Sunday, August 15, 2010
Jom. Kita sembang lagi pasal puasa.
Salam semua.
Ahad; 05 Ramadan 1431
Puasa antara dua zaman.
Ais ketul.
Puasa pada tahun antara 60an - 70an sangat jauh perbezaannya, pada zaman dahulu biasanya dalam bulan Ramadan ini cuacanya sangat panas berbanding dengan bulan-bulan yang lain.Setiap kali berbuka berhajat kepada minuman yang sejuk atau berais , kalau tidak tekak kita rasa tidak puas, walaupun pada ketika itu tidak ramai yang memiliki peti sejuk. Sebab tidak ramai memiliki peti sejuk atau hampir semua rumah tiada peti sejuk ( peti ais), maka ais ketul dijual di tepi-tepi jalan pada setiap petang Ramadan, ketul ais itu biasanya diisi di dalam guni yang mana ketul ais tadi pula dibaluti dengan serbuk gergaji untuk memperlambatkan ketul ais itu cair.
Ketul ais yang besar orang kampung saya memanggilnya sebagai bantal, satu bantal saiznya lebih kurang panjangnya satu meter dan lebar dua kaki, ais bantal ini akan dipotong dengan gergaji khas mengikut permintaan pembeli, ais yang dipotong itu dibalut dengan kertas dengan beralaskan serbuk tadi, setelah sampai di rumah ais tadi dikambus pula di dalam tanah sementara sampai hampir waktu berbuka, tindakan itu juga supaya ais itu tidak cepat cair.
Solat Tarawih.
Solat Tarawih dikerjakan seperti biasa dengan membaca surah-surah daripada kumpulan ayat-ayat yang lazim dibaca dan dihafaz kerana pada masa itu sangat sukar mendapatkan hafiz seperti zaman sekarang.
Berbuka puasa.
Untuk berbuka puasa semua makanan dimasak sendiri sama ada lauk-pauk atau kuih muih,maklumlah ketika itu penduduk belum ramai seperti sekarang. di mana merata tempat terdapat gerai jualan selain Pasar Ramadan yang sudah menjadi pasar tradisi di bulan mulia ini.Kuih- muih akan disediakan pada setiap petang mengikut kemampuan masing-masing , ketika berbuka semestinya dimulakan dengan minuman dan kuih-muih, ketika inilah peluang kanak-kanak bergembira merasai berbagai juadah terutamanya kuih-muih.Taraf hidup pada masa itu rata-rata kurang berkemampuan, oleh itu jaranglah mereka dapat merasai dan mengecapi makanan tambahan seperti kuih-muih dan buah-buahan , nasi berlaukkan daging atau ayam yang mengandungi zat yang tinggi pada masa bukan bulan Ramadan.
Bagi mereka yang tinggal jauh dari laut pula sekadar merasai ikan darat ( ikan air tawar ) sahaja, cuma sekali sekali membeli ikan laut yang dijual di Pekan Nat ( pekan sehari ).
Meriam Kabait / tanah.
Pada waktu petang kanak-kanak dan para remaja akan bermain meriam tanah yang dibuat khas, di mana mereka mengorek lubang khas di dalam tanah atau diperbuat daripada buluh dan dimasukkan kabait dan cucuh ketika kabait itu sedang mendidih dengan cara itu senapang atau meriam itu pun meletup, letupan itu kekadang bunyinya menyerupai meriam, bunyi inilah yang menyeronokkan mereka, namun demikian jarang berlaku kemalangan seperti kanak-kanak atau remaja zaman sekarang bermain dengan mercun.
Pengumuman waktu berbuka puasa.
Biasanya di setiap ibu negeri atau bandar besar pihak kerajaan akan menembakkan meriam untuk memaklumkan telah sampai waktu berbuka puasa, namun demikian suara atau bunyi meriam itu tidak akan sampai sehingga ke semua pelusuk negeri terutamanya kawasan yang terpencil, oleh itu di setiap masjid dan surau akan dibunyi atau diketuk gendang masjid atau alat lain yang fungsinya serupa.
Kemeriahan
Kemeriahan berpuasa dan berhari raya pada zaman dahulu tidaklah semeriah zaman ini kerana zaman dahulu serba kekurangan, mereka tidak mempunyai peti radio,televisyen dan seumpamanya.
Sekian dahulu...wassalam.
Label:
Puasa....756
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
Salam tuan,
Terubat rindu Pak Long terbaca naskah ni... puasa zaman dulu lebih nikmatnya...
Salam Pak Long.
Pak Ngah teringat secara sepontan tadi, takdak keja apa, jadi Pak Ngah pun tulislah di sini...terima kasih kerana membacanya.
Salam Sdr Leenoh
Nostalgia dulu-dulu itu memang menyeronokkan. Walau zaman itu penuh kesusahan, kita tak begitu merasakannya. Sebab, antaranya, semua orang serupa. Dlm zaman susunlapis masyarakat menjadi begitu ketara hari ini, lapisan bawahan lebih merasakan kekurangan & himpitan hidup kerana melihat lapisan atasan yg serba mewah.
Selamat menjalani ibadah puasa.
puasa zaman kanak2 la yang paling meriah..
puasa zaman kanak2 la yang paling meriah..
Salam Temuk.
Memang betul kata Temuk, dulu yang kita tahu hanya keseronokan.
Tetapi sekarang perhatian kita menumpu kepada banyak arah, walaupun untuk kita mungkin telah mencukupi tetapi kita rasa kesal kerana ramai yang masih tidak mahu kongsi kemakmuran yang Allah kurniakan, kekadang kelihatan seperti tabiat kanak-kanak berebut-berebut sesuatu pada hal kalau tidak rebut pun ianya mencukupi, mereka yang mewah dan berada di atas seolah-olah tidak pernah faham masalah mereka yang berada di bawah.
Kalau sikap kita tidak berubah tunggulah sahaja natijahnya nanti...wallahu aklam.
Salam Ramadhan al-mubarak Pak Ngah. Peredaran zaman merubah banyak perkara, suasana dan juga tabiat kita semua. Saya sempat juga merasa zaman pergi kedai beli ais potong dengan gergaji tu bila hampir waktu berbuka. Naik basikal ke kampung sebelah sebab kedai yang ada peti sejuk pun tak ada di kampung sendiri. Melilih air membasahi basikal bila sampai ke rumah :)
Selamat berbuka puasa Pak Ngah.
Salam Dr.Sam.
Leka Pak Ngah membaca cerita Dr.Sam ingatkan nak sambung bagi panjang lagi tiba-tiba ditamatkan...sayang seribu sayang...tidak dapat membaca baki cerita yang tidak dinukilkan di sini. walau apa pun Pak Ngah ucapkan terima kasih kerana masih sudi menjengok kami di sini.
Selamat berpuasa dan selamat berbuka, semoga pada tahun ini akan lebih berkat lagi.
Post a Comment