Tuesday, February 7, 2012

Balai Lintang dan bangku tempat bersembang dan mengumpat.

Salam semua.

Artikel ini sengaja ditulis untuk renungan bersama dan tulisan ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sendiri. Di masjid atau di surau pada malam-malam yang tiada aktiviti atau kuliah, sebaik sahaja lepas menunaikan solat Maghrib mereka akan berkumpul di satu tempat dan bersembang dan ada juga yang mengambil al.Quran atau kitab yang berada di rak yang disediakan serta membacanya sementara menunggu waktu Isyak. Mereka ini terselamatlah daripada bersembang kosong dan mengumpat. Sebahagian yang lain pulang ke rumah dan kembali semula apabila masuk waktu Isyak iaitu bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid atau surau.

Merujuk kepada perbuatan bersembang di dalam masjid atau surau, sifat bersembang di mana-mana pun susah hendak dielakkan daripada mengumpat orang lain atau pihak yang lain, tetapi, kalau perbuatan ini berlaku di dalam rumah ibadat terutamanya masjid tentulah banyak celanya, sebab itu sesetengah jamaah akan keluar dari masjid atau surau menuju ke bangku atau tempat santai yang sesuai di lokasi berdekatan untuk bersembang, terdapat juga masjid atau surau yang menyediakan bangku untuk jamaah bersantai, inilah yang dimaksudkan bangku tempat mengumpat, ahli jamaah juga yang menamakannya demikian. Mereka sembang macam-macam di bangku ini dari hal peristiwa yang berlaku di kampung sehinggalah hal-hal politik negara, tidak ketinggalan umpat mengumpat diselit bersama sebagai asam garamnya.Sebenarnya di mana-mana pun perbuatan mengumpat itu adalah dilarang oleh ajaran Islam dan haram hukumnya.

Sekiranya ada tanah lapang berhampiran masjid atau surau memang elok dan patut disediakan bangku bersantai. Pada suatu ketika dahulu di masjid-masjid disediakan satu bangunan yang berasingan dengan masjid yang dikenali sebagai Balai Lintang, tempat ini disediakan untuk kaum wanita yang sedang haid ( mereka ini dilarang berhenti di dalam masjid ) oleh itu inilah tempat mereka bersantai atau duduk mendengar kuliah atau bacaan kitab, di sini disediakan pembesar suara ( PA Sistem), oleh itu suara syarahan kuliah dan bacaan kitab dipancarkan ke sini. Kini amalan ini agak diabaikan.


Kalau tidak diwujudkan Balai Lintang ini kaum wanita yang hendak mengikuti kuliah secara bersiri di masjid akan terbantut kuliahnya kerana terdapat hari-hari yang mereka tidak dapat hadir disebabkan halangan atau larangan berada di dalam masjid ketika mereka kedatangan haid.

Sekian... wallahu aklam.

No comments: