Thursday, October 15, 2009

Ketika sujud situasi yang paling hampir dengan Allah.

Sujud situasi paling hampir dengan Allah.

Salam Semua.

Dalam entri ini saya ingin membuat sentuhan ringkas mengenai rukun solat, khasnya rukun tomakninah ( berhenti sekejap).terdapat beberapa tempat yang mesti dilakukan dan disempurnakan tomakninah tersebut, jika tidak disempurnakannya, solat yang sedang ditunaikan itu akan terbatal di tengah jalan atau tidak sah kerana meninggalkan rukun, tempat-tempat yang wajib dan mesti dilayani tomakninah itu ialah:

- ketika rukuk.

- ketika iktidal
(berdiri betul selepas rukuk).

- ketika sujud.

- ketika duduk di antara dua sujud.

Ketika rukuk :
Ketika rukuk kita mestilah berhenti sebentar, sekurang-sekurangnya sempat membaca " subhanarabbiyal 'azim wa bihamdih" sekali dan sebaik-baiknya membaca tiga kali.Bacaannya adalah sunat sahaja tetapi tomakninah atau berhenti sekejab itu adalah rukun.

Ketika iktidal:
iaitu sebaik sahaja kita bangun daripada rukuk dan badan telah berkeadaan tegak, di sini kita mestilah berhenti sebentar tanpa apa-apa pergerakan lagi sama ada melenggangkan tangan dan dilarang turun sujud tanpa berhenti sebentar, mengambil masa seperti ketika rukuk juga tetapi di sini tiada apa-apa bacaan.

Ketika sujud:
Ketika sujud juga mesti berhenti sebentar seperti ketika iktidal dan rukuk, bacaan ketika sujud ialah "subhanarabbiyal 'akla wa bihamdih" sekurang-kurang sekali dan sebaiknya tiga kali. Bacaan tersebut hanya sunat tetapi tomakninahnya rukun.Jika doanya dilayan dengan sempurna itulah sebenarnya langkah yang terbaik dan tomakninahnya pun pasti sempurna.

Ketika kita sedang sujud itulah suasana dan situasi yang paling hampir dan akrab dengan Allah, kita menghinakan diri dengan Allah, ketika ini masa yang paling sesuai untuk merayu sesuatu kepada Allah yang boleh dicetuskan melalui hati dan memohon apa sahaja untuk kebaikan kita dan keluarga atau masyarakat muslim amnya.

Ketika duduk di antara dua sujud:
Ketika duduk di antara dua sujud hendaklah duduk dengan sempurna serta berhenti sebentar iaitu diamkan segala pergerakan. Bacaan doanya hanya sunat tetapi tomakninahnya adalah rukun, jika tidak menyempurnakannya solat akan batal atau tidak sah.

Kesimpulan:
1. Sekiranya solat dikerjakan dengan sempurna dengan menjaga bacaan , tomakninah, waktu solat dan wuduknya serta menjaga kebersihan dan kesucian pakaian, tempat solat, azan dan iqamahnya. Insya Allah kita akan mencapai kejayaan dan kemenangan serta kebahagian di dalam hidup.

2. Individu yang dapat melaksanakan solatnya dengan sempurna seperti yang dijelaskan di atas, insya Allah hikmat yang tersirat di dalam solat itu akan turut diperolehinya. di antaranya badan sihat, tenang dan ceria serta mendapat pahala yang berganda.
3. Ketika rukuk dan iktidal sering berlaku tidak tomakninah, selepas bangun berdiri dari ruku (iktidal) keadaan dua tangan masih berlenggang-lenggang , badan masih bergerak-gerak dan terus turun sujud, situasi inilah yang dikatakan tidak tomakninah, juga kelihatan tiada ketertibannya.

4. Dalam entri yang telah lama berlalu saya telah memaparkan di blog ini tentang suatu kajian yan g dibuat oleh salah sebuah universiti tempatan mengenai kebaikan dan fadzilat solat. Di dalam kajian tersebut menyatakan individu yang menunaikan solat sekurang-kurang duabelas rakaat dengan melakukannya dengan sempurna ianya secara tidak langsung akan menjadi suatu terapi yang dapat mengubati penyakit mati pucuk. ( lebih kurang begitulah yang saya dengar dari suatu rancangan TV tempatan ).
Sekiranya anda menghadapi masalah tersebut saya syurkan supaya anda menunaikan solat sunat awwabin dan solat sunat yang lain supaya mencapai tidak kurang daripada duabelas rakaat kesemuanya dan lakukannya dengan penuh tertib serta berdoa di dalam hati pada setiap kali sujud.


Jangan sujud seperti ayam patuk padi.
Demikian juga tomakninah yang lain.

Insya Allah semua nasihat di atas akan memberi peringatan dan manfaat kepada diri saya sendiri dan mungkin juga kepada anda......saya sendiri belum mencapai apa yang disebutkan di atas..... marilah kita pakat usaha untuk mendapatkan kesempurnaan solat, dengan itu sekali gus kita juga akan memperolehi fadzilatnya.

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

No comments: