Thursday, April 22, 2010

Aku , Bendang dan Kerbau..

Salam semua.

Aku, Bendang dan Kerbau.

Aku penuli
s persendirian.
Setelah aku taip tiga teras perkataan di atas, aku terhenti sekejap kerana tiada arah untuk memulakan kis
ahnya. Penulis pinggiran seperti aku ini memang tidak pandai hendak membuat set induksi bagi sesuatu cerita atau kisah dan ditambah lagi dengan miskin penguasaan bahasanya pula, banyak sangat kelemahannya.Hanya kaya dengan kemiskinan dan makmur dengan kelemahan. Cerita yang patut didahulukan kerana kelemahanku maka aku kemudiankan menjadikan cerita itu hambar.Pada masa dahulu aku pun tidak pernah sangka bahawa aku akan menjadi penulis persendirian seperti ini, aku tidak sangka langsung bahawa tulisanku akan dibaca oleh manusia di seluruh dunia dan aku juga tidak menyangka langsung bahawa aku akan memiliki laman sendiri seperti ini. kiranya aku berhajat menumpang laman orang lain sudah tentu tulisan aku tiada tempat baginya kerana buruknya tulisanku dan berbagai lagi kelemahan yang lain.

Aku dan kerbau.
Pada zaman kanak-kanak aku tidak pernah bercita-cita tinggi, cita-citaku pada masa itu hanya ingin menjadi seorang pegawai kerajaan yang mampu memiliki sebuah motorsikal Vespa sahaja. Bila aku berada di dalam petak bendang, bila aku berada di atas belakang kerbau jinakku, bila aku berjalan kaki ke sekolah melalui batas bendang dalam keadaan kasut berkilek, bila aku bersendirian dan bila aku di dalam bilik darjah sekalipun, aku sering berangan-angan menjadi seorang pegawai kerajaan yang mampu membeli sebuah vespa dan sesudah aku kahwin aku akan membawa isteriku berjalan-jalan ke destinasi yang lebih jauh dari kebiasaan orang kampungku berkunjung. Pada masa itu aku telah pun menyukai seseorang di antara kawan sedarjahku, aku tidak ganggui dia dan aku juga tidak memberitahu dia kerana aku tahu bahawa jodoh itu ditangan atau di dalam kekuasaan Allah, aku hanya tumpukan kepada cita-citaku menjadi pegawai kerajaan sahaja, kalau tidak mencapai cita-cita tersebut aku akan dipandang rendah oleh masyarakat kampungku.Keluargaku pada ketika itu memang pun berada pada kedudukan yang rendah berbanding dengan keluarga yang lain.

Setelah aku meningkat ke alam remaja rupa-rupanya cita-citaku berubah pula, mungkin ilmu pengetahuanku telah bertambah menjadikan ruang cakup mindaku melihat lebih luas dan lebih jauh, aku ingin menjadi lebih baik dari itu tetapi tidak pula aku tentukan bidangnya.( Cita-cita kanak-kanak biasanya akan berubah mengikut perubahan pengetahuan mereka )

Merujuk kepada pernyataan yang menyatakan " bila aku berada di atas belakang kerbau". Mungkin anda ingin mengetahui maksudnya, sebenarnya ketika aku kanak-kanak aku diberi tugas oleh ibubapaku untuk menjaga seekor kerbau balar ( warna putih) setiap petang aku terpaksalah membawa kerbau itu meragut rumput di kawasan yang terdapat rumput yang panjang yang lokasinya tidak berapa jauh dari rumah, padang ragut tidak mencukupi kerana kebanyakan kawasan tanah telah dijadikan sawah bendang. aku terpaksalah membawa kerbau aku meragut rumput di atas batas bendang,Cara ini dikenali orang kampung aku sebagai "kenduk kerbau"iaitu melayani kerbau meragut rumput sambil mengawalnya dengan memegang tali yang diikat pada hidungnya , aku perlu berhati-hati kerana batas bendang keluasannya hanya kurang lebih empat kaki sahaja, jika leka kerbau akan meragut pokok padi di kiri kanannya walaupun talinya di dalam genggamanku, sebab itulah aku terpaksa bersama kerbau jinakku sepanjang masa, biasanya aku melayani kerbauku selama dua jam setiap hari pada waktu petang, bila aku malas berdiri aku akan naik ke atas belakang kerbau seperti naik kuda dan berehat di situ, kerbau aku itu tidak kisah aku berada di atas belakangnya seperti dia pun faham bahawa aku letih berdiri di hadapannya. Mungkin dia pun telah merasai aku ini umpama kawannya, masakan tidak, setiap petang bersamanya.Aku perlu memberi kerbau jinakku ini makan secukupnya supaya dia sihat dan kuat kerana dialah yang membantu bapaku membajak bendang dan mengangkut padi yang diisi di dalam guni setiap tahun.Itulah secara ringkas mengenai diriku pada suatu masa dahulu, aku tidak layak menceritakan yang hebat-hebat seperti anda semua kerana aku adalah aku, anda adalah anda.

Bendang.
Petani pada masa dahulu mengerjakan sawah bendang mengikut musim kerana mereka hanya mengharapkan air hujan untuk sawah mereka. di antara bulan April - oktober adalah musim hujan, bulan November - Mac biasanya berlaku kemarau atau sekurang-kurangnya hujan berkurangan.Dalam bulan April atau Mei mulailah petani memulakan membajak tanah mereka dengan menggunakan kerbau, zaman selepas kemerdekaan memang banyak menggunakan tenaga manusia dan kerbau.

Sekian dahulu...Wassalam.














6 comments:

Temuk said...

Salam Sdr Leenoh
'Aku, bendang & kerbau' pada saya adalah ceritera salinghubungan unik unsur-unsur alam, yang kukuh tersepadu, dalam masing-masing memperkukuh kelangsungan hidup. Saya meyakini 'aku' adalah unsur terkuat di situ, kerana dengan izin Allah, dia mampu mengawal dan mengatur bendang & haiwan belaannya demi kelangsungan hidupnya. 'Aku' belum bercerita panjang, tetapi saya suka menjangka, kisah hidupnya itu adalah pelbagai episod ketenangan & kesejahteraan kewujudan, dalam satu ekologi yang harmonis dan aman damai. Bagi saya cerita-cerita begini amat bermanfaat & sarat dengan pengajaran, tersirat atau tersurat.

Hunny said...

Pak Ngah,
Biar betul.. kecik2 lagi dah ada impian nak kawin dan bawa isteri jalan2 naik vespa...hehehe..kelakar :D

Leenoh said...

Sala Temuk.

Sangat menarik dan mendalam ulasan Sdr.Temuk mencakup apa yang belum diceritakan, anda nampak kerana anda melihat dengan mata hati.

Leenoh said...

Salam Hani.

Aku adalah aku...hahaha...memang betul la...minda cair lebih awal...Dulu zaman gila vespa kini gila Fb..he3.

HeroHuruHara said...

Assalamu'alaikum,

benar impian kala umur sebegini sememangnya boleh menjadi kenyataan kerana semat di hati teringat sering kali. Pendapat saintifik pula mengatakan anak kecil pabila berumur 3 tahun adalah waktu yang sangat penting kerana masa inilah setiap amalan, perlakuan, kata-kata tersemat dalam memori sepanjang hayat....dan ianya berlaku sekali seumur hidup

Leenoh said...

Salam.

Cita-cita yang paling awal akan berubah apabila berlaku peningkatan ilmu...
Oleh itu minat kanak-kanak perlu ibubapa memurnikannya kerana minat tersebut belum tepat.