Sunday, May 24, 2009

Lakonan marah .

Salam sejahtera.

Semakin lama menulis blog maka semakin susutlah juga idea yang terkandung di dalam minda, demikianlah yang berlaku pada diri saya. Disebabkan keinginan yang tinggi dan desakan hati supaya terus menulis, terpaksalah saya menulis walaupun topiknya tidak menarik dan ditambahkan pula huraian yang juga tidak menarik. bagi meneruskan nafas blog ini kali ini saya memilih topik " MARAH".


MARAH.
Marah pada amnya terbahagi kepada dua kategori iaitu marah terpuji dan marah yang tercela. Marah terpuji ialah marah yang menghalang daripada berlakunya perkara buruk atau perkara maksiat. Manakala marah yang tercela ialah marah yang tidak terkawal atau mengikut nafsu tanpa sebarang faedah.
Orang yang mempunyai sifat marah yang sebati dengan dirinya senang naik marah apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan dirinya rasa tidak puas hati dan sifat ini akan merenggangkan perhubungannya dengan ahli keluarga, sahabat, jiran , rakan sejawat dan lain-lain. Islam menyuruh penganutnya bersabar dan berlemah lembut. Islam juga melarang perbuatan marah yang tidak berfaedah. Marah biasanya akan tertanam sifat benci kepada orang lain dan menghapuskan sifat lemah lembut yang digalakkan oleh Islam. marah juga akan menafikan kebaikan orang lain. Islam juga memerintahkan umatnya mengamalkan sifat bersabar kerana bersabar itu adalah daripada sifat orang yang beriman.
_________________________

Berikut diperturunkan maksud Hadis yang berkaitan:

(1) Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah.”
(Hadis riwayat Ibn Majah)

(2) Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(3) Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(4) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia mendekatkan dirinya ke bumi ”.

(Hadith riwayat At-Tirmidzi)

(5) Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya :

Apabila seseorang di antara kamu marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk, sesungguhnya yang demikian itu akan menghilangkan marahnya, dan jika tidak maka hendaklah di berbaring

(Hadith riwayat Abu Daud)

(6) Rasululullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :

Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam”.

(Hadith riwayat Ahmad)

________________________________

Firman Allah bermaksud;

"Dan aku tidak membebaskan diriku
(dari kesalahan), karena sesungguhnya
nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan,
kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.
Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun
lagi Maha Penyayang".
Surah Yusuf (53)
______________________

Untuk meredakan marah;

Beristighfar banyak-banyak.
Mengambil wuduk.
Ketika marah hendaklah duduk atau berbaring.
Mendiamkan diri.
__________________________

Marah juga suatu sifat yang penting untuk dimiliki, sekurang-kurangnya bagi menjaga maruah diri dan mengawal keadaan terutamanya bagi guru yang sedang mengajar di dalam kelas atau sedang mengendalikan sesuatu perhimpunan pelajar atau mengawal disiplin pada keseluruhannya. Terlalu kerap marah juga boleh menyebabkan berlakunya ketegangan fikiran berpanjangan dan keadaan itu pula boleh merebak kepada kehadiran masalah yang lebih buruk lagi , seperti sakit jantung, kemurungan dan lain-lain.

Untuk Renungan Para Guru.

Guru yang sering menghadapi para pelajar yang nakal disyurkan supaya memfokuskan minda kepada keadaan normal dahulu sebelum marah, kemudian lakonkan marah itu pada kadar yang dikehendaki, Keadaan marah begini sebenarnya kelihatan pada zahirnya sahaja marah tetapi pada hakikatnya tidak marah, Marah yang dilakonkan ini tidak menyebabkan kejutan pada aliran darah, aliran darah akan berlaku atau mengalir secara normal .Marah seperti ini juga tidak melibatkan nafsu yang didampingi oleh iblis syaitan.

Lakonan marah ini perlulah dilakonkan sepenuh hati supaya kelihatan keadaan marah itu seperti marah sebenar, keadaan mata dan muka hendaklah kelihatan seperti orang yang betul-betul marah. Cara begini barulah memberi kesan takut dan hormat oleh para pelajar. Sikap dan sifat seperti ini hendaklah diamalkan berterusan dan istiqamah pada setiap keadaan yang memerlukan guru berbuat demikian. Biasanya tindakan guru yang tidak istiqamah dalam hal atau perkara seperti ini boleh menyebabkan para pelajar hilang takut dan hormat kepada mereka .
Walau bagaimanapun terdapat juga para pelajar yang nakalnya itu sukar ditangani oleh mana-mana guru pun , kita kategorikan kenakalan ini adalah pada tahap yang sangat tercabar kepada seluruh warga sekolah.. Para pelajar seumpama ini memerlukan kaedah khas yang hanya boleh diuruskan oleh pihak pengurusan sekolah sahaja.

Pengkisahan lakonan marah yang diutarakan di sini hanyalah mempamerkan pengalaman yang telah lalu.Jika ianya tidak sesuai dengan anda abaikan sahaja.

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.
.

6 comments:

Hunny said...

Pak Ngah,

Insyaallah, nampak gaya, Pak Ngah ni sabar orangnya..Bolehlah turunkan ilmu kat kami orang yang masih berdarah muda ni..hhehe

Mak Su said...

tq, marah tak tentu hala buruk akibatnya

Leenoh said...

Salam Hani.
Ini bukan cerita tahun 70an, kalau cerita tahun 70an ada sedikit panas baran seiring dengan penyakit migrain. Itu zaman kekurangan oksigen di otak, hehehe.

Ini cerita tahun 80an sehingga ke abad ke 21, cerita ketika jadi Warden asrama dan jadi guru disiplin. kalau amalkan marah hakiki, alamat sakit jantunglah Pak Ngah.

Sebenarnya sebelum ini Pak Ngah terbaca di dalam salah satu blog menyatakan pada masa sekarang ramai guru menghadapi tekanan dan kemurungan di sebabkan karenah anak murid mereka yang semakin nakal dan tekanan tugas yang lain. selepas itu barulah Pak Ngah terpanggil untuk menulis topik ini.

Menjadi guru sememangnya kena pandai berlakon kalau berlaku sebaliknya mereka akan gagal kawal kelas, kalau gagal mengawal kelas bermakna pengajaran dan pembelajaran juga turut gagal.

Tengah marah nak kembali normal susah tetapi kalau berlatih insya Allah boleh. Dulu bila Pak Ngah marah Pak Ngah terus ingatkan orang yang memberi sihat kepada Pak Ngah supaya kembali normal, kemudian lakonkan marah itu terhadap para pelajar yang nakal itu, kalau memarahi orang dewasa sukar hendak buat demikian, Budak-budak memang di dalam didikan kita.lebih senang untuk melakukannya.

Apapun bila keluar rumah pada waktu pagi berniatlah bahawa pada hari ini aku tidak mahu marah sesiapapun, hehehe,
kalau marahpun hanya berlakon sahaja.

Pak Ngah, kalau menjawab komen memang panjang melalut...sebab Pak Ngah tak marah...hehehe.
maaf bergurau ye.

Leenoh said...

Salam Mak Su.
Merancang untuk tidak marah, marah lakonan hanya marah palsu, marah hakiki berteraskan iblis.
Marah yang diizinkan sekadar menjaga maruah dan menghalang maksiat.
Sekadar ulangkaji sahaja.duduk perkara semuanya almaklum.

KUNTONG said...

Pengalaman seorang guru dan warden seperti anda, memang patut menurunkan ilmu kpd generasi guru sekarang. Pelajar-pelajar sekarang pun sudah berlainan bentuknya. hanya perlu sedikit perubahan dan transformasi ke arah yang lebih baik dan sesuai.
Syabash dn teruskan.

Leenoh said...

Salam Sdr.Kuntong.
Sesungguhnya anda adalah ahli keluargaku di dalam linhkungan keluarga yang besar.Kalau ke Cheras jangan lupa ke sini.

Anda sendiri pun apa kurangnya berpengalaman mengajar di kampung dan bandar, susunlah ayat-ayat untuk menyampaikan pengalaman yang lalu kepada generasi muda supaya tidak putus tali kesinambungannya.

Menceritakan kesusahan kita dahulu, mungkin dapat melegakan ketegangan orang muda yang lebih selesa berbanding dengan kita dahulu.

Pengalaman yang ada hampir kehabisan stok, kekadang tak tahu apa nak tulis...he3.