Tuesday, October 13, 2009

Orang munafik tulen.


Salam Semua.
Semua orang Islam yang berilmu khususnya ilmu Aqidah dan Fiqah berlumba-lumba ingin menjadi orang mukmin dan orang solih, mereka sentiasa berusaha dan berdoa agar terhindar daripada menjadi orang munafik atau memiliki sifat munafik.

Orang munafik ialah orang yang berpura-pura Islam.sifat pura-pura ini kekadang mereka sendiri tidak menyedarinya kerana ketentuan itu bergantung kepada tingkahlaku dan tindakan yang dilakukan oleh seseorang individu.

Sekiranya diketahui lebih awal sifat-sifat yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi munafik, mungkin akan dielakkannya, jika dengan sengaja merempuh dan melanggarnya bermakna mereka itu sememangnya tergolong di dalam golongan tersebut.
Cuba teliti dan semak dua Hadis di bawah ini.

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai dia khianat, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila bertengkar dia melampaui batas
(Hadis riwayat Ahmad)
__________

Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda :

أربع من كن فيه كان منافقا خالصا ومن كانت فيه ‏ ‏خلة ‏ ‏منهن كانت فيه ‏ ‏خلة ‏ ‏من نفاق حتى يدعها إذا حدث كذب وإذا عاهد غدر وإذا وعد أخلف وإذا خاصم ‏ ‏فجر

"Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas"
( Hadith Sahih Riwayat Muslim )
_________

Intisari Hadis di atas.
1. Ada empat sifat munafik, sesiapa yang mempunyai keempat-empat sifat tersebut. maka jelaslah orang itu adalah orang munafik tulen. Sifat-sifat tersebut ialah seperti berikut:
(i) Apabila diamanahkan (dipercayai) dia khianat.
(ii) Apabila bercakap dia dusta.
(iii) Apabila berjanji dia mungkir.
(iv) Apabila bertengkar dia melampaui batas.
2. Seksaan terhadap diri orang munafik seperti yang disebutkan di dalam surah An.Nisak ayat 145 yang dipaparkan di bawah.

###
Firman Allah.S.W.T. “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong bagi mereka.”
(QS. An Nisa [4]: 145).
###

3. Sesiapa yang terlibat dengan salah satu daripada empat sifat tersebut bermakna orang berkenaan mempunyai satu sifat munafik dan begitulah penilaian seterusnya.

4. Penjelasan mengenai empat perkara tersebut:
4.1. Amanah adalah tanggungjawab yang terpikul dibahu setiap orang sama ada terhadap diri sendiri, keluarga, jiran atau jawatan yang diamanahkan kepadanya. Semua tugas dan tanggungjawab di bawah seliaannya wajib dibereskan mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan akur dengan ajaran Islam. Amanah sangat luas pengertiannya.
4.2. Bercakap benar adalah disuruh dan wajib dilaksanakan, bercakap benarlah walaupun pahit, berdusta bermakna menyampaikan sesuatu berita yang tidak menepati apa yang sebenarnya berlaku , mungkin kerana ditokok tambah, diselewengkan atau sengaja direka, dalam semua aspek kehidupan Islam menyuruh umatnya bercakap benar, sama ada dalam perniagaan, politik dan lain-lain. sesuatu yang patut dirahsiakan sudah tentulah dibolehkan, penjual tidak semestinya mendedahkan harga beliannya kepada pembeli kerana berjual-beli itu hukumnya halal.
4.3. . Berjanji ialah ketetapan yang telah termetrai atau diputuskan berkenaan sesuatu perkara oleh dua pihak, maka kedua-dua pihak wajib menepatinya dan melaksanakan ketetapan tersebut. Sekiranya inginkan perubahan terhadap janji tersebut hendaklah mendapat persetujuan bersama kerana mungkir janji membawa akibat yang buruk dan hilang kepercayaan orang terhadap diri orang yang mungkir. Jika ramai manusia bersifat demikian maka kehidupan masyarakat menjadi kucar-kacir dan tidak akan mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan.

4.4. . Melampau dalam pergaduhan juga amat berbahaya kepada kehidupan manusia, biasanya pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di dalam sesuatu hal, kemudian membawa kepada pertengkaran atau bertikam lidah. Bagi mereka yang melampau dalam pertengkaran akan membawa dan menjurus kepada tindakan fizikal sehingga tumpah darah atau lebih dahsyat lagi sehinggalah berlakunya pembunuhan. Islam melarang umatnya melampau di dalam sesuatu pertengkaran dan melarang sama sekali mencabut nyawa sesama manusia.

Catatan:
# “Ballighu `anni walau aayah” . rangkaikata itu adalah Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud ; `Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat`.
# Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan dijauhkan daripada golongan munafik.

Sekian. Wallahu aklam.Wassalam.













2 comments:

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Amin..

Leenoh said...

Salam Hani.

Taqabbalallah.