Wednesday, July 27, 2011

Selepas berbuka puasa jangan terus menghisab rokok

Salam semua.

Tabiat orang berpuasa atau orang yang sedang lapar sentiasa berangan-angan serta ingin merasai apa sahaja yang lazat-lazat yang pernah dirasainya ketika tidak berpuasa. Angan-angannya melambung tinggi tanpa terfikir bahawa saiz ruang perut tidak berubah dan tidak pun berlaku semakin besar yang membolehkan ruangnya itu diisi dengan lebih banyak makanan ketika bulan puasa atau bulan Ramadan, kalau dibiarkan nafsu berangan-angan tanpa dikawal dengan akal yang beriman sudah pasti akan berlaku pembaziran dan menghakiskan pula ganjaran kebaikan yang dijanjikan.

Bagi penagih rokok ketika sedang berpuasa mereka akan berangan-angan sebaik sahaja selepas berbuka puasa akan terus menghisab rokok yang sedang menunggu dengan setianya di dalam kotak, lagi hampir waktu berbuka lagi kuatlah angan-angan itu, walaupun sebelumnya mereka dapat bersabar sehari suntuk tanpa menyentuh rokok, sebenarnya uslub ayat ini adalah uslub ayat pengalaman penulis semasa menjadi penagih rokok lebih 30 tahun dahulu.Kini telah menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan di mana pada tahun 80an penulis mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

Setiap kali berbuka puasa penulis akan berangan-angan akan menghisab rokok selepas berbuka nanti, begitulah berlaku saban tahun tetapi pada suatu tahun dalam tahun 80an penulis terfikir . " kenapa aku tidak boleh berhenti merokok pada hal pada waktu siang tadi aku tidak sentuh pun rokok ini", kemudian teringat lagi di hati , "aku menahan diri tidak merokok kerana menjaga puasa supaya puasa itu tidak batal, kalau itu aku boleh buat dan lakukan mengapa pula aku tidak dapat meneruskan tahan diri dan tidak menghisab rokok ini pada waktu-waktu yang lain atau buat selamanya, kali ini eloklah aku beralih pula menahan diri dan bersabar tidak merokok atas sebab merokok itu menjejaskan kesihatan dan juga akhlak atau tegasnya amalan yang telah diakui tidak baik".

Diringkaskan cerita penulis pun merealisasikan apa yang terfikir dan teringat itu, oleh itu setiap kali selepas berbuka puasa penulis tidak lagi menyentuh batang rokok dan jauh sekali menghisabnya. Bagi penagih rokok inilah masanya untuk berhenti merokok. Perkara yang paling penting dalam menjayakan rancangan berhenti merokok ini ialah fokus minda, untuk berhenti merokok minda kita perlulah difokuskan kepada perkara lain terutamanya setiap kali selepas makan atau minum, ketika itu putaran
minda hendaklah dialihkan ke arah lain dengan sekuat-kuatnya ( bukan pada rokok ) dan azam untuk berhenti juga hendaklah mengatasi keinginan merokok. Segala kebaikan berhenti merokok itu hendaklah dilonggokkan di hadapan dan benamkan rasa ketagih itu di bawah tapak kaki.

Ejek atau perlilah diri sendiri kalau gagal berhenti kerana dengan cara itu kita akan mencuba lagi sehingga berjaya.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: