Wednesday, October 21, 2009

Bersihkan jiwa yang bersenim.


Salam semua.

Pada pagi yang dingin hari ini, terlintas pula keiniginan di hati untuk menulis mengenai jiwa yang bersenim dan berkarat, menggunakan dua perkataan itu sebagai perbandingan sahaja, masakan jiwa yang bukan besi itu boleh bersenim dan berkarat. Besi kalau telah dibaluti karat ianya akan buruk dan tidak ceria lagi, sebab itulah sebelum berkarat kenalah disapu cat terlebih dahulu, itu besi, kalau jiwa dan hati manusia yang kabur dan tidak bercahaya apa pula tindakan yang boleh dilakukan.

Jiwa dan hati manusia memang sukar hendak dididik dan dirawat kerana kejadiannya sangat canggih dan istimewa, di situlah tempat duduknya iman , Islam dan ikhlas.
Walau secanggih mana kejadian hati dan jiwa manusia, ianya tetap mempunyai panduan yang diberikan Allah untuk hambanya mengurus dan menjaganya.

Besi menjadi kabur dan buruk kerana senim dan karatnya tetapi jiwa dan hati manusia menjadi kabur dan buruk kerana dibaluti sifat hasad dengki, sombong, ria', bongkak, bangga diri dan seumpamanya.

Sifat-sifat ini boleh dibersih dan disingkirkan beransur-ansur dengan cara memasukkan sifat-sifat mahmudah ( positif ) ke dalam hati dan jiwa manusia tersebut. Langkah ini dapat dilakukan dengan mendapatkan bantuan daripada dua sumber iaitu sumber luaran dan diri sendiri, sumber luaran mungkin dalam bentuk nasihat dan memberi ilmu dan sumber diri sendiri ialah mengahayatinya.

Cuba anda amalkan petua ini sebelum tidur:

(1) Selepas anda telah meletakkan kepala di atas bantal ucapkan istighfar beberapa kali.

(2) Ucapkan dua kalimah syahadah.

(3) Diteruskan dengan ungkapan dan doa ini.
" Ya Allah , Ya Rabbi, aku maafkan semua kesalahan dan kesilapan orang lain terhadap diriku .
Ya Allah, Ya Tuhanku, ampunkanlah segala dosaku dan berilah aku dapat tidur dengan nyenyaknya pada malam ini dan Ya Allah kejutkan daku sebelum waktu Subuh pagi esok supaya dapat aku bersolat Subuh dengan sempurna. amin"


Kalau telah menjadi amalan setiap malam. Insya Allah hati dan jiwa kita semakin bersih dan ikhlas dan segala persengketaan dapat dileraikan, jiwa kita menjadi tenang dan aman.

Pesanan ini kuutamakan untuk didiriku, selebihnya mungkin anda juga ingin mengamalkannya. Wallahu aklam.

Sekian.Wassalam.

No comments: