Sunday, July 10, 2011

Bob Lukman berhijrah.

Salam semua.

Kebiasaan saya pada setiap pagi Ahad saya ke Pasar Tani tetapi pagi ini saya tidak ikut bersama ke sana kerana hendak menulis dan membaca susuatu di laman-laman internet.

Jam 5.30 tadi saya dikejutkan dengan deringan telefon dari seorang kawan rapat yang sering bersama mendengar ceramah atau kuliah , beliau bersama seorang lagi kawan mengajak saya ke Surau Ar.Rahmah Sek.8, Shah Alam.
Semasa di dalam kereta baru diceritakan akan ke surau tersebut untuk bersolat Subuh dan mendengar tazkirah yang akan disampaikan oleh Bob Lukman iaitu seorang artis yang telah membuat anjakan dan penghijrahan cara hidupnya kepada yang lebih baik iaitu cara hidup Islam.

Banyak pengalamannya yang telah lalu diceritakan di dalam tazkirahnya untuk dimanfaatkan para jamaah yang sedang mendengar ceramah atau tazkirahnya dengan khusyuk itu. Bob Lukman sebenarnya seorang yang telah pun mempunyai ilmu atau asas agama yang telah ditanam oleh datuknya sejak kecil lagi, kemudian ditambah lagi ilmu Islam itu di salah sebuah sekolah agama di Kajang dan tamat di peringkat menengahnya. Maka senanglah baginya memberi tazkirah, ayat-ayat al.Quran dan Hadith disebut dan dibacanya dengan fasih.

Pengalamannya dalam bidang komunikasi banyak membantu beliau menyampaikan sebarang ceramah, alhamdulillah, kini pilihannya adalah menjadi seorang pendakwah dan telah meninggalkan cara hidup lamanya sebagai seorang seniman wayang atau TV, kalau pun beliau masih seorang seniman (selebriti), mungkin boleh dianggap sebagai seniman islamik.

Walaupun beliau seorang yang berbakat dalam bidang lawak jenaka di samping bidang seni yang lain, namun beliau tidak banyak berlawak di dalam surau, hanya sekadar sedikit cuit yang menggerakkan senyuman sahaja, pendekatannya dilihat sangat sesuai dan berbakat, semoga beliau akan menjadi pendakwah yang berjaya dan memakmurkan lagi masjid dan surau.

Secara berseluruh katanya kita banyak mengejar dunia yang fana tanpa memperdulikan anak- isteri seperti di dalam peringatan Allah supaya memelihara dan menyelamatkan mereka daripada bahan bakar api neraka, kita asyik mengumpul harta sehingga terlupa kewajipan terhadap Allah tetapi setiap kali melihat keranda atau kubur akan terasa ketakutan, walaupun keranda kosong atau kubur yang telah kosong, sambungnya lagi kita bukan takut kepada semua benda itu tetapi sebenarnya kita takut kepada kematian atau takut mati. oleh itu kalau takut mati maka wajiblah kita membuat persediaan.

Sekian...wallahu aklam.






No comments: