Wednesday, May 13, 2009

Dalam kesempurnaan dan kepuasan manusia itu terdapat juga kecacatannya .


Jangan hilang arah
_________

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Beberapa hari kebelakangan ini saya meninjau dari blog ke blog untuk mendapatkan makluman yang dapat memberi manfaat atau memberi ilham untuk saya terus menulis di dalam laman blog yang tidak sepertinya ini. Ungkapan yang tertera di Shoutbox blog ini beberapa hari lepas juga telah menjadi punca awal mengusik minda saya untuk menulis pengalaman di bawah ini .
__________________

Ungkapan yang dimaksudkan:

Assalamualikum pak ngah,ni nak luahkan rse kcwa ngn ktue ni.kte dok kje smpi x kra mse tuh buat lporn cam kte x kje.ape la cm ni
______________________

Kalaulah tulisan ini tidak dibaca oleh sesiapapun maka saya menganggap tulisan ini hanya sebagai kesempatan meluahkan buah fikiran dan membuat percambahan fikiran kerana otak atau akal yang sentiasa digunakan itu akan sentiasa menikmati kesihatan, saiz otak manusia dikatakan sebesar bola tenis (tennis) , otak biasanya diibaratkan sifatnya seperti payung terjun, payung terjun semasa tidak digunakan saiznya sangat kecil tetapi saiz payung terjun pada masa sedang digunakan ianya berkembang menjadi sangat besar, demikianlah juga otak kita , sekiranya tidak digunakan maka tiadalah sebarang perkara dan benda yang boleh dimanfaatkan, tetapi, jika digunakan ianya akan melahirkan banyak manfaat dan faedah untuk diri sendiri dan orang lain.

Berbalik mengenai cerita pembacaan saya dari blog ke blog dan mesej tadi. Perkara tersebut mengingatkan saya pada zaman tahun 80an atau 90an dahulu di mana ketika itu keadaan diri masih segar bugar dan kuat bertenaga. Walaupun terdapat juga gangguan kesihatan tetapi ianya tidak sampai menjejaskan tugas. Kesungguhan terhadap tugas menjadikan hidup cergas dan istiqamah pada tanggungjawab.

Selama 15 tahun bertugas di sebuah sekolah telah memberi kesempatan kepada saya memberi banyak sumbangan kepada pihak sekolah tersebut selain daripada bidang pengajaran dan pembelajaran.
Beberapa projek yang bermanfaat yang saya terlibat sama dalam mengendalikannya ialah Projek Pembinaan Surau, Projek Pembinaan Kantin (tambahan), Projek Gotong Royong Pembinaan Dewan Makan Asrama (tambahan) dan lain-lain. Sebagai seorang guru projek-projek seperti ini bukanlah bidang tugasnya, sebaliknya tugas ini merupakan tugas sukarela atau tugas tambahan sebagai amal kebajikan sahaja. Bangunan-bangunan tersebut masih berdiri tersergam sehingga hari ini dan menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan.

Selama 15 tahun itu banyaklah lagi tugas-tugas yang dilakukan, pada tahun 80an belum lagi diwujudkan apa-apa sistem yang membolehkan pekerja mendapat anugerah sama ada penilaian gaji diberi secara mendatar, cemerlang atau melintang tetapi pada tahun 90an anugerah tersebut mula dilaksanakan. Maknanya peluang untuk mendapatkan keseronokan dunia bersama anak isteri telah diwujudkan tetapi penilaian yang diberikan hanya mendatar atau corot sahaja.

Mereka yang mendapat cemerlang atau melintang kebanyakannya mereka yang bergaul rapat dengan pihak atasan, kenyataan ini sering disebut tetapi sejauh mana kebenarannya belum dapat dipastikan, pokok bergoyang biasanya ketika adanya angin, siapa yang rapat pergaulannya dengan sesiapa bukanlah persoalan, persoalan yang serius dan yang perlu ditangani ialah keadilan, dalam hal seperti ini nampaknya terdapat juga bos yang tidak mampu memberi keadilan kepada anak buahnya. kekadang mereka lebih berseronok-seronok dengan kuasa yang ada ditangan. Setengahnya tidak menyedari bahawa ketidakadilan yang diwujudkan dengan sengaja itu akan menjadi kenangan pahit sesetengah anak buahnya. Ketidakadilan yang berlaku dengan tidak disengajakan masih dapat meraih pahala daripada Allah.

Pada suatu hari di mana pihak sekolah mengadakan Hari Anugerah Cemerlang, kebetulan Pegawai Pendidikan Daerah ( PPD ) dijemput untuk memberi ucapan dan menyampaikan hadiah kerana saya telah lama bertugas di sekolah tersebut dan sering terlibat dengan tugas-tugas di barisan hadapan , beliau sendiri pun sering dijemput ke majlis sekolah, agaknya atas alasan tersebutlah beliau menyedari bahawa saya telah lama di situ, setelah menghampiri saya, beliau bertanyakan tugas-tugas yang diamanahkan kepada saya pada tahun tersebut. Ketika itu saya memang memegang berbagai jawatan, semuanya diterangkan kepadanya sebagai bahan perbualan pada hari itu.

Dalam keadaan saya sendiri tidak menyangkanya, beliau menyatakan dan melahirkan rasa kurang puas hati mengenai kedudukan saya pada masa itu, maksudnya tidak berada pada kedudukan dan penilaian yang sepatutnya. Beliau dengan bersungguh-sungguh menasihatkan saya supaya berpindah ke sekolah lain. Kerana katanya di sekolah sekarang kesungguhan dan ketekunan saya menjalankan tugas itu dinilai sebagai perkara biasa atau perkara itu telah menjadi kebiasaan saya, tanggapan begini akan merugikan saya, kalau saya berada di sekolah yang lain kesungguhan dan sikap saya akan terserlah, dilihat dan dinilai.

Dalam pada itu beban tugas sering ditambah kepada mereka yang bekerja kuat dan tekun dan mereka seperti ini pula susah mendapatkan pelepasan untuk berpindah atau bertukar ke tempat lain, kiranya mereka membuat permohonan kerana dirinya disayangi dan mampu meringankan beban pentadbir, sayangnya kekadang tidak dihargai. akibat penilaian yang dibuat secara sehala .

Kemudian beliau bersungguh-sungguh menasihati saya supaya berpindah ke sekolah lain, katanya insya Allah di sana akan ada berkatnya. Saya pun ikut nasihatnya, setelah saya berada di sekolah yang baru dalam tempoh beberapa tahun sahaja saya mendapat penghargaan yang sewajarnya, Dalam tempoh 10 tahun saya berada di sekolah tersebut saya mendapat 3 anugerah cemerlang termasuk anugerah dalaman , disamping itu juga mendapat kenaikan pangkat tetapi saya menolaknya atas alasan tersendiri. Walaupun di sekolah ini saya mendapat rekod penilaian atau prestasi yang baik tetapi sebelumnya pernah berlaku penolakan oleh pihak teratas terhadap prestasi terbaik yang telah dipersetujui oleh pihak pengurusan - Perkara ini telah menjadi kenangan pahit sehingga sekarang, penolakan itu telah menyebabkan saya kerugian setiap bulan dan sekiranya tidak berlaku penolakan tersebut, sekarang saya akan menerima bayaran bersara lebih sedikit daripada jumlah yang diterima masakini.
Jika kita kembali kepada takdir bermakna perkara yang berlaku itu bukan rezeki saya tetapi dari segi tanggungjawab terhadap tugas menegakkan keadilan masih dituntut untuk menyempurnakannya.

Saya rasa perkara ini tidak patut berlaku sama sekali . Bayangkan daripada prestasi selayaknya melintang ( terbaik ) telah diubah dan diturunkan kepada prestasi mendatar ( biasa ) - rahsia ini diperolehi daripada mereka yang terlibat dengan penilaian tersebut- mereka yang geram dan tidak berpuas hati menceritakan perkara itu kepada saya , mereka tidak sanggup berkongsi dosa agaknya - Saya menyatakan kepada mereka, saya tidak akan bertindak apa-apa, sebaliknya akan bekerja lebih gigih lagi kerana sikap saya itu tidak akan merugikan kerana kebanyakan tugas yang saya kendalikan adalah berbentuk kebajikan dan sumbangan secara langsung kepada para pelajar. Tugas yang begitu sifatnya menyebabkan tiada rasa penat, sebaliknya mendapat suatu kepuasan pula, Kebanyakan tugas saya di sekolah ini seperti mengulang kembali tugas yang telah saya ceritakan di atas.

Namun demikian sebagai penjawat jawatan kerajaan yang bekerja untuk mendapatkan sara hidup tetap kekal atas dasarnya yang asal iaitu mendapatkan upah yang setimpal seperti yang dijanjikan, kalaupun kita tunduk bukanlah untuk dipijak oleh sesiapa.
Alhamdulillah selama 32 tahun betugas saya tidak pernah bergaduh dengan sesiapapun samada dengan ketua ataupun rakan sejawat. Kalau adapun sekadar berkecil hati dan kecewa berseorangan.

Ketua bagi sesuatu sektor hendaklah peka dan kenal anak buahnya yang mengampu, apabila ketua tidak menyedari perkara ini pasukan yang diketuainya akan menjadi kucar kacir dan hilang kepercayaan di antara satu sama lain. Biasanya ketua yang cenderung berbuat demikian akan dibajai oleh mereka ini dan juga secepat kilat diketahui oleh anak buah yang lain.

Sebenarnya penilaian di tempat kerja berlaku dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. penilaian tidak rasmi ini akan berlaku sepanjang masa, Bos akan menilai anak buahnya dan anak buahnya pula menilai bos. Kebijaksanaan anak buah akan dilihat dan kebijaksaan bos juga akan dilihat. Suasana inilah yang akan memberikan sama ada kekuatan atau sebaliknya kepada sesuatu pasukan. Situasi inilah juga akan menyerlahkan sama ada seseorang ketua itu berwibawa atau sebaliknya.

Cerita ini bukanlah untuk bermegah diri atau merendahkan martabat diri ataupun menceritakan keburukan orang lain, di sini tidak disebut nama sesiapapun, pendedahan ini semat-mata untuk
menjadi teladan dan sempadan. kiranya ada yang baik jadikanlah cotoh dan teladan, kiranya buruk ceritanya jadikanlah sempadan .

Saya sering berfikir bahawa guru muda atau pegawai muda patut diberikan pendedahan perkara-perkara yang seperti ini, mereka mengetahui sesuatu terlebih dahulu sebelum mengalaminya adalah lebih baik, umpama orang muda mengetahui terlebih dahulu gejala-gejala penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya adalah lebih selamat, langkah pencegahan itu lebih baik daripada mengubatinya.

Akhirnya saya bersyukur kepada Allah kerana memberi bakat dan kebolehan menjalankan tugas melebihi kebolehan yang saya sendiri jangkakan sebelumnya, Kesempurnaan dan kepuasan dapat dirasai dan nikmati walaupun di sana terdapat kecacatannya.
Kejayaan ini diperolehi kerana pertolongan dan tunjuk ajar mereka yang lebih berpengalaman dan rezeki yang terlepas itu adalah sebagai ujian dan didoakan semoga Allah akan melimpahkan rezeki-Nya kepada anakcucu dan memberkati hidup mereka.


(Terima kasih En.Rahmad)

Sekian. wallahu aklam. wassalam.

2 comments:

Mak Su said...

bulan ini bulan penilaian, tapi sebagai pekerja - saya tak taruh harapan sgt, rezki Allah yg beri.

entah...mcm kecewa plaks.

Leenoh said...

Salam Mak Su.

Kalau tugas kita ketara lebih berat daripada orang lain adalah adil diberi prestasi yang terbaik.
Walau apapun kita tidak bersetuju penilaian yang dibuat secara tidak jujur.