Friday, February 17, 2012

Dunia bukan matlamat.

Salam semua.

Manusia dan kehidupan adalah suatu perkara yang sememangnya tidak dapat dipisahkan, semua manusia yang hidup dan diberi nafas oleh Allah terpaksa melayani kehidupan, mereka melayani dan menguruskannya mengikut kepercayaan dan tanggapan masing-masing terhadap kehidupan yang sedang mereka hayati setiap saat dan setiap detik masa yang sentiasa bergerak. Manusia dijadikan di dalam keadaan jahil dan serba tidak mengetahui walau pun dibekalkan akal kerana akal tidak mampu memikirkan segala-segalanya, kemampuan akal terhad. Oleh itu Allah utuskan Rasul untuk membimbing mereka supaya mereka mengetahui apa yang mereka tidak mengetahui sebelumnya. Kehadiran Rasul tidak semua pula yang mempercayainya, malah ada yang menentang rasul-rasul, kehadiran Nabi Muhammad.s.a.w. juga ditentang oleh masyarakatnya pada peringkat awal kerasulannya, akhirnya barulah pengikutnya bertambah secara beransur-ansur setelah melalui berbagai halangan dan rintangan.

Allah mengutuskan rasul semata-mata untuk menerangkan hakikat hidup di dunia ini supaya manusia tidak sesat , justeru mereka akan mengetahui matlamat hidup yang sebenar. Kalau kita merujuk kepada ayat di bawah ini dapatlah kita rumuskan bahawa terdapat tiga perkara yang amat penting dinyatakan oleh Allah kepada hamba-Nya, perkara ini diwahyukan kepada Nabi Muhammad.s.a.w. supaya disampaikan kepada umatnya.

Firman Allah. S.W.T.

Maksudnya
[201]

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

( Surah al.Baqarah )

Terdapat Tiga Intisari penting di dalam ayat di atas iaitu DUNIA, AKHIRAT dan AZAB NERAKA.

Di dunia Allah memerintahkan hamba-Nya supaya mencari kebaikan/hasanah kerana kebaikan atau hasanah ini akan menjadi bekalan ke akhirat kerana dunia hanyalah wasilah atau perantaraan semata-mata atau disebutkan juga sebagai ladang untuk bercucuk tanam dengan pokok kebaikan dan kebajikan di mana buah-buah tersebut akan dipetik dan ambil di akhirat nanti, di sana nanti akan bersenang lenanglah mereka yang mengikuti jalan ini iaitu jalan yang diterangkan oleh Rasulullah.s.a.w. oleh itu dunia bukanlah matlamat hidup manusia, sebaliknya dunia hanyalah perantaraan untuk ke akhirat yang hasanah tetapi sekiranya mereka menyeleweng dan tidak mengikut panduan yang diberikan Rasulullah.s.a.w. hasilnya mereka akan diazab di dalam neraka di akhirat nanti. Demikianlah dua tempat yang dikhaskan untuk manusia di alam akhirat. iaitu syorga yang hasanah dan neraka yang suk dan azab yang amat pedih. Untuk mendapatkan hasanah/kebaikan di dunia dan akhirat manusia wajiblah berusaha dan menjalani hidup mengikut panduan yang telah disampaikan oleh Rasulullah.s..a.w, disamping berdoa mendaptkan kedua-dua kebaikan tersebut.

Kesimpulannya dunia ini hanya merupakan tempat persinggahan sementara untuk menyediakan bekalan yang akan dibawa ke akhirat, dunia bukan matlamat akhir, dunia juga merupakan perantaraan/wasilah dan matlamat dan lokasi akhir dalam kehidupan manusia ialah akhirat iaitu alam selepas berlakunya kiamat nanti.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: