Tuesday, May 12, 2009

SURAH AN.NAAS


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Perbincangan dan Pendedahan Ringkas.

Berikut adalah petikan maksud ayat 1 hingga 6 dari Surah An.Naas .
________

" Katakanlah ( Wahai Muhammad ): " Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.
Yang menguasai sekalian manusia.
Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.
Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam.
Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.
( Iaitu pembisik dan penghasut ) dari kalangan jin dan manusia".

Surah An.Naas (1-6)
___________

Intisarinya;
Surah An.Naas mengandungi hanya 6 ayat sahaja.
Surah ini mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah Taala dari segala bahaya yang batin, iaitu daripada bahaya perasaan ragu-ragu dan ingatan buruk yang datangnya dari angkara makhluk yang tidak kelihatan - (syaitan atau jin ) dan dari tipu daya makhluk yang berupa manusia, perasaan dan ingatan buruk yang tersebut adalah menjadi penyakit besar yang menyebabkan rosaknya iktiqat kepercayaan, amal ibadat dan segala bawaan hidup.
Rujukan: Tafsir Pimpinan Ar.Rahman.


_____________________________

Beberapa persoalan yang ingin ditimbulkan di sini:

(1) Merujuk kepada was-was yang sering berlaku dalam hal menunaikan solat ialah tentang bilangan rakaat yang sedang ditunaikan sama ada tiga rakaat atau empat rakaat, kalau mengikut hukum, kita dinasihatkan supaya mengiranya sebagai tiga kerana bilangan itu yang pasti dan diteruskan solat sehingga selesai, kejadian seperti ini dikatakan bisikan syaitan atau iblis.
Berdasarkan pengalaman yang lalu tidak pernah atau jarang berlaku was-was pada solat tiga rakaat, tidak berlaku was-was sama ada dua atau tiga rakaat.

(2) Oleh sebab takut kepada gangguan syaitan mewas-waskan ketika solat maka ramailah membaca ayat ini sebelum menunaikan solat, Persoalannya bolehkah dibaca surah ini selepas iqamah (qamat) kerana selepas iqamah disuruh terus bersolat, Perkara yang sesuai dilakukan terutamanya imam hanya menegur dan menasihatkan makmum supaya dibetulkan saf sahaja, walaupun surah itu kelihatan pendek tetapi ianya tetap dikira satu surah. Saya pernah ditegur oleh Tok Guru saya sendiri ( Bekas Kadzi Besar ) supaya tidak membaca surah tersebut selepas iqamah dan katanya selepas iqamah terus sahaja mendirikan solat, sejak itu saya tidak lagi membaca surah tersebut selepas iqamah, pendirian ini hanya untuk diri sendiri dan tidak untuk menegur orang lain kerana takut nanti ada pendapat lain pula. Untuk mengelakkan was-was tersebut saya akan membacanya sebelum iqamah. Mereka yang membacanya dengan kuat sehingga didengari sebahagian ahli jamaah rasanya layak diberi teguran. wallahu aklam.

(3) Was-was juga kekadang berlaku ketika berniat sama ada niat wuduk atau niat solat. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan kurang pasti tahap niat yang dikehendaki, bagi setengah orang niat itu seperti kata-kata di dalam hati,tidak sempurna berkata-kata di dalam hati itulah menyebabkan mereka rasa was-was sama ada telah sempurna atau tidak niat tersebut, terutamanya ketika takbiratul ihram, pada hal niat adalah lintasan di dalam hati sahaja, ini bermakna lebih ringan dari kata-kata di dalam hati.
Untuk mengelakkan was-was adalah baik juga kita berkata-kata di dalam hati lafaz niat tersebut sebelum berwuduk atau bertakbiratul ihram apabila sampai ketikanya kita terus sahaja lintaskan di hati lafaz niat tersebut. wallahu aklam.

Sekian. wallahu aklam. wassalam.

8 comments:

Anonymous said...

Salam.
Entri yang sangat berfaedah untuk semua. Tahap godaan syaitan semasa bersolat berbeza-beza antara setiap individu. Bagi saya yang terasa sangat godaan syaitan, saya kadangkala baca surah an-Naas (selepas iqamah) dan beristighfar secara perlahan sambil menanam tekad membenci syaitan. Memanglah digalakkan terus solat sesuai dengan gesaan langsung dari laungan iqamah.

Sekiranya sewaktu lintasan niat dihati lagi telah berlaku celaru maka makin kuatlah syaitan menyerang ketika solat. Memfokuskan kepada setiap aspeks bacaan dalam solat dan bacaan imam akan mengurangkan gangguan. Bacaan dalam solat yang membisik terlalu perlahan juga akan memudahkan syaitan menyerang. Bacaan jelas yang dihalusi satu per satu akan membuatkan syaitan terbakar. Namun begitu, kadangkala saya tewas juga!

Berikut ialah antara pengakuan iblis kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Daripada Muadz bin Jabal dari Ibn Abbas r.a.:-

“Wahai Muhammad, umatmu ada yang suka melewatkan solat. Setiap kali ia hendak berdiri untuk solat, aku bisikkan padanya waktu masih lama, kamu masih sibuk lalu ia menundanya hingga ia melaksanakan solat di luar waktu. Maka solat itu dipukulkan ke mukanya.”

“Jika ia berhasil mengalahkanku, aku biarkan ia solat. Namun aku bisikkan ke telinganya ‘Lihat kiri dan kananmu,’ ia pun menoleh. Pada saat itu aku usapnya dengan tanganku dan ku cium keningnya serta aku katakan ‘solatmu tidak sah.’ Bukankah kamu tahu Muhammad, orang yang banyak menoleh dalam solatnya akan dipukul.”

“Jika ia solat sendirian, aku suruh dia untuk bergegas. Ia pun solat seperti ayam yang mematuk beras. Jika ia berhasil mengalahkanku dan ia solat berjemaah, aku ikat lehernya dengan tali sehingga ia mengangkat kepalanya sebelum imam atau meletakkannya sebelum imam.”

“Kamu tahu bahawa melakukan itu membatalkan solatnya dan wajahnya akan diubah menjadi wajah keldai. Jika ia berhasil mengalahkanku, aku tiup hidungnya sehingga ia menguap dalam solat.”

“Jika ia tidak menutup mulutnya ketika menguap, syaitan akan masuk ke dalam dirinya dan membuatnya menjadi bertambah serakah dan gila dunia. Dan ia pun semakin taat padaku.”

“Kebahagiaan apa untukmu sedang aku memerintahkan orang miskin supaya meninggalkan solat. Aku katakan padanya, ‘Kamu tidak wajib solat, solat hanya wajib untuk orang yang berkemampuan dan sihat.’ ‘Orang sakit dan miskin tidak wajib dan jika kehidupanmu telah berubah baru kau solat.’ Ia pun mati dalam kekafiran. Jika ia mati sambil meninggalkan solat maka Allah akan menemuinya dalam kemurkaan.”

wallahu aklam.

AyKay said...

sebagai panduan dan tambahan ilmu, buku "Perbaharui Solat Anda" boleh dicuba utk menambahkan pengetahuan dalam berperang melawan lintasan dan bisikan.

Leenoh said...

Salam Zaidi ali.
Alhamdulillah respon yang sangat baik.Memang suatu ketika dulu iblis menjadi guru kepada malaikat, iblis ialah makhluk yang bercakap tidak serupa bikin. Ilmunya tinggi kalah PhD. tetapi ilmunya tidak hakiki, ilmunya hanya setakat teori sahaja.
Semakin kita berusaha untuk mendapatkan khusyuk, semakin ghairah dia mengacau kita. walau apapun jika kita sentiasa mengingat dan mengamalkan konsep ihsan insya Allah, iblis akan dapat dikalahkan, kita mestilah sentiasa berasa bahawa Allah sedang melihat kita dan menilai kita, terutamanya ketika sedang bersolat.
Semoga Allah pasakkan rasa khusyuk di dalam hati kita,amin.

Leenoh said...

Salam Aykay.
Terima kasih Aykay kerana memberi informasi yang berfaedah untuk pengunjung blog ini.
Adalah wajar kita mentahsinkan perlakuan solat kita kerana kekadang dibuat ikut-ikutan sahaja.

Prof Azie said...

manusia mmg mudah digoda syaitan..apatah lagi sifat was-was. memang sentiasa je ada.

Dee said...

thx panduan yg amat berguna ini..kdg2 dee was2 gak bila solat..

Leenoh said...

Salam Prof.Azie.
Walaupun syaitan kekadang berjaya menggoda manusia tetapi sebenarnya manusia lebih bijak membuat penilaian berbanding dengan syaitan.
Dengan kebijaksanaan itu manusia beriman kpd Allah, manakala syaitan kafir.

Leenoh said...

Salam Dee.
Kalau kita sentiasa dalam keadaan bersedia, insya Allah was-was dapat dikurangkan.