Friday, April 2, 2010

Mimpi merisaukan diriku.

Salam semua.

Pada suatu hari di akhir tahun 70an , semasa saya berada di kampung kerana menghadiri khenduri kahwin kebetulan terjumpa dengan bapa saudara, iaitu adik bapa, berbual panjang dengan beliau di bawah rumpun buluh, panjang pula ceritanya pada saya pada hari tersebut, saya terfikir mungkin kerana telah lama tidak berjumpa, mungkin beliau ingin mengetahui perkembangan hidup saya bersama keluarga kecil ketika itu.

Setelah petang saya pun balik ke tempat kediaman saya di Alor Setar, balik kampung hanya dengan menaiki bas sahaja kerana ketika itu saya belum berkenderaan, sedang saya menunggu bas tiba-tiba Pak Anjang saya tadi muncul dengan keretanya, beliau berhenti dan bertanya beberapa soalan seolah-olah beliau bimbang dengan perjalanan saya itu, saya berkali-kali memberitahunya bahawa beliau tidak perlu bimbang kerana bas yang melalui jalan itu kekerapann mengikut jadualnya sejam sekali. Walaupun diyakinkan begitu beliau tetap termenung lama memikirkan sesuatu, melihat kepada aksinya seperti beliau ingin menghantar saya pulang dengan keretanya, walupun beliau tidak menyatakan hasratnya tetapi saya dapat merasakannya dan say berulang kali melarang beliau menghantar saya ke tempat kediaman saya di Alor Setar.

Apabila Pak Anjang melihat bas datang barulah beliau menyambung perjalanannya balik ke rumah di Tobiar, Kedah.Kemudian saya pun naik bas ke Alor Setar dengan tambang $0.40 sen ketika itu dan di dalam minda penuh persoalan kenapa beliau kelihatan berubah sikap dan bimbang sangat dengan kesusahan saya itu.

Setelah beberapa hari selepas peristiwa itu, pada suatu malam saya menerima panggilan telefon dari kampung menyatakan Pak Anjang meninggal dunia.( Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun ). Pada awal pagi saya pun bertolak ke Tobiar sewaktu saya sampai orang ramai telah memenuhi persekitaran rumahnya dan saya masih sempat sama-sama memandikan mayatnya.

Meninggal dunia ketika sedang berdoa.
Aktiviti beliau pada awal pagi kematiannya itu, beliau ditugas untuk menyembelih kerbau untuk dibuat khenduri dan beliau juga ditugaskan menjadi khalifah membaca doa, kedua-dua tugas itu beliau laksanakan dengan baik. kecuali membaca doa tidak sempat selesai kerana beliau meninggal dunia ketika sedang menjadi khalifah membaca doa. Majlis itu akhirnya bertukar kepada bacaan doa untuknya yang dikepalai orang yang lain pula.

Bermimpi.
Beberapa hari kemudian saya bermimpi beliau datang memohon pertolongan dari saya, belaiu duduk di atas tangga manakala saya berada di atas pelantar ( beranda), beliau menyebut beberapa kali, katanya " Lee hanglah saja yang boleh tolong aku" kemudian saya pun terkejut jaga dengan penuh persoalan yang bersarang di minda. Saya merakan bahawa sudah tentu mimpi ini Allah hendak sampaikan sesuatu mesej kepada saya dalam menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh Pak Anjang semasa hidupnya itu.Beliau ketika itu adalah salah seorang AJK. Masjid Tobiar terfikir di minda saya mungkin ada tugas dan amanah yang perlu diserahkan kembali kepada AJK masjid yang sedia ada kerana beliau telah meninggal dunia masakan boleh menyerahkan tugas itu. Maka mimpi inilah membuka minda dan hidayah ke arah tersebut.

Setelah beberapa hari saya memikirkan perkara tersebut barulah sampai kemuncak kerisauannya, di mana kerisauan itu memaksa saya balik ke kampung dan berjumpa dengan Pak Teh saya serta membincangkan perkara tersebut, walaupun ianya hanya mimpi, kita tidak boleh ambil ringan dalam hal seperti ini kerana mimpi juga ada yang benar. Saya cadangkan kepada Pak Teh supaya pergi berjumpa AJK.Masjid untuk berbincang dan pastikan hal ini, memang betul ada tugasan yang sedang beliau laksanakan dan belum beres dan ada sesuatu yang tertinggal padanya, akhirnya berjaya diselesaikan.

Sekian. Wallahu aklam.

No comments: