini juga hampir sama.Tegasnya pejuang kekayaan diri juga akan mengakui dirinya pejuang bangsa dan tidak sekali-kali berjuang untuk kepentingan diri, walaupun rakyat yang cerdik dapat menelah dan meneka sebaik sahaja tiba dan melihat persekitaran di depan halaman rumah pejuang tersebut, pejuang untuk kepentingan diri ini akan terus mencanangkan bahawa mereka adalah pejuang bangsa yang kental dan bukan pelahap kekayaan atau kebesaran diri kerana mereka yakin bahawa terdapat di kalangan masyarakat atau pengikutnya meyakini akan pengakuannya itu.

Pejuang bangsa dan pejuang kepentingan diri kedua-duanya memerlukan kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat, tegasnya memerlukan jawatan yang tinggi di dalam sesuatu jamaahnya.Untuk itu mereka perlulah mengisytiharkan diri bahawa mereka adalah pejuang masyarakat atau bangsa. Pada hal sudah sekian lama pejuang ini wujud bersilih ganti tetapi bangsa mereka tidak pun dimajukan, tetapi, sebaliknya mereka yang maju dan mempunyai harta yang melimpah ruah. tanpa segan dan silu harta itu dipamerkan secara tidak rasmi kepada bangsanya. Apabila mereka meninggal dunia mereka akan meninggalkan harta kekayaan hasil yang diperolehi melalui kedudukan mereka ketika kononnya berjuang untuk bangsa dan sudah tentunya akan diwarisi oleh anak-anak mereka pula.

Rakyat yang cerdik dan bijak akan menilai gaya hidup mereka yang mengakui sebagai pejuang itu secara terperinci dan halusi, mereka yang gemarkan kekayaan dan sentiasa hidup dalam gaya hidup mewah bukanlah berjiwa pejuang kerana pejuang tulen mereka akan merasai malu hidup demikian rupa dan rasa bersalah kepada rakyat yang miskin yang mereka perjuangkan. Jiwa pejuang tersirat di dalamnya kasih sayang dan kasihan belas kepada orang yang tidak bernasib baik. Mereka tidak sama sekali mengambil kesempatan mencari kekayaan atau pangkat kebesaran melalui kedudukan yang diangkat oleh pengikutnya kerana pengikutnya menaruh penuh kepercayaan dan harapan agar mereka memajukan agama, bangsa dan negara tercinta.
Pejuang tulen memperjuangkan keadilan sejagat dengan berbekalkan keimanan kepada Allah.



Sekian...Wallahu aklam....Wassalam.

No comments: