Sunday, October 12, 2008

Kata dulang paku serpih, Kata orang kita yang lebih.



Orang Melayu kaya dengan pepatah, simpulan bahasa dan perumpamaan yang boleh menyentuh hati kita apabila ianya digunakan untuk nasihat atau disisipkan di dalam cerita atau sebagainya. Contohnya; Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Umpama tangkai jering. Anak di pangkuan diletakkan, kera di hutan disusui. Umpama mencurahkan air ke atas daun keladi. Seperti pahat dengan penukul . Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan dan banyak lagi.

Merujuk kepada pepatah, " Kata dulang paku serpih, Kata orang kita yang lebih,". Kata-kata ini mengingatkan diri kita supaya tidak terlanjur bila membicarakan sesuatu atau memberi teguran kerana ianya membawa maksud seseorang yang suka mendedahkan atau melarang seseorang daripada melakukan keburukan sedangkan dirinya sendiri berkelakuan serupa atau lebih buruk lagi. Bak kata pepatah lagi, kokok berderai-derai, punggung bergelumiang najis. Berlagak memimpin dan membantu orang lain tetapi diri sendiri dipenuhi dengan keburukan dan kelemahan atau lebih teruk lagi. Adakah pada masa sekarang perkara seperti ini masih berlaku dalam masyarakat kita atau keadaannya semakin teruk. Di mana silapnya. ketika masyarakat semakin ramai berilmu, berpangkat, berharta dan berkuasa, adakah wajar perkara ini berlaku bertambah rancak dan bertambah subur.


Pepatah ini mengingatkan kita supaya orang yang sememangnya terlibat di dalam sesuatu keburukan, jangan melibatkan diri dalam mencegah perbuatan tersebut kerana tindakan itu tidak berkesan dan mungkin juga masyarakat akan menuding jari balik kepada kita. Rangkaikata yang indah ini terkeluar dari bibir mulut orang Melayu tentulah berdasarkan pengalaman dan peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Adakah pada zaman IT ini perkara ini masih berlaku dan berterusan. Namun demikian bukan bermakna kita terpaksa menunggu sehingga diri kita bersih dan suci seratus peratus baru hendak mencegah kemungkaran dan keburukan, tidak mungkin manusia ini maksum, tiada siapa yang tidak melakukan kesalahan dan kesilapan, di mana bumi yang tidak ditimpa hujan.

Cuba fikirkan.......kalau....,
Perompak menjerit, perompak..... perompak..... perompak ! ! ! sambil menunjukkan kepada orang lain.
Dan begitu juga pencuri menjerit, pencuri.... pencuri... pencuri ! ! ! .......
Pengamal rasuah pula telibat dalam gagasan pencegah rasuah tentulah akan berlaku harapkan pagar, pagar makan padi........... Dulu cerita begini hanya boleh ditonton di dalam filem Hindustan sahaja. sekarang entahlah kalau telah berlaku di luar sana. Tetapi pernah terbaca di dalam akhbar tempatan mengenai cerita mangsa ragut dimangsakan dua kali oleh peragut, apabila peragut menunjukkan kepada mangsanya dan menjerit.. peragut,... peragut, .... peragut, sebaik sahaja mangsa tersebut diragutnya, akhirnya mangsa ragut dibelasah orang ramai yang berada di situ. Sudahlah mangsa kehilangan wang, ditambah lagi dengan kesakitan yang tidak sepatutnya berlaku. Perancangan seperti ini bukanlah sesuatu yang baru kerana pernah berlaku ke atas Nabi Yusof pada suatu ketika dahulu.

Terdapat di kalangan manusia di dunia ini mengambil contoh yang tidak baik dan diimplikasikan di dalam kehidupan mereka sehingga masyarakat turut menjadi keliru dan rosak manakala kerosakan tersebut sukar hendak diperbaiki lagi. Sekali lagi keinginan untuk hidup di dalam kehidupan yang bersih dan suci, berakhir dengan kegagalan dan kemusnahan. Itulah realiti kehidupan di dunia. sesiapa yang mengambil sunnah sebagai pegangan hidupnya mereka akan terlepas daripada perangkap tersebut. sesiapa yang lalai dan lagha akan terjerumus ke dalam perangkap kemusnahan. Kejahatan sering memperlihatkan kepada kita kemenangan dan kecemerlangan tetapi ianya hanya buat sementara sahaja. Kebenaran dan kebaikan kadang-kadang lambat tertunjul tetapi ianya mempunyai ketahanan yang kekal abadi. Biar lambat asal selamat.

(Kalau hendak ketahui kisah yang lebih besar dan sarat dengan pengajaran bacalah kisah dalam Surah Yusof.)

Keadaan seperti di atas kita perlu berhati-hati.Nampaknya kita perlu sering mengamalkan solat sunat istikhorah supaya tanggapan kita tidak tersasar dan meningkatkan lagi doa harian kita kerana penilaian yang diberi oleh akal kadang-kadang menyimpang jauh dari kebenaran dan terbabas teruk, untuk ini rasanya doa yang paling sesuai ialah doa seperti berikut;
" Ya Allah kami pohonkan iman yang kukuh, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat, amalan yang solih, yakin pada yang benar, ........ " wallahu aklam


Firman Allah bermaksud,
" Adakah patut kamu menyuruh manusia berbuat kebaikan dan kamu lupa dirimu sendiri, sedangkan kamu membaca kitab. Tidakkah kamu memikirkan ?".
surah al.Baqarah (44)

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Islam menyuruh umatnya berbuat baik tetapi hendaklah mengikut peraturan dan panduan yang telah ditetapkan di dalam al.Quran dan as.Sunnah dan Islam melarang kita melakukan kejahatan walau pun sebesar zarah atau sebesar kuman sekali pun, sekiranya terlanjur melakukannya walau pun sedikit tetap akan dikira dosa.

Firman Allah bermaksud;
Barangsiapa mengerjakan kebaikan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kebaikan itu. (7)
Barangsiapa mengerjakan kejahatan, meskipun seberat zarah, akan dilihatnya (balasan) kejahatan itu.


Umpama tangkai jering.
Jering adalah sejenis pokok yang mana buahnya dimakan sebagai ulaman, selain daripada itu jering juga dikatakan boleh menyembuhkan penyakit kencing manis, karang batu dan melawaskan buang air kecil . Dalam satu tangkai mengandungi banyaklah buahnya. Kalau kita mengharapkan buahnya jatuh dengan sendiri pasti kita akan kecewa kerana tangkainya sangat kuat melekat pada dahannya. Sebab itulah agaknya orang yang kedekut diumpamakan seperti tangkai jering.

Sesungguhnya Islam melarang umatnya kedekut atau bakhil, sebaliknya Islam menggalakkan orang berharta atau kaya supaya bersedekah, Sedekah ini pula terbahagi kepada dua jenis iaitu sedekah wajib dan sedekah sunat.
Sedekah wajib ialah zakat harta dan zakat fitrah manakala sedekah sunat ialah sedekah yang dikeluarkan secara sukarela yang tidak dikaitkan dengan apa-apa tuntutan wajib. Dilakukan semata-mata ingin mendapatkan pahala atau keredaan Allah.


Sabda Rasulullah.s.a.w. yang bermaksud;
" Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah "

Mafhumnya;
Orang yang memberi sedekah adalah lebih mulia berbanding dengan orang yang menerimanya.

Renungilah warisan kita ini.

Wassalam.

Tuesday, October 7, 2008

Selamat Selesai Puasa Syawal


Diucapkan selamat selesai berpuasa Syawal dan berhari raya pada 8hb.Syawal bagi mereka yang memulakan berpuasa pada 2hb.Syawal dan bagi mereka yang mula lewat selamat meneruskan puasa dan bagi mereka yang belum memulakannya lagi masa untuk berpuasa sunat Syawal belum terlewat, pilihlah mana-mana 6 hari yang masih ada lagi.

Bagi mereka yang mempunyai kekuatan rohani akan meneruskan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis pada bulan-bulan seterusnya atau pada puasa sunat yang lain. Inilah amalan yang disuruh oleh Rasulullah.s.a.w. ianya sarat dengan kebaikan dan barakah dan jauh sekali daripada berlaku pembaziran yang sememangnya dicegah oleh Islam.

Di tempat tertentu Hari Raya Fitrah ( Aidilfitri) diadakan sambutan melewati sebulan. Acara selawat ke atas Nabi Muhammad.s.a.w, dan jamuan diadakan berterusan selama masa tersebut dengan bertandang ke rumah-rumah secara bergilir atau berjadual. Tempoh masa begitu lama itu adalah rekaan dan ciptaan masyarakat tersebut. Apabila ianya menjadi adat yang diikuti lama kelamaan akan hilang suruhan atau perintah asal yang disebutkan di dalam al.Quran dan al.Hadis. Sekarang ramai yang memilih mengadakan jamuan hari raya dan berselawat daripada berpuasa sunat, walau pun puasa sunat Syawal itu sunat muakkad ( dituntut).

Adakah kita lebih mematuhi adat daripada perintah Allah dan RasulNya atau syariat Islam. Sama-samalah kita fikirkan dengan fikiran yang waras tanpa diselubungi perasaan emosi dan fanatik. Bila masa lapang eloklah sekali sekala merujuk kepada kitab-kitab fikah atau kitab-kitab Hadis tentang Puasa Ramadan, Pengisian Ramadan, Cara berhari raya, Puasa Sunat Syawal dan lain-lain. Dengan itu dapatlah kita buang yang keruh ambil yang jernih, singkir yang maksiat ambil yang makruf. Tindakan yang bijak ini berupaya mewujudkan individu, keluarga dan masyarakat hidup di dalam kehidupan yang bersih dan suci.

Itulah wawasan dunia dan akhirat.

Semoga sihat dan berjaya. Insya Allah.

Sekian.Wallahu aklam. Wassalam.

Saturday, October 4, 2008

Adat atau kepercayaan yang menjejaskan aqidah Islam.

Assalamualaikum

Adat atau kepercayaan yang menjejaskan syahadah atau aqidah Islam.
Saya ingin memaparkan mengenai adat dan kepercayaan karut yang menjejas, mencemar atau merosakkan syahadah ( adat syirik ) dan adat yang merugikan masyarakat muslim . Di mana adat-adat tersebut telah atau masih diamalkan pada waktu ini di kampung-kampung atau di bandar-bandar di Malaysia atau di mana sahaja yang melibatkan orang Islam.

Syahadah ialah pengakuan seorang muslim atau muslimah dengan Allah Taala, iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ini bermakna kita telah mengaku dan bersetuju di hati bahawa tiada Tuhan atau kuasa yang lain yang setaraf dengan kuasa Allah. Sekiranya di hati kita masih mempercayai ada kuasa lain selain Allah dan kuasa itu dapat memberi pertolongan atau kemudaratan kepada kehidupan kita. Inilah yang dimaksudkan dengan kepercayaan yang karut atau khurafat yang menjejas, mencemar dan merosakkan syahadah atau aqidah.
Allah sifatNya Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Esa, Maha Mendengar dan mempumyai sifat-sifat kesempurnaan yang lain. Sekiranya tidak patuh lagi dengan pengakuan tersebut dengan mempercayai ada kuasa lain selain Allah. Di sini menggambarkan seseorang itu telah menyengutukan Allah dengan makhluk, kepercayaan seperti ini adalah syirik dengan Allah kerana terdapat unsur tidak mempercayai bahawa Allah itu Maha Esa dan Maha Berkuasa.

Syirik ialah menyengutukan Allah dengan makhluk, situasi seseorang yang mempercayai kuasa Allah dan dalam waktu yang sama dia juga mempercayai kuasa lain seperti mempercayai semangat padi, hantu syaitan atau berhala yang mana makhluk tersebut kononnya mempunyai kuasa memberi kebaikan dan kemudaratan. Syirik sama seperti orang kafir, cuma situasinya agak berbeza. Dosa kerana syirik atau kafir kepada Allah adalah dosa yang tidak diampunkan dan dosa yang amat besar di sisi Allah.

( Paparan ini memerlukan bantuan dan ihsan anda. diharap anda bermurah hati menghantarkan cerita mengenai adat-adat yang anda ketahui atau berpengalaman mengenainya ke ruangan Komen ( comments ) yang disediakan di bawah ini dan sertakan ulasan ringkas mengenainya. Sila ikut format ini, (jika bersetuju) sebagai contoh; )





Adat yang terdapat di kalangan masyarakat Melayu;


1. Lenggang Perut / Kirim Perut:
Ulasan.
Adat ini dilaksanakan dengan menggunakan berbagai peralatan seperti benang mentah, minyak urut, buah kelapa, lilin, wang pengkeras dan lain-lain. Adat ini dibuat terhadap orang perempuan hamil genap 7 bulan . Di antara perkara yang dilakukan ialah mengurut dan menggolikkan buah kelapa di atas perut dengan peraturannya yang tertentu, dilaksanakan oleh bidan atau orang yang berpengalaman mengenainya. Jika tidak dilakukan kononnya ditakuti ibu susah melahirkan anak atau ibu dan anak tidak selamat.

Kepercayaan seperti ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana pengamalnya tidak percaya sepenuhnya kepada kuasa Allah, malah mereka mempercayai ada kuasa lain yang boleh memudaratkan mereka, kepercayaan seperti ini adalah syirik dengan Allah.

2. Mandi Tian:
Ulasan.
Mandi Tian ini didapati hampir sama seperti Lenggang Perut cuma peralatan dan jampi serapah sahaja yang mungkin berlainan. Ini berlaku mungkin diamalkan oleh suku kaum yang berlainan dan daerah juga berlainan. Tetapi asas kepercayaanya masih sama.

Sekiranya mempercayai bahawa kemudaratan akan berlaku jika tidak melaksanakannya, hukumnya salah di sisi Islam dan boleh membawa syirik. (semoga dijauhkan Allah)

3. Mandi Limau Pengantin:
Ulasan.
Mandi Limau ini dilakukan ke atas pengantin , di mana air limau purut dan sintok dan lain-lain bahan khas dicampur dan dimandikan pengantin bertujuan Tolak Bala atau Buang Geruh.

Adat ini adalah salah di sisi Islam kerana Allah sahaja yang berkuasa menolak bala.
Tetapi
tidak menjadi kesalahan sekiranya mandi itu untuk tujuan kesihatan tanpa jampi serapah tertentu. Tidak dinafikan mandi limau mampu mengubah bau badan dan memberi kesegaran.

4. Semangat Padi:
Ulasan.
Dalam ingatan: Pada tahun antara 50an hingga 60an di kawasan penanaman padi di negeri Kedah, di mana pada masa itu sawah diusahakan dengan tulang empat kerat Pak Tani tua dan muda dengan menggunakan kerbau yang terlatih untuk memajak ( mengala ) sawah mereka. Kerja menanam dan menuai padi petani mengerjakannya sendiri tanpa pertolongan binatang tersebut tadi, cuma apabila hendak memindahkan hasil padi ke sesuatu tempat mereka menggunakan kerbau semula bagi menarik padi yang telah diisi di dalam guni dengan menggunakan alat yang dikenali oleh Pak Tani Kedah sebagai anur, selain daripada itu mereka juga menggunakan basikal untuk membawa padi daripada suatu tempat ke tempat yang lain seperti ke kedai untuk dijual atau ke jelapang untuk disimpan.
Pada zaman tersebut petani sangat patuh kepada adat. Dari saat memulakan kerja memajak atau mengala sawah, menanam, menuai dan selepas menuai semuanya terikat dengan adat atau istiadat. Tanam padi dimulakan dengan menanam semangat padi, selepas beberapa hari barulah boleh meneruskan kerja menanam sehingga selesai, apabila semangat padi ini hampir masak bahagian ini disimpul atau diikat dan dibiarkan sehingga masak, setelah masak bahagian tersebut dituai atau dipotong dan disimpan di dalam jelapang sebagai semangat padi. Kalau tidak lakukan perkara tersebut kononnya padi tidak menjadi atau tidak subur.
( Zaman sekarang padi ditanam dua kali setahun dengan menggunakan berbagai alat teknologi moden seperti mesin tuai, traktor dan seumpamanya dan semangat padi ini tidak diamalkan lagi, mereka menggantikannya dengan kenduri kesyukuran dan doa selamat yang selari dengan ajaran Islam )

Mempercayai bahawa semangat padi boleh memberi kesuburan atau kemudaratan kepada tanaman padi atau dapat meningkat hasil, adalah kepercayaan karut dan salah di sisi Islam serta boleh membawa kepada syirik.

5. Khenduri Sudah Padi:

Ulasan.
Selain daripada Semangat Padi Pak Tani juga mengadakan Khenduri Sudah Padi, kenduri ini diadakan setelah selesai menuai padi. Majlis ini diadakan dengan niat yang bercampur aduk, dikatakan begitu kerana pengisiannya juga bercampur aduk, selain daripada hidangan biasa di sana terdapat sebuah dulang ( talam ) yang mana di dalamnya diisi dengan bertih, susu kerbau, kemiyan, pulut kuning, gulai ayam dan tidak ketinggalan majlis ini juga dimulakan dengan membaca doa.
Majlis ini nampaknya berteraskan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Pulut kuning dan iringannya itu adalah seperti menjamu hantu atau jembalang supaya tidak mengganggu kehidupan mereka.

( Sekarang adat ini telah ditinggalkan setelah sebahagian besar daripada mereka mendalami aqidah Islam )

Di sisi hukum Islam, kepercayaan atau adat kenduri sudah padi seperti ini boleh menjejaskan aqidah atau merosakkan syahadah.

6. Mandi Bunga:
Ulasan.
Mandi Bunga mempunyai berbagai tujuan mungkin untuk kesihatan dan sebagainya. Sekiranya mandi itu bertujuan membuang geruh atau tolak bala, maka hukumnya boleh membawa kepada syirik kerana tidak memohon kesejahteraan daripada Allah, sebaliknya memohon daripada kuasa lain, iaitu sesama makhluk.
Mandi bunga kerana rawatan kesihatan secara aromaterapi atau pun lain-lain yang menggunakan khasiat bunya bagi menyegar dan menyihatkan badan tidak termasuk di dalam kepercayaan seperti di atas, ini merupakan rawatan yang diharus atau dibolehkan.

7. Mandi Safar:
Ulasan.
Adat mandi safar ini pada masa yang lampau disambut secara pesta oleh orang Melayu terutama yang di tinggal di tepi pantai, adat ini berupa puja pantai, diadakan pada setiap bulan safar, biasanya pada hari Rabu minggu terakhir bulan tersebut. Bila tiba masanya maka beramai-ramailah mereka turun ke pantai denag segala peralatannya. Pesta ini diadakan kononnya bertujuan untuk buang dosa dan tolak bala.
Hukumnya syirik.

8. Kepercayaan karut/khurafat:
Ulasan.
Adat dan kepercayaan tersebut terdapat juga yang diamalkan mengikut keluarga masing-masing, ( Tok nenek masing-masing ), kumpulan ini tidak berjenama seperti disebutkan di atas, cuma disebut sebagai meneruskan amalan tok Nenek mereka masing-masing, kepercayaan ini juga dianuti oleh orang Melayu daripada berbagai status, kaya, miskin, terpelajar, berpangkat dan lain-lain. Kepercayaan ini kadang-kadang diamalkan ketika majlis perkahwinan, kenduri kendara, kematian, mengandung, bersalin dan seumpamanya.
Tegasnya, sekiranya adat atau kepercayaan tersebut terpesong daripada memperhambakan diri kepada Allah dengan memohon perlindungan atau memohon menjauhkan bala atau seumpamanya di mana permohonan itu ditujukan kepada selain daripada Allah. Perbuatan tersebut adalah berdosa besar dan syirik.

9. Malam Tujuh Likur/Pesta Pelita:
Ulasan.
Adat memasang pelita ( pesta pelita ) pada malam tujuh likur dalam bulan Ramadan, bertujuan menunjuk jalan kepada roh nenek moyang yang pulang menjelang hari raya adalah amalan masyarakat Melayu sebelum Islam. Adat ini dikatakan berasal daripada agama Hindu. Jika ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya tidak mungkin terdapat di dalam kitab-kitab Fiqah kerana ia bukan ajaran Islam.
Sekiranya kita memasang pelita pada malam tersebut bertujuan seperti yang dinyatakan di atas
bermakna kita telah melanggar dan menyeleweng daripada suruhan yang sepatutnya kita lakukan pada minggu-minggu akhir bulan Ramadan . Tidak salah memasang pelita untuk menceriakan suasana kampung halaman tetapi ianya tiada kaitan dengan kepercayaan terhadap roh.
Marilah kita sama-sama menghayati bersungguh-sungguh suruhan Allah dan tinggalkan laranganNya supaya diikuti oleh anak cucu kita pada masa akan datang dengan ikutan yang betul dan benar seperti terkandung di dalam ajaran Islam. Wallahu aklam.


Renungi dalil Naqli yang memperjelaskan hukum mengenai perkara tersebut:

(a) Firman Allah bermaksud:
" Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, dan Dia menundukkan matahari dan bulan ( untuk kepentinganmu ), masing-masing berlari ( beredar ), sehingga waktu yang ditentukan. Itulah Allah, Tuhanmu, bagiNya semua kerajaan, orang-orang ( berhala ) yang kamu sembah selain daripada Allah, tidak mempunyai sebesar kulit tipis pun ( sedikit pun )". Surah Faathir, (13)
" Jika mereka kamu seru ( panggil ), mereka tidak mendengar seruanmu, kalau mereka mendengarnya, mereka tidak memperkenankannya. Pada hari kiamat mereka akan mengingkari kesyirikan mereka itu. Tiada yang akan memberitakan kepada engkau seperti ( Allah ) yang Maha Mengetahuinya". Surah Faathir, (14)
" Wahai manusia , kamu fakir ( berkehendak ) kepada Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji". Surah Faathir, (15)
" Jika dikehendakiNya nescaya dimusnahkanNya kamu didatangkanNya makhluk yang baru"  
Surah Faathir, (16)

(b) Maksud firman Allah:
" Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada rasul, mereka berkata: Cukuplah bagi kami apa yang kami dapat dari bapa-bapa kami. Meski pun bapa-bapa mereka itu tidak mengetahui sesuatu apa pun dan tidak pula mendapat petunjuk".  
Surah Al. Maidah, (104)


Mafhum daripada Sabda Rasulullah.s.a.w:

(a) Maksud sabda Rasulullah.s.a.w.
" Barang siapa datang ke tempat tukang tenung kemudian mempercayai apa yang dikatakan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.s.a.w."
( Riwayat Bazzar dengan sanad yang baik dan kuat)

(b) Maksud sabda Rasulullah.s.a.w.
" Barang siapa datang ke tempat juru ramal ( tukang tenung ), kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari".
( Riwayat Muslim ).




Wassalam. Allah Maha Mengetahui

Thursday, October 2, 2008

Selamat Berpuasa Sunat Syawal.

Salam Semua.

Puasa Sunat Syawal.
Hari ini adalah 2hb.Syawal 1429H bersamaan 2hb.Okt.2008M, iaitu hari pertama bagi mereka yang mengambil kesempatan berpuasa sunat, orang yang memulakan puasa pada hari ini sehingga 7hb.Syawal adalah mereka yang berhajat mendapatkan fadzilat paling afdal.

Boleh juga berpuasa bila-bila masa dalam bulan ini sebanyak 6 hari kecuali pada 1hb.Syawal kerana pada hari tersebut diharamkan puasa dan diwajibkan berhari raya. Begitulah amalan pada setiap tahun oleh kaum muslimin dan muslimat.

Puasa sunat dan puasa wajib tiada perbezaan dari segi pelaksanaannya, iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehingga terbenam matahari tetapi puasa sunat diberi keringanan tentang tempoh masa untuk berniat iaitu mulai terbenam matahari sehingga sebelum gelincir matahari ke barat selagi belum melakukan perkara yang membatalkan puasa. Ini bermakna waktu mula berpuasa sama seperti puasa wajib iaitu setelah terbit fajar siddik atau masuk waktu subuh.

orang yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan puasa sunat Syawal, mereka ini dianggap berpuasa sepanjang tahun, sama seperti orang yang berpuasa sunat 3 hari setiap bulan pada bulan-bulan yang lain, begitulah tingginya ganjaran yang dikurniakan oleh Allah.

Hari ini ( 2hb.Syawal ) bermakna Hari raya telah tamat pada hari semalam, yakni hari yang diharamkan berpuasa dan disunatkan pula pada 2hb.Syawal berpuasa sunat manakala takbir Hari Raya Aidilfitri berakhir sebaik sahaja mendirikan solat sunat Aidilfitri semalam ( 1hb.Syawal). Untuk meneruskan agenda hari raya sebagai sempena sambutan Hari Raya tidak menjadi kesalahan tetapi pengisiannya hendaklah disekitar ibadat umum yang selalu kita lakukan seperti ziarah menziarahi, mengadakan sedikit jamuan untuk tetamu, mengeratkan hubungan silaturrahim dan seumpamanya kerana aktiviti itu sememangnya telah lumrah kita lakukan. Walau apa pun perkara yang dituntut supaya kita lakukan dalam bulan Syawal ini adalah berpuasa sunat. Wallahu Aklam.

Selamat Berpuasa Sunat.


Sekian.Wassalam.

Wednesday, October 1, 2008

Siaraya Masjid

Pada kesempatan ini saya ingin menyentuh tentang siaraya ( Pembesar Suara ) di masjid. Pagi tadi (1hb. Syawal ) seperti kaum muslimin dan muslimat yang lain juga mengunjungi masjid untuk menyempurnakan salah satu suruhan Allah mengenai ibadat Aidilfitri dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri,

Pada pagi ini saya ingin menceritakan pengalaman saya di beberapa masjid semasa solat dan mendengar ceramah atau semasa khatib membaca khutbah. Khasnya mengenai siaraya, diringkas cerita saya mulakan begini . Sebagai satu contoh berlaku disalah satu masjid pada suatu hari raya. Ketika takbir, kedengaran laungannya bergema dan mengharukan setiap ahli jamaah yang prihatin dan khusyuk serta kagum dengan kebesaran Allh. Keterangan atau peringatan yang disampaikan oleh wakil Jawatankuasa Masjid didengari dengan baik dan jelas begitu juga suara imam ketika bersolat.

Tetapi, Apabila khatib mula berkhutbah suaranya mulai tidak jelas, bunyinya kuat tetapi perkataannya tidak terang dan tidak dapat difahami, ini berlaku daripada awal sehinggalah akhir khutbah. Kedudukan saya ketika itu berada di saf pertama dan jarak dengan khatib yang berada di atas mimbar lebih kurang 10 atau 15 meter sahaja. Sudah tentulah saya tidak mengetahui keadaan mereka yang berada di tengah atau di bahagian belakang sama ada mengalami perkara yang sama atau tidak, walau bagaimana pun ini menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu difikirkan untuk mengatasinya. Apa guna khutbah yang bernas dan disampaikan oleh khatib yang baik dan berwibawa sedangkan tidak didengari oleh sebahagian para makmum.

Siapakah yang silap dalam hal ini. Kadang-kadang Jawatankuasa cuba dengan berbagai ikhtiar untuk mengatasinya tetapi gagal. Bukan sengaja menyebelahi Jawantankuasa Masjid, ini berdasarkan pengalaman yang telah dilalui bersama jawatankuasa masjid. Persoalannya adakah sebelum masjid dibina kesesuaian penggunaan siaraya diambil kira oleh akitik atau mereka yang berkenaan seperti pembinaan dewan. di mana pembinaannya mengambil kira perkara penting ini, Kalau tidak, mengapa terjadi begitu. Agaknya kita memerlukan pemikiran baru yang lebih teliti dan sepadu dalam hal ini supaya tempat ibadat kita kelihatan berkualiti dan meyakinkan sesuai sebagai rumah Allah.

Masalah siaraya ini kelihatan kecil tetapi ianya mampu melumpuhkan sesuatu majlis yang besar dan menjadikan orang yang terlibat terpinga-pinga dibuatnya. Jamaah wanita sering mengadu menyatakan mereka tidak dapat bersolat dengan lancar dan khusyuk kerana tidak mendengar suara imam.

( Kalau anda ada pandangan tersendiri, tulislah respon di bawah ini )

wallahu aklam.