Wednesday, July 27, 2011

Hanya orang jahil tidak mensyukuri kehadiran Ramadan.

Salam semua.

Di saat artikel ini ditulis Syaaban berbaki hanya empat hari lagi sahaja, ini bermakna Ramadan sudah semakin hampir, kehadirannya ditunggu-tunggu oleh mereka yang beriman dengan penuh kesukaan dan kegembiraan serta penuh harapan. Hanya mereka yang jahil sahaja tidak mensyukuri kehadiran tersebut, malah mereka menerima kehadiran tersebut dengan penuh kegelisahan, demikianlah Allah menjadikan manusia itu berbeza-beza di antara satu sama lain. Berbahagialah mereka yang telah mendapat hidayah dan taufiq dari Allah Yang Maha Penyayang.

Kalau hendak dihitung nikmat kurniaan Allah sangatlah banyak dan tidak terhitung,
______________________

[18]
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
( Surah Al.Nahl )

_____________________________

Dalam tempoh berpuluhan tahun manusia menikmati rezeki pemberian dan kurniaan Allah tanpa henti-henti. Kini hanya sebulan dalam tempoh setahun diperintahkan berpuasa, itupun ketika waktu siang sahaja, manakala waktu malam dibenarkan menikmati semula makanan yang lazat-lazat seperti biasa. Larangan makan pada waktu siang digantikan dengan berbagai kebaikan dan kebajikan yang akan dikurniakan Allah baik di dunia dan akhirat, semuanya bertujuan menyelamat manusia daripada melakukan pekerjaan sia-sia di dalam keadaan mereka jahil dan sesat.

Puasa terkandung banyak kebaikannya; iaitu kebaikan yang disedari oleh manusia dan terdapat juga yang tidak diketahui . Ramadan merupakan suatu institusi latihan ke arah membersihkan jiwa manusia, di antaranya.
- Melatih manusia supaya bersyukur ke atas rezeki dan nikmat kurniaan Allah yang tersangat banyak dan tidak terkira jumlahnya.
- Melatih manusia supaya bersabar sepanjang masa , khasnya ketika menghadapi kesusahan dan kesukaran.
- Melatih manusia supaya tidak membazir dan melampau dalam melayani nafsu lapar dan dahaga.
- Puasa boleh mengurangkan terkena berbagai penyakit fizikal seperti darah tinggi, obesiti, jantung dan sebagainya, di mana penyakit tersebut banyak berkait dengan tabiat makan yang melampau.
- Manusia dapat menghampirkan diri dengan Allah dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda dari Allah.
- Peluang yang diberikan Allah kepada hamba-Nya mendapat rahmah, maghfirah dan bebas dari azab api neraka, suatu keistimewaan yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Melalui panduan berpuasa Ramadan manusia akan mengetahui kelebihan-kelebihan yang disebut di atas. Rasulullah.s.a.w. adalah penyampai maklumat utama dalam mempelajari cara-cara berpuasa, baginda adalah tempat rujuk yang afdal.

Dari Abu Hirairah, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Allah `Azzawajalla berfirman: “Semua amalan umat manusia adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sebab, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran”(*). Puasa merupakan benteng dari perbuatan maksiat. Oleh yang demikian, jika salah seorang antara kamu berpuasa, maka janganlah bercakap kotor, berteriak-teriak atau maki hamun! Jika ada seseorang mencaci dirinya atau diajak bergaduh, maka katakanlah kepadanya: “aku ini sedang berpuasa.” Diulangi sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang menguasai diri Muhammad! Bau mulut seseorang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah (pada hari kiamat) daripada wangian kasturi. Seseorang yang berpuasa akan memperolah dua kegembiraan yang amat menyenangkan hatinya, iaitu: Tatkala berbuka, dia akan bergembira dengan berbuka itu dan di kala hendak berjumpa Tuhannya kelak. Dia akan bergembira kerana puasanya.

(Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan An-Nasai`)



Sekian...wallahu aklam.

No comments: