Friday, July 8, 2011

Hendak seribu daya - tidak hendak seribu dalih.


Salam semua.

Aku kini tinggal di kawasan perumahan yang persekitarannya terdiri daripada kawasan baru dan lama, nama tamannya pun berbagai di mana penghuni dewasanya dianggarkan melebihi ribuan orang dan lebih 90% adalah kaum muslimin dan muslimat. Di kawasan berhampiran taman ini masih terdapat pembangunan perumahan yang sedang rancak diuruskan oleh pemaju. Terdapat beberapa kelumpuk rumah kongsi yang didiami oleh pekerja asing yang juga sebahagian besarnya kaum muslimin dan sebilangan kecilnya kaum mulimat.

Jam 6.30 pagi tadi sedang dalam perjalanan balik dari masjid aku terlihat seorang pekerja Indonesia ( agaknya), beliau berjalan kaki balik dari masjid yang sama, jarak perjalanannya kurang lebih 1km, pada mulanya aku ingin mengambilnya kerana perjalanannya ke arah yang sama tetapi niat aku itu dibatalkan memandangkan beliau sedang berwirid di dalam perjalanannya itu, aku syaki demikian kerana di tangannya aku lihat tergantung rangkaian tasbih, aku terasa di dalam hati kalau diambilnya mungkin akan mengganggui kebiasaannya yang diamalkan pada setiap pagi (mungkin). Oleh itu aku memandu kereta terus melewatinya tanpa mengambilnya dan terfikir pula betapa istiqamahnya orang ini mengamal dan menghayati Islam, walaupun dalam kesebokan bekerja mencari rezeki di perantauan beliau masih ada waktu melakukan ibadat secara yang terbaik.

Setiap kali aku ke masjid untuk bersolat jamaah terutamanya solat Subuh insya Allah aku akan melihat beliau juga berada di sana, kekadang berjabat tangan dengannya walaupun tanpa bertegur sapa. Dalam kesebokan dan keletihan bekerja berat di waktu siang dan tinggal di dalam rumah kongsi yang sempit dan panas pada waktu malamnya, pada waktu Subuh beliau masih meluangkan masa datang ke masjid untuk bersolat jamaah, pada waktu yang sama orang yang bermustautin yang mendiami rumah besar dan selesa masih ramai tidak kelihatan di masjid, walaupun mempunyai cukup kenderaan untuk digunakan, ditambah lagi jarak rumah dengan masjid pun tidak sampai 1km, dalam situasi demikian pun kita masih belum memiliki kecekalan seperti perantau tersebut. Benarlah perumpamaan yang menyatakan "Hendak seribu daya - tidak hendak seribu dalih".

Namun demikian aku rasa beliau lebih kerap ke masjid berbanding dengan diriku, justeru setiap kali aku ke masjid akan melihatnya berada di sana, aku bersangka baik bahawa beliau lebih baik daripada diriku, kerajinan dan kecekalannya aku kagumi, beliau boleh dijadikan muslim contoh dalam bidang tersebut, kalau aku mempunyai kekangan sepertinya mungkin aku tidak akan ke masjid tetapi beliau tidak demikian.

Mereka yang memiliki ilmu di dada ibarat ikan di dalam lautan tidak akan berubah menjadi masin walaupun terendam di dalam air laut yang masin, ketahanan iman dan kemanisannya menjadikan mereka cekal menghadapi dugaan dan ujian hidup.

Sekian...wallahu aklam.

1 comment:

Al-Hikmah said...

Assalamualaikum,

Satu entri yang baik untuk kita semua hayati. Ini semua kerana kudrat Allah dan pilihan Allah untuk hambanya. "Allah tidak pandang akan darjat seseorang, kedudukan seseorang tetapi Allah hanya pandang kepada Iman dan Amal seseorang".

Ayuh kita muhasabah diri kita ini.

Wassalam.