Wednesday, February 1, 2012

Hari Pertama di Mina

Salam semua.

Kebetulan di Makkah kami tinggal di Hotel AL Syarouq J
alan Ibrahim Khalil kurang lebih 1 km jaraknya di antara Masjidil Haram dan hotel . Petang 8hb. Zulhijjah 1432 kami pun bertolak ke Padang Arafah, tiba di Arafah masih dalam waktu Asar, sesampai kami di persimpangan masuk ke khemah bakal Haji Malaysia, tiba-tiba simpang masuk ditutup dan pengawal jalan raya ( polis ) menyuruh pemandu bas kami memandu terus ke hadapan dan membuat pusing U, rupa-rupanya tempat pusingan U itu sangatlah jauh memakan masa lebih setengah jam baru sampai kembali di persimpangan tadi. Apabila kami sampai di simpang tersebut, peraturan berubah pula, semua bas boleh terus masuk dan tidak perlu lagi meneruskan perjalanan ke hadapan untuk membuat pusingan U seperti yang diarahkan kepada kami, oleh itu bas-bas yang datang kemudian sampai dahulu daripada kami, sepintas pandang menampakkan bahawa kumpulan petugas ini bekerja halai balai tanpa membuat perancangan terlebih dahulu, sikap seperti inilah yang menyebabkan jamaah Haji tercetus perasaan marah kepada petugas yang tidak tegas dan tiada perancangan awal serta kerja yang tidak proaktif.

Sesampai sahaja di khemah kami pun menunaikan solat Asar, kemudian mendapatkan lot tempat tinggal masing-masing, oleh sebab kami sampai agak terlewat, saya terpaksa menerima tempat berhampiran pintu khemah,namun demikian tiada apa-apa masalah yang timbul, rasa saya di Padang Arafah tiada masalah yang mengganggui, cuma gangguan suara dari Pembesar Suara ( PA Sistem), suara ceramah, selawat dan sebagainya yang terkadang mengganggui ibadat orang lain yang sunat dilakukan secara individu, mungkin
lebih baik penggunaan Pembesar Suara disederhanakan supaya tidak mengganggui mereka yang ingin membuat ibadat secara individu khasnya yang berbentuk menajat.

Selepas selesai kami berada di Padang Arafah mengikut tuntutan-Nya, kami bertolak pula ke Muzdalifah, selepas solat Maghrib di Padang Arafah kami bertolak pula ke Muzdalifah, cara naik bas untuk ke Muzdalifah ini agak mengecewakan kerana tiada peraturan dan tertib yang sepatutnya, Setelah sampai di Muzdalifah kami pun pergi ke tempat yang telah dikhaskan yang berupa petak-petak hamparan untuk duduk dan melelapkan mata sebelum bertolak pula ke Mina, setelah kurang lebih dua jam kami pun naik bas buat kali kedua untuk ke Mina, perjalanannya tidaklah mengambil masa yang lama, sesampai kami di Mina sekali lagi kami m
engambil tempat yang telah ditetapkan, di sini keadaannya agak sesak, baring bersentuhan dan berhimpet-himpet di antara satu sama lain, walaupun fizikal berhimpet-himpet ketika baring dan tidur , keadaan itu tidak pula menimbulkan masalah kerana kumpulan kami agak bersefahaman di antara satu sama lain dan sangat mesra serta hidup bantu-membantu.

Hari pertama Makan tengahari jam 4.30 petang.
Semasa makan tengah hari kami tertunggu-tunggu makanan, ada jamaah yang keluar pergi mengadu tetapi apabila mereka balik hasilnya petugas meminta mereka menunggu, tunggu di khemah itulah jawapannya, kami tunggu dan tunggu tanpa seorang pun petugas menziarahi untuk memberi penjelasan sesuatu supaya kami tidak tertunggu-tunggu, akhirnya kesabaran yang diharuskan atau disuruh itu terhakis kerana terfikir di hati sabar perlu ada hadnya dan tidak sampai hilang kualiti sebagai orang mukmin.

Selepas jam 4.00 petang saya menggugurkan sifat sabar itu dan bertindak keluar dari khemah dan menemui salah seorang petugas dan menghuraikan kelemahan pengurusan di pihak mereka yang mengendalikan makanan dan didengar oleh beberapa jamaah Haji yang lain, pada saya kelewatan jadual makan sehingga beberapa jam itu amat mendukacitakan, saya lihat ada dua faktor kelemahan yang berlaku pada hari pertama iaitu kelambatan kerja-kerja masakan dan ditambah pula dengan cara pengedaran yang acuh tak acuh sahaja oleh budak-budak suruhan tanpa pengawasan mereka yang lebih dewasa dan matang.


Hasilnya beberapa minit kemudian semua makanan sampai kepada ahli jamaah yang belum menerima makanan tersebut dan hari-hari berikut tidak lagi berlaku kelambatan tersebut, malah apabila makanan masuk ke khemah akan dipastikan semua jamaah dapat habuannya masing-masing kecuali mereka yang tidak memerlukan makanan tersebut.

Sekian...Wallahu aklam.

No comments: