Sunday, October 4, 2009

Jangan biarkan rasuah menambahkan item ketagih

Salam semua.

Maaf kali ini saya ingin ketuk-ketuk sedikit umpama pahat dengan pemukul, ketukan saya ini bolehlah diibaratkan begitu kerana akhirnya tiadapun kesannya, sebab saya mempunyai masa lapang jadi saya tulislah artikel yang tidak sepertinya ini sekurang-kurangnya dapat memuaskan hati sendiri, tentulah lebih baik dan gembira lagi kalau andapun turut gembira bersama, gembira yang dimaksudkan bukanlah gembira seperti anda menonton adegan lawak di TV tetapi sebaliknya merasai puashati bila kita dapat menegur sesuatu yang tidak baik yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat Malaysia kita, sekadar ingat mengingat, saya katakan Malaysia kita kerana Malaysia itu adalah negara kita, jadi sama-samalah kita menjaga dan mengasihinya supaya Malaysia dapat memberi perkhidmatannya yang adil kepada semua penghuninya, tidak kiralah apapun bangsa atau kaum mereka itu.

@@@@@@@

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.

Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat,

pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram. Adapun orang-orang yang hitam muram mukanya (kepada mereka dikatakan): "Kenapa kamu kafir sesudah kamu beriman? Karena itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu".

Adapun orang-orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam rahmat Allah (syurga); mereka kekal di dalamnya.

Itulah ayat-ayat Allah, Kami bacakan ayat-ayat itu kepadamu dengan benar; dan tiadalah Allah berkehendak untuk menganiaya hamba-hamba-Nya.


Surah Ali.Imran ( Ayat 104 - 108 )

@@@@@@@

Orang-orang yang berkuasa atau yang diistilahkan sebagai pemimpinpun kekadang bercakap seperti burung kakak tua juga, bunyi hebat tetapi hakikatnya kekadang tidak hebatpun, termaktub di atas kertasnya cantik dan indah tetapi hasilnya "pi mai pi mai tang tu-lah jugak". Macam kita mencegah kehadiran pendatang haram dan mengamalkan rasuah dan lain-lain, nampak slogan kempennya hebat dan papan tandanya berwarna warni tetapi bak hasil balik asal juga.Seperti enjit-enjit semut siapa sakit naik atas, nampak bergerak-gerak tetapi sebenarnya berada di tempat yang sama sahaja.tidak ke depanpun. Sampai bilakah senario ini dapat dipulihkan atau mungkinkah semakin menjadi-jadi pada masa akan datang?

Slogan terkenal Bersih Cekap dan Amanah
( BCA ) sepatutnya menjadi slogan dan amalan sepanjang zaman tetapi akhirnya menjadi semakin tirus dan hilang di dalam sebutan harian kerana kesebokan menyebut slogan ciptaan baru pula. slogan memang berperanan memberi motivasi tetapi , jika pelaksaannya tidak serius, slogan akan menjadi perhiasan papan tanda sahaja.

Kita bukan pemimpin yang dimaksudkan dan tidak layakpun menjadi pemimpin, sebab tidak layak itulah kita serahkan dan memberi peluang kepada mereka yang mewar-warkan diri bahawa mereka layak dan paling layak.
Sebagai rakyat biasa kekadang kita gembira dan bangga dengan kebolehan mereka, tidak kurang juga kita rasa kecewa dengan kelekaan mereka menjaga kepentingan kita dan mengutamakan kepentingan diri. Mungkin mereka yang menerima habuan dan faedah daripada suasana yang sedia ada tidak menyedari kelemahan dan kepincangan yang sedang berlaku, setiap kali teringat akan kelemahan dan kepincangan akan dilindungkan oleh keuntungan yang diperolehi selama ini dan rasa bersalah pula untuk mengatasinya.

Sesuatu amalan yang jahat atau mungkar itu jika diamalkan selalu,akhirnya menjadi perkara biasa dan kelihatan tidak mungkar lagi seterusnya menjadi adat, apabila sesuatu yang mungkar dan buruk menjadi amalan dan adat, sukar bagi sesuatu masyarakat itu menghapuskannya.

Sesuatu perkara yang mungkar dan jahat memerlukan penilaian yang istiqamah tentang buruk dan mungkarnya itu. jika rasuah, merokok dan minum arak itu nilainya buruk dan mungkar maka hendaklah dinilai mungkar sehingga ke akar umbinya supaya benihnya dapat dihapuskan dan tunas baru tidak akan hidup dan tumbuh semula. sekiranya tunas baru tumbuh semula ianya akan menjadi kesinambungan kepada pokok yang lama. jika ini berlaku tidak mungkin kita dapat menghapuskan benihnya.

Amalan mungkar dan jahat yang diamalkan di dalam masyarakat, jika tidak dibanteras akan menghasilkan masyarakat yang dipenuhi oleh mereka yang gemarkan kemungkaran, Apabila orang jahat lebih ramai daripada orang baik bermakna kita sedang mengundang bala dan kehadiran kiamat. bila rasuah dan kejahatan lain telah mendarah daging di dalam masyarakat dan membarah di dalam kehidupan, senario itu menunjukkan masyarakat menerima dan bersetuju dengan bencana yang akan ditimpakan Allah kepada mereka.

@@@

Dari Ali dan Abu Hurairah r.a.:
"Apabila harta rampasan perang (milik umum) dikuasai segelintir orang sahaja, barang amanah menjadi rampasan, harta zakat menjadi hutang, seorang lelaki mentaati isterinya dan menderhakai ibunya, berbuat baik kepada temannya dan berbuat kasar kepada bapanya, suara-suara tinggi di masjid-masjid, yang menjadi pemimpin suatu kaum (bangsa) adalah orang yang hina (berkelakuan/bersifat keji) di antara mereka dan orang yang menjadi ketua suatu suku (kabilah) adalah orang fasik di antara mereka, seorang lelaki dihormati kerana takut jahatnya, arak biasa diminum, sutera biasa dipakai (oleh lelaki), munculnya penyanyi perempuan dan alat-alat muzik, orang yang di kalangan umat terkemudian akan melaknat (mengutuk) umat terdahulu, maka ketika itu hendaklah mereka menunggu kedatangan angin merah atau pembalikan bumi atau keburukan bentuk-bentuk atau tanda-tanda yang beriringan seperti tali yang putus maka jatuhlah biji secara berterusan".
- Riwayat Tarmizi .

@@@

Kalau ramai individu di dalam masyarakat terdiri daripada mereka yang jahat, secara lojiknya mereka akan memilih orang mereka menjadi pemimpin, setelah terlantiknya pemimpin yang jahat akhlaknya maka seluruh pandangan dan nilai masyarakat akan turut berubah. Bila nilai hakiki berubah maka kembalilah masyarakat ke zaman jahiliyah atau wujudlah jahiliyah baru di dalam kehidupan manusia moden.

Pada masa kini rasuah masih menjadi makhluk yang hidup di mana ianya bergerak dari pemberi kepada penerima bersilih ganti seperti rokok yang berpindah dari penjual kepada pembelinya. Jangan biarkan rasuah menjadi tabiat merokok kerana asap rokok dan kesan keburukan rasuah itu melibatkan seluruh masyarakat di dalam sesebuah negara. rasuah lebih berbahaya berbanding merokok ianya menyebabkan kenaikan harga barang, memintas rezeki orang lain, mengurangkan perolehan negara dan berbagai lagi keburukannya.
Jangan biarkan perbuatan rasuah menambahkan item ketagih di dalam masyarakat.

Pemberi dan penerima rasuah akan menjadi ketagih seperti ketagih rokok kiranya rasuah menjadi amalan kerana rasa gemar dan suka kepada harta kekayaan akan mendorong mereka mendapatkannya secara salah dan mudah serta melekakan mereka daripada mengingati amaran Allah dan Rasul-Nya.

Penerima rasuah dan pemberi rasuah kelihatan hebat dan bergaya di dunia tetapi mereka akan menyesal di akhirat. mereka akan dihumbankan Allah ke dalam neraka-Nya. Demikian diperingatkan oleh ajaran Islam. Amaran berulang kali disampaikan kepada mereka oleh saudara sesama Islam tetapi amaran itu tidak diindahkannya, amaran akhirnya menjadi slogan kosong sahaja dan tidak dimanfaatkan.

Orang awam bernasib baik kerana mereka tidak memiliki peluang untuk melakukan rasuah, kalau adapun sangat sedikit, kalaupun berlaku rasuah di kalangan orang awam ianya berupa sekali sekala dan bertukar-tukar orang, mereka merupakan pelanggan rasuah dan bukan taukenya.

Setiap rakyat dan warga Malaysia yang baik mengharapkan rasuah dapat dikurangkan sehingga ke titik yang amat kecil . Titik itu umpama terletak di atas batu hitam pekat dilihat pada waktu malam tanpa cahaya bulan, tidak kelihatan walaupun ianya wujud dan bertempat, itulah doa dan harapan rakyat yang prihatin dan berkualiti.


Sekian.Allah Maha Melihat. Wassalam.


4 comments:

Anonymous said...

Salam Leenoh.

Menerima sesuatu ganjaran dengan niat untuk mengubah sesuatu keputusan adalah rasuah yang boleh menindas peluang segolongan yang lain dan ianya menidakkan peluang golongan lain yang lebih layak. Rasuah ibarat barah di dalam masyarakat yang mana sekiranya tidak dibendung boleh merosakkan etika kehidupan seluruh masyarakat. Rasuah merupakan penindasan yang bersifat penganiayaan dan balasan Tuhan ke atas firaun yang menindas telah kita persaksikan dalam al-Quran.

Terima kasih di atas peringatan Leenoh yang bermanfaat untuk semua.

Leenoh said...

Salam Zaidi.

Kalau rasuah telah menjadi barah masyarakat, ianya sukar diubati dan dirawati. bila barah merebak keseluruh masyarakat tunggulah hari kemusnahannya.
Sebelum berlaku kemusnahan sepatutnya benih barah itu janganlah disimpan dan dibajai.

Anonymous said...

Salam leenoh,
Memang setiap rakyat yang cintakan negara tidak senang dengan kepincangan yang berlaku dan sentiasa memerhati perkara telah,sedang dan akan berlaku.Pemimpin bersilih ganti,berbagai slogan dicipta mengikut cita rasa pemimpim bagi mempopularkan ingatan rakyat:bersih cekap amanah,cemerlang gemilang terbilang,Islam hadhari dan terkini rakyat didahulukan pencapaian diutamakan dan entah apa lagi akan dicipta.Sebenarnya apa yang lebih penting bukan slogan ciptaan tapi keikhlasan dan tanggungjawab pemimpin yang memikul amanah itu sendiri.Kita tidak mahu kita bercakap dan menjaja slogan ke ceruk rantau tapi orang lain boleh menilai siapa kita sebenarnya.Kita memohon berlindungan dengan Allah daripada tergolong dengan golongan tersebut,Amin!(arba)

Leenoh said...

Salam Sdr.Arba.

Kekadang menjadikan kita serba salah, perkara yang tidak perlu kita fikir akhirnya kena juga fikir kerana setiap rakyat akan ditanya peranannya masing-masing atas segala yang berlaku di negaranya.tiada apapun terlepas daripada penilaian Allah.walaupun sebesar kuman

Dugaan yang terpaksa dilalui nampaknya semakin hari semakin berat.