Salam semua.
Kebelakangan ini Malaysia kelihatan kalut dan sebok , kesebokan rakyatnya menjalankan berbagai aktiviti yang melibatkan berbagai kumpulan di dalam masyarakat berbagai kaum di mana ianya berlaku di beberapa lokasi dalam berbagai situasi .
Kekadang maklumannya dilapor dan digambarkan dalam suasana sedang mengalami ketegangan yang mencemaskan. Mereka yang mengikuti perkembangannya akan turut rasa cemas dan bimbang bersama mereka yang terlibat, khasnya mereka yang terlibat dengan kegiatan politik dan mereka yang mengikuti perkembangan politik semasa Tanah Air.
Kesebokan dan kekalutan memulihkan semangat baru beberapa parti politik mengatasi kesebokan yang lain, beritanya sering dipaparkan melalui dada akhbar dan media eletronik serta laman blog yang wujud dan tumbuh seperti cendawan pada musim hujan.
Laman Kehidupan Bersih sebenarnya tidak pernah menulis mengenai politik mana-mana parti, walau bagaimanapun penulisnya tetap menganggap artikelnya juga menyentuh dan menyiku juga hal-hal politik ini, cuma bezanya politik yang dimaksudkan oleh penulis ialah politik umum tanpa berparti, mungkin kerana penulisnya tidak menjadi ahli mana-mana parti yang berdaftar di Malaysia.Maka tulisannya tidak mewakili mana-mana parti politik tanah air. Nama parti politik pun sukar hendak dicari di dalam laman ini.
Setiap individu perlu berpolitik, kalau tidak mereka akan diperkotak-katikkan oleh orang yang tidak jujur dalam berpolitik . Politik berparti mempunyai lesen yang besar untuk mengelirukan masyarakat dengan menggunakan slogan memajukan masyarakat, jika mereka mahu berbuat demikian.Bak kata pepatah " Sambil menyelam minum air" dan "Ada udang di sebalik batu".
Namun demikian dalam suasana sekarang politik berparti memang diperlukan dan itulah sahaja pilihannya.Rakyat perlulah pandai membuat pilihan, jika mereka ingin bahagia di dunia dan di akhirat. Wawasan orang Islam ialah bahagia di akhirat, itulah matlamat akhirnya. Pemimpin yamg berakhlak mulia boleh menjadi payung kepada semua rakyat sama ada Islam atau bukan Islam.
Terdapat juga individu yang berhasrat untuk perkayakan diri dan keluarga melalui status mereka di dalam parti atau kerajaan. Perjuangan yang ditunjulkan melalui berbagai slogan hanya untuk meraih sokongan sahaja, sebab itulah riuh rendah suara mewar-warkan bahawa mereka memberi bantuan di sana sini dan mereka juga bersungguh-sungguh berjuang untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Rakyat ketika itu dilayan seperti budak-budak, bermakna mereka menganggap rakyat tidak cerdik sebab itulah dilayan begitu rupa, mungkin juga rakyat kurang cerdik kerana tidak dicerdikkan oleh mereka yang sepatutnya bertanggungjawab mencerdikkan mereka. Sudah pasti sebahagiannya terdapat yang cerdik dan bijak menilainya.
Apapun alasan yang diberikan, orang yang cerdik dapat mengesan matlamat itu walaupun ianya tersirat di dalam dada orang lain kerana setiap yang tersirat di dalam dada akan terpancar keluar melalui penampilan gaya hidup diri dan keluarga di dalam aktiviti hariannya, umpamanya melalui pakaian, rumah, harta, wang simpanan dan kereta besarnya. Hanya mereka yang tidak celik ilmu sahaja yang tidak menyedari perkara tersebut.
Setiap rakyat baik di negara manapun mereka hidup, mereka memerlukan ilmu pengetahuan untuk mencerdikkan diri mereka dan seterusnya dapat mengejutjagakan pemimpin mereka yang sedang tidur kerana kekenyangan dan keselesaan melakukan sesuatu tanpa gangguan atau mengingatkan mereka bahawa kapal yang sedang dikemudikannya itu sedang menuju rumah api, kiranya tidak diubah haluan mungkin kapal akan mengalami perlanggaran , nahas itu pula akan membawa kepada kebucuran dan karam di tepi pantai sebelum tiba di pelabuhan. Jika itu benar-benar berlaku segala muatannya turut karam dan tenggelam ke dasar lautan, termasuk penumpangnya akan lemas dan akhirnya tidak dapat diselamatkan lagi.
Rakyat Malaysia nampaknya telah perlihatkan kecerdikannya dan telah mulai menilai parti politik negara mereka, kalau dulu mereka menganggap parti politik sebagai tempat rujukan, kini rakyat telah mula mengambil alih sebahagianya, iaitu parti politik perlu merujuk sebahagian aktiviti mereka kepada rakyat. ini berlaku setelah pemimpin menyedari bahawa mereka telah tersilap masuk ke lorong yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat dan rakyat sedang menyaksikannya dengan perasaan marah dan malu.
Kini nampaknya mereka telah mula memamerkan program yang menjurus ke arah perubahan yang positif , program tersebut perlu dibuktikan kepada rakyat jelata dengan kadar segera kerana situasi semasa menunjukkan sebahagian mereka sedang berkira-kira untuk berpindah kapal.
Semestinya rakyat dan pemimpin bawahan juga tidak semuanya jujur, mereka juga terdapat kepentingannya yang tersendiri, mereka akan kekal memihak kepada pemimpin mereka yang bermasalah tetapi keadaan buruk itu dapat diselamatkan oleh mereka yang cerdik dan baik dengan menonjolkan kebaikan dan menenggelamkan keburukan. Perkara ini lambat laun akan berlaku dan berjaya, jika rakyat dan pemimpin mengamalkan budaya bersih dan amanah.
Perubahan parti politik tidak akan ke manapun, sekiranya pemimpin tidak mahu berubah kerana parti politik terpaksa bergantung kepada pemimpinnya. Selagi pemimpin kemarukkan pangkat dan harta kekayaan, selama itulah juga akan berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa di dalam pentadbiran dan pemerintahan. Rakyat mengharapkan pemimpin mereka segera menghentikan lakonan mereka dan kembali ke alam realiti.
Rakyat dan pemimpin perlu berubah dan berakhlak baik.
Rakyat berkewajipan memilih pemimpin yang bijak dan baik, hanya rakyat yang cerdik dan baik akhlaknya sahaja yang berjaya berbuat demikian, selama mana rakyat berkeadaan tidak cerdik selama itulah juga mereka akan diperalatkan, bak kata pepatah Melayu " Orang bodoh makanan orang cerdik" . Senario itu akan memudahkan kaedah pecah dan perintah digunakan ke atas diri mereka oleh pemimpin yang tidak jujur.
Tokoh-tokoh politik yang bijaksana dan berakhlak buruk sentiasa sahaja mencari jalan untuk mendapatkan kuasa kerana mereka berasa tidak selesa berada di bawah kuasa orang lain.Manakala pemimpin yang bijak dan berakhlak baik akan berjuang untuk membela dan mengembalikan kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat. Sebab itulah rebutan status kedudukan di antara mereka akan berlaku berterusan.Hanya jauhari mengenal manikam.
------------
Sekadar mengetuk papan kekunci di atas skrin kosong untuk mencatatkan apa yang terlihat dek terupong mindaku.
----------------
----------------
-------------------
Sekian. wassalam
4 comments:
salam leenooh,
semasa aku di makkah.syukur dapat bertemu dengan seorang professor di universiti morocco.Dia boleh bertutur inggeris.Kami berbincang tentang dunia islam.
kami membuat keputusan yang kami juga bersetuju dengannya :
1.pemimpin2 negara islam cetek agama.
2.pemimpin2 tamak pada kuasa.
3.pemimpin2 juga tamak pada harta/wang.
4.halatuju tak selari antara satu negara dgn negara yg lain.
wassalam.
Salam Pak Cha & Mak Wan.
Agaknya sampai bila akan berkeadaan begitu.
Semoga Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita dan kepada mereka dengan cara itu barulah kita sama-sama mendapat manfaatnya
Islam pasti menang jua akhirnya,
sama-sama kita berusaha
Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.(17:81)
Salam Tinta Kasturi.
Insya Allah itulah harapan dan doa kita.
Wassalam.
Post a Comment