Tuesday, September 8, 2009

Sifat orang yang bertaubat.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Bertaubat adalah salah satu cara memohon supaya dosa seseorang itu diampunkan Allah. Perbuatan bertaubat itu bukanlah ditujukan kepada mereka yang melakukan dosa besar sahaja tetapi sebaliknya digalakkan dan disuruh semua orang Islam bertaubat kepada Allah setiap hari.

Syarat utama taubat yang diterima Allah ialah adanya perasaan insaf dan menyesal terhadap kesalahan yang telah kita lakukan dan tidak akan mengulanginya lagi perbuatan jahat itu oleh mereka yang bertaubat.

Kita tidak dapat menghitung atau menimbang sebanyak mana atau seberat mana dosa yang telah kita lakukan kerana perkara dosa dan pahala ini sifatnya sangat maknawi atau absrak dan Allah sahaja yang mengetahui hakikatnya. kita hanya dapat mengesannya secara rambang melalui ilmu pengetahuan yang telah dipelajari melalui ilmu Fiqah dan ilmu Aqidah ( Tauhid) dengan mengimbas kembali perlakuan dan perbuatan kita yang telah lalu dan menilai sejauh mana kita telah melanggar larangan Allah dan meninggalkan suruhan-Nya.


Saya tertarik dengan isu Kartika Sari Dewi Shukarno, 32 yang telah dijatuhkan hukuman sebat atas kesalahan minum arak mengikut undang-undang Islam di Malaysia dan hukuman itu ditangguhkan kerana menghormati bulan Ramadan, kemudian diikuti pula dengan alasan ketiadaan Tukang Sebat untuk Undang-Undang Syariah. ( belum siap siaga ).

Sedih khenduri sudah dibuat pengantin pula tiada. saya tidak berminat untuk memberi ulasan mengenai perkara ini, kita serah sahaja kepada mereka yang telahpun bergelar pemimpin yang telahpun berada ditampuk kuasa yang saban hari mengakui mereka bertanggungjawab menjaga Islam dan berbagai peraturan telah diwujudkan untuk menjaga Islam. Apakah dalam hal ini apabila terantuk baru hendak tengadah.


Nukilan saya ini sebenarnya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kartika kerana berlaku jujur terhadap apa yang telah berlaku ke atas dirinya, beliau memperlihatkan keinsafan dan keikhlasannya, sifatnya itu mampu memberi contoh teladan kepada kita semua dan menunjukkan situasi orang bertaubat, orang bertaubat nasuha sanggup menghadapi denda dan hukum Allah di dunia kerana dirinya telah merasai tidak sanggup menghadapi siksaan Allah di akhirat nanti.

Demikianlah mereka yang telah insaf akan merasai takut kepada Allah melebihi takut kepada makhluk. Dalam hati mereka meyakini bahawa Allah itu Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan Allah memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu mereka akan mentaati dan mematuhi-Nya
.




Merujuk kepada apa yang telah berlaku kepada Kartika sebelum ini mungkin sesuatu yang tidak diduga hasil daripada kelalaian atau kejahilan diri sendiri. Apa yang telah berlaku itu telahpun berlaku, saya tidak mahu menyentuh perkara tersebut, saya cuma tertarik kepada sikapnya selepas itu amat positif sekali dan jarang kita temui orang yang seperti ini, walaupun dibuka jalan untuk merayu dan sebagainya beliau masih mahu hukuman itu diteruskan dan dilaksanakan ke atasnya kerana beliau ingin menebus atau ingin dosanya diampunkan Allah kerana berasa sangat bersalah di atas perbuatannya yang telah lalu.

Kekadang saya bertanya pada diri sendiri, sanggupkah saya berbuat demikian, saya sendiri membisu tanpa jawapan, kalau dikatakan sanggup mungkin apabila tiba masanya nanti ditakuti lain pula sikapnya, ( semoga dijauhi Allah daripada berlaku sedemikian ).

Bagi Kartika ianya telah berlaku dan sedang berlaku dan masih belum selesai. Beliau ingin menjalani hukuman itu bagi menghapuskan dosanya, beliau menghormati hukum yang telah ditetapkan Allah dan mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tersebut mengikut kuasa yang ada padanya, walaupun pelaksanaan hukuman tersebut masih belum mencapai seratus peratus seperti yang tersebut di dalam al.Quran dan al.Hadis. Namun demikian statusnya sudah boleh diakui, ibarat kalau tiada rotan akarpun berguna. Kalau tidak boleh melaksanakan kesemuanya tetapi tidak pula dibuang semuanya. Inipun sudah cukup baik walaupun bukan yang terbaik.


Saya berdoa agar Kartika mendapat pertolongan Allah berterusan dan percaya bahawa apa yang berlaku terhadap Kartika ini ada hikmah di sebaliknya dan insya Allah kita akan mendapt faedahnya nanti. Sekarang inipun masyarakat Islam telah mulai menyelak buku-buku rujukan dan melayari internet untuk mengetahui lebih mendalam tentang Undang-Undang Syariah. Sekurang-kurangnya sikap positif Kartika itu secara tidak langsung telah memberi kesan baik dan positif terhadap masyarakat Islam dan masyarakat umum. Di sana terdapat unsur-unsur dakwah Islamiyah dan peristiwa itu juga membawa bersamanya sesuatu yang baik dan mahmudah.

Bagi mereka yang sentiasa berfikir secara kreatif dan kritis untuk kemajuan Islam, Sudah tentu terasa sesuatu yang mengusik jiwa mereka bersabit dengan peristiwa ini khususnya mengenai pelaksanaan hukum yang telah dijatuhkan itu.

Sekian hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Wassalam.


2 comments:

Mak Su said...

kita ni selagi idup, disarankan bertaubat selalu, kan

Leenoh said...

Salam Mak Su.

Memang betul kata Mak Su tu.Kan kita juga selalu buat dosa.
Semoga Allah ampunkan dosa kita .