Thursday, October 8, 2009

Murid bakar sekolah.


Salam semua.

Tidak menguasai 3m
Entri yang lepas saya telah menulis mengenai murid-murid tidak menguasai 3m ( membaca. menulis dan mengira ) dan mereka ini diteruskan pengajiannya ke sekolah menengah, walaupun seluruh warga Malaysia mengetahui bahawa di sana kurikulumnya sesuai untuk mereka yang telah menguasai 3m sahaja, apakah para pelajar yang tidak menguasai 3m ini dapat pelajari di sana. Pihak manakah yang akan fokus kepada kaedah dan isi kandungan pengajaran dan pembelajaran mereka, cukupkah bilangan guru yang akan mengendalikan mereka ini atau mereka hanya menggunakan kurikulum yang ditumpangkan sahaja dan para murid ini akan terselit di tengah-tengah para pelajar lain yang telah menguasai dengan mahir 3m ini.

Apakah agaknya kesan psikologi terhadap murid-murid ini nanti, tidakkah mereka jemu dan memberontak kerana guru-guru menggunakan kurikulum yang tidak sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Guru-guru tidak boleh bertindak bersendirian kerana mereka hanya diamanahkan untuk merealisasikan kurikulum yang sedia ada dan mereka juga adalah golongan berjawatan menurut perintah, mereka bukan penggubal dasar, apa sahaja yang diperintahkan mereka akan laksanakan.

Wajarkah pelajar yang sejak dari awal telah dikesan dan didapati mereka tidak menguasai 3m dipaksa menduduki peperiksaan PMR ( Penilaian Menengah Rendah ) sedangkan kebolehan dan kemahiran mereka belum melepasi darjat sekolah rendah. Saya rasa ramai bersetuju, jika dicadangkan supaya suatu kurikulum khas digubal dan juga dibinakan sekolah khas untuk mereka ini . Suatu ketika dahulu terdapat Sekolah Tukang, Sekolah Jahitan dan Sekolah Vokasional. Adakah kita abaikan atau hapuskan langsung sekolah-sekolah tersebut kerana merasakan kita telah maju dan tidak perlu lagi sekolah seperti itu. Bukankah manusia ciptaan Allah berbeza tahap keupayaan dan kebolehan mereka , mereka juga memiliki berbagai tingkat dan pencapaian IQ , situasi ini berlaku sepanjang zaman.
Saya masih ingat lagi ketika menghadiri kursus KBSR dan KBSM di UKM, Bangi dalam tahun 80an dahulu, di mana ketika itu guru-guru mendapat maklumat bahawa selepas kurikulum tersebut dilaksanakan sewajarnya nanti maka tiada lagi murid yang buta huruf. Dengan itu kurikulum sekolah menengah pun digubal begitu tinggi sekali isi kandungannya, juga saya masih ingat tentang sindiran kumpulan saya di dalam suatu bengkel, Saya selaku wakil kumpulan menyampaikan hasil dan dapatan perbincangan, di antaranya menyatakan bahawa sejak zaman Nabi Adam sehingga ke zaman sebelum KBSR dan KBSM tidak pernah berlaku di mana semua manusia celik huruf di Malaysia kecuali pada zaman KBSR dan KBSM. ketika itu kurikulum tersebut baru diperingkat mendapatkan maklumbalas terutamanya daripada guru-guru.

Setelah beberapa tahun pelaksanaan KBSM saya semakin yakin dengan pendapat kami dahulu itu. Sindiran itu tidaklah menyentuh sesiapa kerana kurikulum itu belum diluluskan oleh Parlimen Malaysia dan masih berlaku proses perubahan dan pindaan. Makluman daripada perbengkelan itu adalah salah satu proses mendapatkan maklumbalasnya.


Murid bakar sekolah.
Berbalik kita kepada murid membakar sekolah, saya tidak membaca cerita yang selanjutnya. Apapun sekolah dibakar oleh murid telah pun berlaku, inilah pokok cerita yang kita hendak kaitkan dengan pesanan orang zaman dahulu mengenai pendidikan anak-anak,

Kata mereka;

" Jika kita tidak pukul mereka ketika mereka kecil, apabila besar nanti mereka akan pukul kita".

mungkin boleh juga diungkapkan begini. " Kalau kita tidak merotan mereka ketika kecil, apabila besar nanti mereka akan merotan kita".

Murid membakar sekolah ini mungkin juga ada kaitan dengan ketepatan dan kebenaran kata-kata tersebut. Bukankah itu suatu pukulan hebat terhadap kewibawaan dan keupayaan masyarakat pendidik dan masyarakat awam mengenai pendidikan kanak-kanak.

Biasanya murid yang pandai dan cemerlang tidak bertindak demikian, mereka mempunyai disiplin dan akhlak yang terpuji dan sayang kepada sekolah , kita tidak pasti murid ini dari golongan yang mana satu tetapi yang pastinya murid tersebut tidak berdisiplin dan tidak berpandangan jauh.

Mantapkan disiplin.
Banyak faktor yang mempengaruhi pelajar menjadi nakal dan jahat . Pihak yang bertanggungjawab terhadap diri mereka amat penting mewujudkan kawalan yang ketat terhadap disiplin pelajar dan diikuti dengan tindakan yang tegas , hukuman kepada yang bersalah perlu ada dan hendaklah aplikasikannya, jangan jadikan sekolah seumpama sebuah negeri yang tiada mahkamah dan tiada penjara.Denda dan hukuman itu juga adalah psikologi yang dapat menyedarkan mereka tentang faedah berkelakuan baik dan musibah berkelakuan nakal atau jahat.

Nilai kurikulum.
Pada keseluruhannya kurikulum pendidikan kita adalah baik dan masih relevan, kita hanya menyentuh perkara yang boleh ditambahbaikannya sahaja, untuk itu tentulah pandangan dan fokus kita menjurus kepada perkara yang perlu dibaiki atau dimurnikan sahaja.
Allah yang menciptakan manusia, oleh itu Allah Maha Mengetahui mengenainya dan eloklah kita sering merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis untuk menyelesaikan masalah manusia dan segalanya.

Klik : Ajaran Sesat


Sekian. Wallahu aklam.Wassalam.










No comments: