Wednesday, May 20, 2009

Gejala sosial dulu dan kini.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Pada hari ini saya masih ingin berkongsi pengalaman dengan anda semua, kali ini mengenai akhlak atau gejala sosial masyarakat di Malaysia, Pengalaman yang akan dipaparkan ini hanya di sekitar pengalaman hidup saya sahaja, walau bagaimanapun berkemungkinan terdapat persamaan dengan pengalaman orang lain juga.

Zon Pertama.
Semasa saya masih kanak-kanak lagi iaitu tahun 50an ketika itu Malaysia dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu, tidak termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura. Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al.Haj.


Apa yang hendak diceritakan di sini merupakan pengalaman sendiri dan juga apa yang dikisahkan oleh orang dewasa pada ketika itu. Pada tahun di antara 30an dan 50an ,tahun 30an saya belum dilahirkan lagi, pada ketika itu masyarakat Persekutuan Tanah Melayu hidup di dalam kesusahan dan kejahilan, atas desakan kesusahan terdapatlah di kalangan ahli masyarakat menjadi pencuri dan perompak atau lanun , kegiatan ini hanya berlaku pada
waktu malam sahaja. Walaupun masyarakat kita tidak berilmu dan pelajaran tetapi ramai juga yang mempunyai ilmu sihir atau ilmu yang berkongsi dengan jin syaitan, oleh itu ramailah yang syirik atas sebab-sebab tersebut.

Pada akhir tahun 50an kejahatan merompak di kampung-kampung telah berkurangan atau hampir tiada langsung. te
tapi kejahatan mencuri pada waktu malam masih berlaku dengan aktifnya. sesiapa yang memiliki banyak kerbau lembu mereka terpaksalah membuat kandang berhampiran dengan rumah, terdapat juga kerbau yang saiznya besar dan bernilai tinggi harganya terpaksa ditambat di bawah rumah, Semua rumah pada zaman tersebut dibuat bahagian bawahnya berkeadaan tinggi iaitu dalam ukuran lebih kurang 6 kaki, di bahagian ini biasanya digunakan untuk menyimpan peralatan bertani dan seumpamanya dan di bahagian atas sebagai tempat kediaman. Kekadang kerbau lembu juga terpaksa ditambat di bahagian tersebut.
__________________
________
31 Ogos 1957
Persekutuan Tanah Melayu.
Merdeka.


16 September 1963
tarik
h pembentukan Malaysia

__________________________

Zon Kedua.
Pada zaman di antara tahun 50an sehingga 70an masih berlaku kecurian kerbau lembu dan ayam itik serta barangan yang berharga seperti padi yang tersimpan di dalam jelapang dan juga peralatan bertani, Semua kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Untuk langkah keselamatan penduduk kampung akan berikhtiar dan berusaha sendiri mengikut kemampuan masing-masing. Pada tahun 70an gejala ini telah banyak berkurangan atau hampir tiada langsung, Pada ketika ini ramai di antara penduduk kampung telah berpelajaran sekurang-kurangnya mereka pergi menambahkan ilmu di madrasah-madrasah ( surau ) khususnya ilmu mengenai ajaran Islam iaitu Ilmu Tauhid dan Ilmu Fiqah serta tajwid. Sebelum itupun telah dijalankan pengajian ini tetapi kurang berkembang atau masih kurang kesedaran dan sambutan. Kehidupan pada ketika ini memang tiada langsung ancaman kecurian, rompakan, dadah dan seumpamanya.
Padi yang telah dituai, dibanting dan diisikan di dalam guni, jika padi tersebut diletakkan di dalam petak bendang pada waktu malam tanpa jagaan pun akan selamat dan demikianlah juga getah sekerap yang ditinggalkan di pondok di tengah kebun getah, begitulah juga barangan yang berharga yang lain. Namun demikian langkah keselamatan diteruskan seperti sebelumnya juga atas alasan ikhtiar dan tawakkal.

Zon Ketiga.
Pada zaman ICT iaitu tahun 80an sehingga ke abad ke 21 ini, manusia semakin berubah, mereka semakin maju dan canggih di dalam tindakan dan ciptaan kerana perkembangan Sains dan teknologi bergerak begitu pesat sekali. Akhlak buruk manusia juga berjalan seiring dengan kemajuan dan akhlak mulia tersebut.
Sebenarnya pada tahun 70an di bahagian selatan Tanah Air anak-anak muda telah mulai terlibat dengan penyalahgunaan dadah tetapi gejala itu belum menular ke utara Tanah Air.
Gejala buruk dadah ini kelihata ketara di utara Tanah Air mulai tahun 8oan. Wujudnya kemiskinan dan penagihan dadah ini menyemarakkan kejahatan kecurian, ragut dan rompakan, selain daripada itu ditambah pula dengan warga asing yang semakin ramai menjadi penghuni Malaysia. Warga asing ini telah biasa dengan kehidupan susah dan tercabar di negara masing-masing , mereka ini tidak lagi menghiraukan undang-undang tempatan, sikap ini menjadikan anak-anak tempatan berasa takut dan gelisah serta terancam kehidupan mereka kerana secara amnya anak-anak tempatan telah biasa dengan hidup berakhlak dan bersopan. Maka sukar bagi mereka menelah perbuatan jahat sesetengah warga asing ini.
Bahagian ini saya tidak berhajat untuk meneruskan paparannya kerana anda sendiri telah mengalaminya dan sedia maklum mengenai perkembangannya.

Sekian, wallahu aklam. wassalam

2 comments:

Hunny said...

salam Pak Ngah,

Dalam Alquran, gejala sosial disebut sebagai maksiat dan wajib diperangi oleh orang Islam. Persoalannya, Bagaimana? jawapannya, walaupun MAIS dan JAIS diberi kuasa untuk membasmi, tetapi masih juga kami memerlukan bantuan daripada orang ramai untuk membuat aduan dan tampil sebagai saksi dalam kes2 pendakwaan terhadap jenayah syariah yang difailkan. Baru minggu lepas saya mendapati bahawa bilangan Pegawai penguatkuasa Agama JAIS hanya ada seramai 130 orang sahaja untuk seluruh selangor, sedangkan jumlah bancian umat Islam di Selangor pada tahun 2008 adalah seramai 2,075,015 juta! Nah! bagaimana mampu penguatkuasa JAIS bertindak, jika nisbah seorang penguatkuasa:15,961 orang Islam. Justeru, diharapkan kerjasama orang ramai seperti AJK Masjid untuk membantu dalam operasi mencegah maksiat ini. sesungguhnya, mencegah maksiat adalah tanggungjawab semua umat islam.

Leenoh said...

Salam Hani.

Tanggungjawab mengurangkan gejala sosial atau maksiat ini adalah terletak di atas setiap orang Islam yang mukallaf, samalah juga dengan tanggungjawab berdakwah suatu kewajipan ke atas setiap orang yang mukallaf. MAIS dan JAIS atau pihak yang berkuasa Agama Islam negeri-negeri pada pendapat Pak Ngah mereka hanyalah kumpulan teras yang dipertanggungjawabkan untuk menangani kegiatan tersebut, kewajipan ini sangat berat tidak mungkin mereka mampu menggalas kesemuanya.

Tindakan kekerasan dan hukuman hanya dapat menyelesaikan sebahagian kecilnya sahaja dan
Selebihnya adalah dengan cara memberi kesedaran melalui kuliah-kuliah yang menyampaikan ajaran Islam, Hanya ilmu pengetahuan sahaja yang dapat mengubah sikap mereka.
Untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada mereka yang dewasa ini pula bermasalah, Masjid-masjid dan surau-surau di Selangor khasnya pada masa ini telah dimakmurkan dengan rancaknya dan para penceramahnya pun terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan tinggi ilmunya, sebelum solat Jumaat juga kuliah diadakan di merata masjid,disamping bermacam-macam program yang lain yang diatur, banyak perubahan ke arah kebaikan Islam telah dilakukan.

Pada pandangan Pak Ngah tindakan yang paling berkesan untuk menangani masalah maksiat atau gejala sosial di kalangan umat Islam 80% adalah melalui tarbiah dan ilmu, sama ada mereka itu remaja ataupun dewasa tetapi gejala ini bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam. Mereka yang bukan Islam juga terlibat dengan perbuatan mencuri dan rompakan dan lain-lain. Jika kita tumpu kepada orang Islam sahaja masalah masyarakat kita masih belum dapat dimurnikan.
Orang bukan Islam juga perlu mengatur susunkan program untuk masyarakat mereka, untuk itu perjumpaan dan perbincangan dengan berbagai agama perlulah diatur bagi mengambil keputusan yang sesuai untuk dilaksanakan oleh pihak berkuasa masing-masing.
Pak Ngah hanya meluahkan pandangan yang ada di dalam minda sahaja, mungkin semua perkara tersebut telah pun dilaksanakan atau sedang dilaksanakan.
Hani, masalah ini jika diambil atau difikirkan secara serius dan ideal memang akan memeningkan kepala kita, setelah kita berusaha bersungguh-sungguh tetapi masih tidak kelihatan hasilnya, maka kita kenalah kembali kepada Allah bahawa tanpa taufik dan hidayah daripada-Nya masyarakat kita akan berterusan berkeadaan seperti sedia maklum.