Tuesday, October 13, 2009

Nilai dan norma hidup masyarakat telah berubah dan terus berubah.


Salam Semua.

Nilai hidup berubah dan terus berubah.

Nilai dan norma hidup masyarakat akan terus berubah dan berubah, perubahan tidak mungkin dapat disekat dan dihalang, anak-anak dididik dan diberi pelajaran . Sekolah didirikan dan Pusat Pengajian Tinggi ditubuhkan adalah bertujuan supaya masyarakatnya berubah dan terus berubah ke arah kemajuan dan kemuliaan.

Sekolah dan Pusat Pengajian Tinggi adalah institusi pendidikan atau tempat yang dikhaskan untuk mendidik manusia supaya menjadikan manusia itu sebagai hamba Allah yang bijak dan mulia akhlaknya. Kebijaksaan dan kemuliaan manusia wajib disepadukan dan diadunkan di dalam satu adunan seperti adunan tepung yang akan dijadikan kuih. Di dalam adunan tepung itu terdapat berbagai bahan di antaranya; yang terbanyak ialah tepung dan diikuti dengan gula, air, kacang dan seumpamanya, setelah disepadukan akhirnya kelihatan satu sahaja kerana telah sekata di dalam satu adunan yang sempurna. Sepatutnya bijak dan akhlak mulia itu disepadukan demikian rupa barulah dianggap pendidikan itu telah berjaya.

Kini terdapat ramai juga manusia yang bijak tetapi berakhlak tidak sesuai dengan kebijaksanaannya. Malah menggunakan kebijaksaannya untuk meneruskan kejahilannya yang berbaki dan tersembunyi di dalam kebijaksanaannya. Maka tercetuslah kecelakaan dan kemaksiatan yang bitara dan masyhur pula sifatnya.

Perubahan nilai dan norma hidup manusia kini bersaing di antara nilai baik dan nilai jahat, persaingan ini pula kelihatan sengit dan hampir sama garis tegak geraf pencapaian kedua-dua pihak yang terlibat .
Perubahan ke arah kemajuan zahiriyah kita dapat lihat di sana sini terdapat mereka yang berkelulusan tinggi seperti kelulusan di peringkat diploma, Sarjana Muda, Sarjana , Ph.D dan seumpamanya. Bangunan tinggi mencakar langit, kenderaan memenuhi jalan raya, pasaraya yang luas seluas mata memandang, berkomunikasi di alam maya dalam berbagai bentuk, mampu merekacipta berbagai kenderaan dan ada juga yang telah berjaya ke angkasa lepas. Demikianlah gambaran perubahan nilai ke arah kebaikan dan kemajuan zahir.

Manakala perubahan nilai hidup dari segi kejahatan dan keruntuhan akhlak mulia dapat dibuktikan melalui berbagai peristiwa yang berlaku di kalangan masyarakat kita , di antaranya bertambahnya kes rogol, bilangan anak di luar nikah, kes rompakan, penipuan, kes rasuah, pembunuhan dan banyak lagi kes dan peristiwa seumpamanya. Golongan ini juga dibarisi dan diwakili oleh mereka yang cerdik dan berpelajaran tinggi malah ada yang berkedudukan tinggi dan dihormati. Mereka yang miskin dan tanpa pelajaran juga terlibat dengan kes-kes serupa ini , penglibatan mereka tentulah tidak memeranjatkan sesiapa.

Oleh itu apakah isunya sekarang?.
Isu dan persoalannya sekarang suasana itu telah menuntut dan meletakkan kewajipan ke atas bahu kita semua yang bergelar rakyat prihatin supaya melangkah sederap ke hadapan menghalang dan menghentikan atau sekurang-kurangnya dapat mengecilkan gelumbang perubahan nilai buruk itu ke suatu titik yang sesuai dengan masyarakat yang bijaksana seperti yang dipaparkan di atas. Dengan itu pengiktirafan terhadap kebijaksaan yang disepadukan dengan kemuliaan akan terserlah dan diakui. Dalam perkataan yang mudah kumpulan masyarakat bijaksana berakhlak mulia yang disebutkan di atas tadi perlulah menjadi pendakwah dalam pengertian yang lebih luas lagi, bijaksana manusia hendaklah diartikan merangkumi jasmani, rohani, akal dan emosi .

###
Ibarat membersihkan permukaan meja yang kotor memerlukan tuala yang bersih, jika menggunakan tuala yang kotor akan mengotorkan lagi permukaan meja tersebut. Piwaian ini perlulah digunapakai supaya ianya akan menghasilkan kebersihan yang sebenar dan mutlak.
###

Perubahan nilai yang ketara ini tidak akan dilihat perbezaannya, sekiranya kita tidak membuat perbandingan dan sorotan kembali amalan hidup dan pencapaian masyarakat zaman dahulu.

Sekian. Allah Maha Mengetahui.Wassalam.

4 comments:

Mak Su said...

lain zaman lain cara lain budaya lain pembawak-kan.

yg penting, amalan agama jangan dikalih-kalihkan.. :)

Leenoh said...

Salam Mak Su.

Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.

Ajaran Islam tetap yang sama.Kata Mak Su jangan dialihkan...disokong.

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Wahh! Entri ni, walaupun agak berat, tapi sangat sesuai untuk dibaca oleh semua orang untuk sama-sama membantu dalam memperbaiki modal insan. Peringatan kepada yang lalai:)

Leenoh said...

Salam Hani.

Pak Ngah dah jadi YB, terpaksalah bila tiada kerja kenalah cari kerja.

YB - Yang Bersara, he3.