Saturday, July 9, 2011

BERSIH.


Bersih Hati.

Menyebarkan artikel dari

Surau Al.Hikmah Subang Jaya.




__________________________________________________________

Assalamualaikum semua,

Risau bimbang Nabi cukup mengusik jiwa untuk kita hayati. Semalam Al-Hikmah pergi ke Masjid Abu Bakar SS19 Subang Jaya untuk duduk di dalam satu majlis yang membicarakan mengenai risau bimbang Nabi Sallallahualaihi Wa Sallam ini. Mengenai apa? Mengenai hati kerana hati adalah alat bagi mengingat dan berzikir kepada Tuhan. Tempat untuk kita sedar dan insaf bahawa ALLAH itu wujud dan kita ini hamba dan ciptaanNya. Hati adalah tempat untuk merasa adanya Tuhan. Untuk merasakan bahawa ALLAH itu Maha Berkuasa, Maha Agung, Maha Hebat dan Maha Kaya. Untuk merasakan ALLAH itu Maha Pemurah, Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Untuk merasakan ALLAH itu Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan sebagainya.

Hati adalah tempat lahirnya niat atau hasrat untuk bertindak. Tempatnya taqwa juga di hati. Dalam hadisnya Rasulullah Sallallahualaihi Wa Sallam bersabda “Attaqwa Haahunaa” yang bermaksud, “Taqwa itu disini”, seraya Rasulullah menunjuk dadanya. Orang sering mengatakan untuk menilai orang adalah melihat akan hatinya. Itulah sebenarnya kerana Allah Subhaana wa taala memang tidak menilai siapa pun kita, darjat kita kecuali hati dan amal kita sahaja.

Hati yang berzikir kepada Tuhan ialah hati yang merasa berTuhan iaitu yang merasakan segala sifat-sifat Tuhan yang Maha Sempurna. Hati yang merasa hebat, gerun dan takut pada ALLAH Hati yang rasa dilihat, diawasi dan dikawal oleh ALLAH. Hati yang merasakan Tuhan ada peranan dalam hidupnya dan dalam pentadbiran alam ini. Hati yang merasakan bahawa tidak ada sesuatu pun yang terlepas dari pengetahuan dan penguasaan Tuhan. Hati yang merasa bersyukur di atas segala nikmat Tuhan. Yang merasa perlu kepada Tuhan dan yang merasakan bahawa akhirnya nanti kesemua ciptaan ini akan kembali kepada Tuhan.

_________________________

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah” - ( Surah Al-Anfaal: 2 )

_________________________________


Jadi kita lihat hati kita sendiri dulu, jangan lihat hati orang lain. Kita nilai hati kita sendiri dulu, jangan nilai hati orang lain. Kita baiki hati kita dahulu, sebelum kita fikir untuk baiki hati orang lain. Kita lihat hati kita gementar atau tidak apabila kita mendengar akan ayat-ayat Allah. Apa maksud gementar di sini? Ulama kita menerangkan bahawa dengan Allah kita mesti sentiasa gementar dan bergelora. Orang yang beriman dan bertaqwa itu, hati-hati mereka sentiasa bergelora dengan Tuhan. Mereka kenal akan Tuhan. Justeru itu mereka rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Mereka rasa hebat dan gerun dengan Tuhan. Mereka rasa sentiasa diawasi Tuhan. Rasa-rasa ini sentiasa mencengkam hati-hati mereka. Mereka sentiasa merasa Tuhan melihat mereka. Mereka rasa Tuhan mengetahui segala-galanya apa yang ada pada diri lahir mereka dan segala yang ada dalam hati mereka. Mereka merasakan kekuasaan Tuhan. Bila Tuhan kata: “Jadi……..maka jadilah” Mereka rasa ALLAH boleh matikan mereka bila-bila masa sahaja. Azab dan siksa Tuhan sangat pedih. Allahu Akhbar!

Lagi satu perkara Alim Ulama kita mengatakan apabila berbicara soal dunia, hati kita kena tenang tetapi dengan Allah hati kita kena rasa gementar. Tenang dengan dunia dan hal-hal dunia tetapi gementar dengan Tuhan. Semakin kuat gementar dan bergeloranya hati seseorang dengan Tuhan, maka akan lagi tenang hatinya dengan dunia. Tenang dengan dunia itu rahmat. Gementar dengan Tuhan itu juga rahmat. Kedua-dua itu ada kemanisannya.

Sebaliknya gementar dengan dunia itu azab. Itu tanda kita diperhambakan oleh dunia. Tenang dengan Tuhan itu juga azab. Itu tanda kita sudah hilang sifat kehambaan kita. Kedua-duanya akan membawa kecelakaan kepada kita di dunia, lebih-lebih lagi di Akhirat. Nauzubillah!

Oleh itu marilah kita semua bersihkan hati kita supaya Allah redha dengan kehidupan kita. Kenapa nak bersihkan hati kita? Kerana Hati adalah tempat atau pusat segala perasaaan (emosi). Rasa sedih, senang, marah, benci, dendam dengki, cinta dan sebagainya ada dalam hati. Keadaan hati berpengaruh kuat pada keadaan badan atau anggota tubuh yang lain. Maka dengan itu kita kena usaha agar jangan sampai hati kita menjadi sakit. Beberapa penyakit hati selain dengki adalah takkabur (sombong), riya’ (bangga diri), bakhil (kikir), serta wahn (cinta dunia dan takut mati) yang membuat kita menghindari atau lari dari jalan-jalan Allah.

Hasad dengki digambarkan Nabi Sallallahualaihi Wa Sallam ibarat api yang membakar kayu. Kebaikan itulah yang diandaikan sebagai kayu, saat kita dengki, maka semua kebaikan kita akan habis terbakar seperti kayu membakar. Sungguh sayang jika kebaikan tersebut itu hilang dan tidak bererti. Cara yang paling mudah untuk keluar dari lilitan kedengkian ini, salah satu caranya ialah dengan selalu mengharapkan atau mendoakan kebaikan kepada orang lain.

Cintailah orang lain seperti mencintai diri sendiri. Dengan begitu kita tidak akan menyakitinya. Nabi Sallallahualaihi Wa Sallam pernah mengatakan, “Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian, sebelum ia mencintai sesuatu pada saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.” Rasul Sallallahualaihi Wa Sallam juga menegaskan orang-orang Muslim itu satu tubuh, jika salah satunya sakit maka yang lain akan turut sakit.

Ayuh saudara-saudaraku semua, tatkala bulan Syaaban kini dan bulan Ramadhan yang bakal menjelma, sangat bertepatanlah kita menerapkan amalan-amalan yang sifatnya bukan untuk duniawi semata-mata. Hilangkan hasad dengki, agar amalan tidak berkurang dan selalu mendoakan yang terbaik untuk orang lain. Kemudian kita berharap HANYA kepada Allah untuk membersihkan diri kita dan kurniakan kebaikan untuk diri kita dan juga keluarga kita.

Kenapa kita nak usahakan soal hati ini? Kerana kalau semua umat sudah bersih hati mereka, tiada sifat marah, benci, dendam, dengki, dan sebagainya, maka manusia akan berkasih sayang di antara satu sama lain. Kehidupan akan menjadi aman dan juga mendapat redha Allah Subhanawataala. Bila hati sudah bersih, umat manusia akan dapat keberkatan agama, dapat amalkan agama secara sempurna yakni taat perintah Allah dan ikut Sunnah Nabi Sallallahualaihi Wa Sallam secara total bukan separuh-separuh ikut nafsu kita sahaja. Inilah intipati kejayaan seluruh umat manusia yakni untuk berjaya di dunia dan juga di akhirat.

2 comments:

hayadith said...

salam

saya nak copy dan share artikel ni boleh ?

Leenoh said...

W.salam.
Silakan kerana artikel ini dimaklumkan sebagai ilham dari Allah dan tiada hak cipta.