Tuesday, October 19, 2010

Bila seseorang berada dipuncak pemerintahan amalan demokrasi menjadi kurang baik baginya . .

Salam semua.

Demokrasi, musyauwarah atau hak bersuara adalah idaman bagi semua orang yang mempunyai minda merdeka, pada nalurinya semua manusia ingin memberi pandangan dan berkongsi pendapat dalam sesuatu pengurusan, pentadbiran ataupun pemerintahan kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap penjagaan negara dan agamanya.

Budaya demokrasi memberi peluang kepada setiap rakyat di dalam sesuatu negara untuk menyampaikan pandangan dan tegurannya terhadap pihak yang lain. Demokrasi juga memberi peluang kepada mereka yang berwibawa menawarkan diri untuk dipilih menjadi pemimpin, situasi ini tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga mereka yang ingin mendapatkan jawatan tersebut untuk mengejar cita-cita peribadi dengan berbajukan pemimpin umpama musang berbulu ayam.Dalam hal ini demokrasi hendaklah dikendalikan di bawah lingkungan had yang tertentu yang termaktub di dalam perlembagaan bagi sesebuah negara, manakla rakyat perlulah pandai menilai, sebab itulah Islam menyarankan supaya umatnya menuntut ilmu sehingga ke liang lahat supaya mereka tidak tersilap langkah di dalam kehidupan dunia dan juga akhirat.

Namun demikian demokrasi juga terdapat keburukannya, jika dikendalikan oleh rakyat yang kurang budi baiknya , mereka ini akan menghayatinya tanpa batasan dan mengabaikan had yang telah ditetapkan, sepatutnyalah setiap manusia perlu memiliki nilai-nilai agama supaya nilai tersebut dapat menjadi sempadan kepada amalan demokrasi mereka.

Bila seseorang berada dipuncak.
Bila seseorang itu berada dipuncak pemerintahan demokrasi menjadi kurang baik baginya, mungkin terdapat juga pemimpin yang berfikir demikian kerana amalan demokrasi menghalang cita-cita mereka, kuasa mereka terpaksa dikongsi dengan orang lain yang tidak kurang juga kewibawaannya. Pemimpin yang berego tinggi ini akan mencari jalan agar demokrasi dikurangkan atau terus berubah menjadi autokrasi supaya segala cita-citanya tidak dapat dihalang lagi.

Kembali kepada budaya yang disarankan oleh Islam, Islam menyatakan;
"..........dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya".
[‘Ali Imran 159]

Seseorang pemimpin bertanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat di bawah pimpinannya, perkara ini wajib menjadi teras pemikiran di dalam mindanya, itulah juga janji sebelum jawatan tersebut dijawat mereka, kalau mereka tidak sanggup dan merasai susah dengan tugas tersebut, maka bersesuaianlah mereka turun dari kedudukan tersebut kerana masih terdapat ramai lagi yang berwibawa untuk menggantinya dan tidak perlu mereka menukar demokrasi kepada autokrasi untuk memenuhi cita-cita individu itu kerana perbuatan itu adalah suatu penipuan dan mungkir janji yang hanya tergamak dilaksanakan oleh orang yang pentingkan diri sahaja.

Tanggungjawab menjaga dan mempertahankan negara adalah tanggunjawab bersama oleh itu perlu ianya dikendalikan secara demokrasi atau syura yang bersih dan beramanah dengan itu pendapat dan pandangan yang bernas dapat direalisasikan di dalam kehidupan rakyat.


Di manakah teras penilaian kemajuan hakiki bagi sesebuah negara, adakah pada bangunan pencakar langitnya atau pada budaya hidup warga negaranya, adakah menilai manusia pada badan besar dan tegapnya atau pada akhlak dan budaya hidup mereka yang bersih dan bertanggungjawab. Bangunan pencakar langit dan projek mega yang telah siap dibina senang ditinggalkan oleh pemimpin yang telah lalu,ini juga sering disebut-sebut tetapi sukar dan amat sukar hendak meninggalkan warga negara yang berakhlak mulia yang akan menjadi titik kesinambungan kepada generasi seterusnya yang mana perkara ini dituntut oleh semua agama, kalau ini gagal ditinggalkan bermakna kepimpinan yang telah lalu belum betul-betul berjaya dan mereka masih meninggalkan persoalan yang berbaki yang mungkin kurang dipedulikan mereka suatu ketika dahulu kerana kesebokan pada perkara lain .

Sekian..Wallahu aklam.

No comments: