Wednesday, July 28, 2010

Tidak perlu orang tengah ...bersetuju.





Salam semua.

Pada hari ini saya ingin menulis artikel yang tentunya semua pihak akan menyatakan artikel ini adalah artikel politik tetapi bagi saya artikel ini adalah artikel yang menyentuh tentang perintah Allah supaya manusia yang berselisih pendapat tentang sesuatu hendaklah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya yang sentiasa diulang sebut di dalam khutbah Jumaat setiap hari Jumaat. Kekadang terasa ucapan itu umpama cakap tidak serupa bikin atau cakap tetapi tidak bikin.

Islam itu sangat luas dan sempurna, bandingan kalau politik itu poket, Islam itu pula adalah bajunya, kalau baju dijaga maka poket pun turut terjaga dan dipelihara, kalau diangkat baju maka poket pun akan terangkat bersama, nampaknya politik itu kecil , manakala Islam itu amat besar dan amat sempurna, kesempurnaan itu akan terkesan dan diketahui kalau seseorang itu mempelajarinya, lebih banyak ilmu mengenainya, maka lebih luas dan banyaklah pengetahuan berkaitan dengan Islam, Ilmu Islam perlu diselongkar, dicari dan dirujuk kepada al.Quran dan al.Hadis serta ijmak ulamak dan juga qias.

Berbalik kepada tajuk di atas. Untuk menyatupadukan orang PAS dan UMNO saya juga bersetuju tidak perlu kepada orang tengah kerana PAS dan UMNO adalah parti atau organisasi, sudah tentulah masing-masing mempunyai ramai anggota atau ahlinya. Saya bersetuju mereka membuat perbincangan dengan cara yang tertentu, mungkin sesuai dengan cara menghantar sejumlah perwakilan tertentu untuk berbincang, Saya yakin semua pihak menyedari dan melihat bahawa orang PAS dan UMNO masih boleh duduk semeja, masih bertahlil bersama di kampung-kampung, masih sama-sama mengajar di sekolah, masih bekerja di bawah satu bumbung di pejabat, masing-masing masih membaca Harakah dan Utusan Malaysia, masih ramai yang bersikap terbuka dan rasional dengan situasi serta faham situasi, walaupun terdapat juga yang tertutup atau ditutup mindanya oleh pemimpin tertentu
untuk tidak melihat lebih jauh supaya kekal sokongan terhadap diri mereka , mereka yang tertutup minda atau ditutup minda tentulah tidak berdaya mengesan keburukan pemimpin masing-masing.Mereka yang masih berfikir secara bebas dan kreatif serta kritis khususnya mengenai permasalahan umat Islam dan orang Mel;ayu rasanya mempunyai minda yang terbuka dan tidak emosi serta tidak tamak dan tidak juga terlalu kebendaan.

Kalau Islam itu benar-benar dijadikan teras pegangan di dalam kehidupan kita, adakan sahaja muktamar mencari suatu jalan yang ditunjukkan oleh Islam, jalan yang membawa kita ke jalan yang benar dan selamat di akhirat nanti, jangan pula memilih jalan yang seolah-olah tidak percaya wujudnya hari kemudian atau meremihkannya.

Jika bimbang berlaku sesuatu yang tidak baik, boleh juga memilih cara lain yang lebih kecil penyertaannya, mungkin perjumpaan peringkat tertinggi parti masing-masing sahaja.Apapun masing-masing perwakilan hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki minda yang terbuka dan mampu merumuskan sesuatu secara rasional atas keperluan Islam, jauh sekali atas kepentingan diri, dengan cara ini insya Allah akan terhasil pada masa akan datang pemimpin yang mampu menasihati rakyat dan bukan pemimpin yang terpaksa menghadapi nasihat dari rakyat yang begitu banyak.
__________________________________

[9]
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[10]
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

( Surah al.Hujurat )

_________________________________________

Jangan hendaknya mempromosikan perpaduan untuk menang politik atau pilihan raya, biarlah kita gunakan politik itu untuk kebaikan dan kebenaran serta kesejahteraan di dunia dan akhirat, termasuk kebaikan untuk bukan Islam, haiwan,tumbuhan dan segala yang disarankan oleh al.Quran dan al.Hadis.Kuasailah politik jangan biarkan politik menguasai kita, kurangkan cinta kebendaan kerana semewah mana kita, segagah mana kuasa kita akhirnya ke kubur jua, cuba lihat pemimpin di dunia ini yang gah dan masyhur pada suatu ketika dahulu, di mana mereka sekarang, bukankah ada yang telah pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya, ada yang sedang terlantar di atas katil empuk tetapi diri sendiri tidak berdaya lagi hendak melakukan apa-apa kecuali terpaksa dibantu oleh orang lain, keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk diri penulis.Oleh itu marilah kita bersatu dan bekerjasama menyediakan biah atau persekitaran hidup yang memberi motivasi ke arah kesejahteraan yang hakiki.

Perkara yang paling penting dalam hal ini adalah ikhlas iaitu melakukannya kerana Allah. melakukannya kerana Allah suruh, Allah perintah, kalau inilah bertakhta di dada kita melakukannya berdasarkan perintah Allah dan merujuk kepada panduan-Nya.

Dalam hal perpaduan ini saya syorkan mana-mana pihak di kalangan mereka yang berwibawa mengadakan Muktamar Melayu Islam Pas/UMNO untuk mencari dan mendapatkan persetujuan bersama yang mana persetujuan itu akan membawa kesejahteraan di dunia dan di akhirat ( bukan dunia sahaja). dan dapatkan rumusan untuk menjadi panduan masing-masing parti kemudian buatlah pertemuan dan rombakan kedua-dua parti tersebut supaya dua parti tersebut dapat disatukan atas dasar dan perlembagaan yang membawa kesejahteraan yang dimaksudkan.

Mencari kebenaran sepatutnya mencontohi situasi mencari barang yang hilang kerana pihak yang terjumpa barang tersebut bukanlah pihak yang menang, oleh itu semua pihak rasa gembira dan lega, begitulah juga seharusnya mencari kebenaran, semua pihak perlu menerima dengan hati yang terbuka terhadap keputusan yang diterima walaupun terpaksa mengambil cara hidup pihak yang lain kerana itulah yang dicari dan akan diamal serta dihayati.

Hanya hematku sepintas lalu, masih banyak ruang untuk dikomen dan diketepi dan diabaikan.

Sekian. Allahu aklam.

No comments: