Sunday, July 31, 2011

Mula-mula anak jahat kemudiannya bapa pula menjadi lebih jahat.

Salam semua.

Kita kekadang memikirkan cara berfikir dan tindakan manusia yang tidak betul walaupun kita sendiri sebenarnya tidaklah unggul, Fikiran manusia normal biasanya mampu berfikir dengan baik, cuma tindakan mereka sahaja yang tidak atau kurang tepat.

Cuba kita fikirkan situasi ini sebagai contohnya bukan cerita benar, seorang anak tidak ke sekolah (ponteng) dengan melencong ke tempat lain, ibu bapa akhirnya dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa anaknya telah beberapa hari tidak ke sekolah oleh itu meminta ibu bapa supaya memberi perhatian khusus mengenai perkara tersebut.

Sebaik sahaja diketahui bapa, bapa pun naik marah dan bertindak menyoal anaknya untuk memasti dan mengetahui hal yang sebenarnya, setelah disoal siasat, maka bapa pun bertindak terhadap anaknya dengan memukulnya dengan tali pinggang sehingga lebam dan berparut.

Merujuk kepada kes ponteng sekolah ini adakah itu tindakannya yang sesuai dan bagaimana pula sikap bapa sebelumnya, sejauh manakah bapa mengambil berat mendidik anak itu seharian, sudahkah disiasat punca anak tersebut ponteng sekolah, mungkinkah sikap bapa telah menyebabkan terbentuknya sikap anak demikian rupa, ini semua perlu disiasat dan diambil kira serta dibuat pertimbangan. Memukul anak atau menghukum anak dengan memukulnya dengan tali pinggang adalah suatu kesalahan dan jenayah, setiap kesalahan wajib dihukum dengan adil dan mengikut peraturan yang sesuai dan adil.

Sepatutnya bapa memukulnya dengan rotan setimpal dengan kesalahannya sahaja sebagai pengajaran kepada anaknya, ketika memukulnya bapa semestinya tiada nafsu ammarah yang sangat tinggi, sebaliknya di dalam keadaan tenang supaya pelaksanaan hukum itu berjaya mencapai objektifnya, tegasnya pelaksanaan hukum itu memenuhi sifat dan tuntutan keadilan seperti yang dikehendaki oleh semua pihak.

Situasi ini bapa merasakan dia berkuasa terhadap anaknya maka dia mengizinkan dirinya melakukan tindakan sesuka hati, pada hal ketika itu dia pula beralih menjadi lebih jahat dan tidak adil serta tidak berperi kemanusiaan.

Pada kebiasaannya mereka yang berkuasa melupai perkara seperti ini, mereka lupa bahawa mereka hanya menjalankan amanah Allah dan akan ditanya di penghujungnya nanti, juga melupai bahawa Allah sedang melihat mereka, disamping itu tidak menyedari bahawa situasi mereka itu seumpama " ketam mengajar anaknya berjalan betul"

Sekian...wallahu aklam.

No comments: