Saturday, October 31, 2009

Ke arah Kehidupan Bersih



Salam semua.

Allah menjadikan manusia di atas dunia ini terdiri dari berbagai bangsa, tiada siapapun yang dapat menafikannya, itu adalah hakikat dan realiti, kita terpaksa menerima hakikat tersebut kerana itu adalah kehendak dan iradah-Nya, Allah Maha Memgetahui apa yang telah, sedang dan akan dilakukan - Nya.

Manusia mungkin kekadang terfikir di hati mereka supaya manusia yang menghuni dunia ini hanya di kalangan bangsa mereka sahaja, seolah-olah ingin memohon supaya Allah berbuat demikian, sedangkan Allah telahpun menjadikan mereka , sebelumnya mereka tidak wujud, khususnya mereka yang terfikir demikian.Dalam proses menjadikan manusia malah alam ini, malah apa sahaja Allah tidak berkehendak untuk berunding dengan manusia atau apa sahaja kerana Allah itu Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam melaksanakan sesuatu.

Kiranya satu bangsa sahaja yang menghuni dunia ini tentulah manusia akan menjadi jumud dan jahil. manusia juga tidak dapat melihat sifat Allah yang Maha Kaya, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan sifat-sifat kesempurnaan Allah yang lain.

Melihat kepada manusia yang berbagai bangsa yang bertutur dalam berbagai bahasa dan mengamalkan berbagai budaya dan adat resam, semuanya itu memberi motivasi kepada minda manusia ke arah mempertajamkan lagi akal dan minda mereka dan akhirnya minda mereka akan menjurus kepada suatu kesimpulan bahawa Allah itu wujud.

Bagi mereka yang berfikir demikian lambat laun akan bertemu dengan taufik dan hidayah Allah serta akan mengakui bahawa kewujudan masyarakat majmuk di dalam kehidupan mereka itu adalah suatu hikmah dan keindahan serta suatu kecanggihan hidup manusia yang sengaja diciptakan oleh Allah.

Manusia tidak dibiarkan bersendirian atau sesama mereka sahaja dalam menjalani hidup yang canggih dan rumit itu. Allah itu Maha Penyasih dan Penyayang kepada hamba ciptaan-Nya. Allah mengutuskan malaikat Jibril supaya menyampaikan al.Quran kepada Nabi Muhammad.s.a.w. dan diturunkan al.Quran itu secara beransur-ansur sehinggalah lengkap sebagai sebuah kitab yang menjadi panduan hidup manusia supaya manusia selamat di dunia dan di akhirat. Dengan itu Nabi Muhammad.s.a.w. dilantik menjadi rasul dan pesuruh Allah untuk menyampaikan segala panduan yang termaktub di dalam al.Quran itu kepada manusia serta baginda juga dipertanggungjawabkan supaya memberi penjelasan dan kefahaman kepada manusia mengenai isi kandungan tersebut sehingga mereka mampu merealisasi dan mengamalkannya di dalam kehidupan mereka.

Allah menjadikan manusia dengan dibekalkan akal bersama kejadian diri mereka, tetapi akal semata-mata tidak mampu menguruskan diri mereka tanpa disepadu dan dikombinasikan dengan wahyu Allah, sememangnya manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan, kelebihan manusia akan hadir dalam diri mereka setelah menyingkirkan kelemahan yang bersemayam di dalam jiwa mereka. Setelah tersingkirnya kelemahan dan kekotoran di dalam jiwa manusia. Insya Allah akan terjanalah Kehidupan Bersih.

Kelebihan manusia kerana akhlak baik dan taqwanya, kelemahan manusia kerana perbuatan lagha dan sia-sianya

Cuba fikir dan renungkan firman Allah yang disediakan di bawah ini.

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang".


"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".
Surah al.Hujuraat, ( ayat 12 - 13 )
.

Hanya sekadar ini dahulu sehingga bertemu lagi.

Wassalam.


No comments: