Tuesday, July 17, 2012

Info : Perjalanan bakal Haji dari Makkah ke Padang Arafah - Video.

Salam semua.

Artikel ini ingin mengutarakan sedikit informasi mengenai perjalanan dan persediaan ke Padang Arafah bagi membantu bakal Haji yang memerlukan informasi tersebut, walau pun ringkas tetapi bakal Haji akan mendapat banyak lagi informasi atau maklumat dari pihak lain. sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit. Di bawah ini  dipaparkan video ringkas, sebaik sahaja sampai di Padang Arafah video ini dirakamkan.

Bertolak ke Padang Arafah.
Tanggal 8 Zulhijjah 1432H selepas solat Jumaat  rombongan bakal Haji pun bertolak ke Padang Arafah, perjalanan boleh dianggap sebagai selesa memandangkan  orang begitu ramai tetapi apabila sampai di kawasan perkhemahan barulah bermasalah kerana kenderaan terlalu banyak, bas rombongan kami terpaksa berpusing jauh, lihat video kerana video ini merakamkan situasi tersebut.

Bagi mereka yang mengerjakan Haji secara Tamattuk, mereka telah mengerjakan  Umrah sebaik sahaja masuk ke Makkah dan selesai pada hari tersebut juga dan hari-hari bakinya sementara menunggu hari wukuf di Padang Arafah, bermalam Muzdalifah dan di Mina serta melontar, mereka mengerjakan Umrah sunat untuk beberapa kali lagi mengikut kemampuan kesihatan dan kudrat masing-masing.

Kini telah tiba 8 Zulhijjah, sebelum bertolak ke Arafah bakal Haji memakai Ihram dan berniat di tempat kediaman atau hotel masing-masing, rombongan ini sampai ketika waktu Asar dan bersolat Asar di dalam khemah, bermalam di sini, apabila terbenam matahari barulah dikira 9 Zulhijjah ( dikehendaki berada di Arafah sebentar sahaja -  tempoh masa wukuf selepas gelincir matahari hari 9 Zulhijjah sehinggalah terbit fajar - dalam tempoh tersebut dikehendaki berada sebentar di sini tetapi seelok-eloknya sebahagian hari tersebut ).Kami berada di Padang Arafah sehingga berakhir 9 Zulhijjah dan bersolat Maghrib di sini.


Selepas solat Maghrib ( ketika ini telah pun 10 Zlhijjah ) kami bertolak pula ke Muzdalifah salah satu lokasi yang dikehendaki bakal Haji berada di situ buat seketika, tempoh masanya mulai separuh malam 10 Zulhijjah sehingga masuk waktu Subuh. Kami sampai di sini lebih awal, waktu untuk mabit belum sampai oleh itu terpaksalah menunggu sehingga masuk separuh malam, kemudian kami bertolak pula ke Mina untuk bermalam di sana dan melontar.

                          Bermalam di Mina - dalam khemah.

Melontar di ketiga-tiga jumrah.
Ada baiknya cerita ini diteruskan dengan cerita mengenai melontar di tiga jumrah.Ketika sampai di Mina telah pun tanggal 10 Zulhijjah ( Hari Raya Haji ), tarikh ini memang telah bermula ketika kami bersolat Maghrib di Padang Arafah, waktu melontar di Jumrah Kubra ( Aqabah ) ialah setelah tengah malam tersebut, pada hari ini hanya melontar di Jumrah Kubra sahaja kemudian bolehlah  bertahlul/ bercukur dan bebas berpakaian asalkan menutup aurat. Kemudian pada 11, 12 dan 13hb Zulhijjah melontar di ketiga-tiga jumrah. Kalau tertinggal melontar pada hari tertentu boleh diganti lontaran itu pada hari yang lain asalkan yang dahulu hendaklah didahulukan dan tempohnya sehingga sebelum terbenam matahari hari 13 Zulhijjah ( hari tasyrik ).

Jumrah.
Tempat melontar pada masa ini telah dibina bertingkat dengan itu ramailah bakal Haji dapat pergi melontar dalam satu-satu masa dan menjadi lebih mudah lagi apabila pihak berkuasa mengatur jadual untuk jamaah bagi sesuatu negara pergi melontar, pada masa ini keadaannya jauh lebih mudah berbanding pada masa dahulu sehingga berlaku kemalangan kerana kesesakan. kini tiada lagi kesesakan di tempat melontar.
Pada 13hb.Zulhijjah semua jamaah Haji kembali ke Makkah, di sana mereka mengerjakan tawaf dan Saei untuk menyempurnakan Fardu Haji mereka, dengan itu barulah tamam Ibadat  Haji mereka.
Apa yang diceritakan ini hanyalah salah satu cara mengerjakan Haji, masih ada cara atau kaedah lain lagi untuk direalisasikannya, cara ini dikenali sebagai Cara Tamattuk...wallahu aklam. 
                                                                       Khemah di Mina.
.
Di Jabal Rahmah tidak jauh dengan khemah Arafah.

Sampai di lokasi.
Pada permulaan video ini menunjukkan rombongan bakal Haji ini telah pun sampai bertentangan dengan lorong masuk ke khemah Malaysia di Padang Arafah tetapi bas yang mereka naiki tidak dibenarkan membelok masuk ke lorong menuju ke khemah, sebaliknya pengawal mengarahkan pemandu bas membuat pusingan U dan dilarang  melintas masuk, malangnya pusingan U itu terletak jauh dari pintu masuk tersebut menyebabkan perjalanan memakan masa yang lama untuk sampa semula ke pintu lorong tadi, sebaliknya bas yang sampai kemudian dibenarkan pula terus masuk ke lorong tersebut, oleh itu mereka yang bertolak kemudian sampai ke lokasi terlebih dahulu kerana mereka mendapat kemudahan membelok ke lorong masuk ke khemah.
 
Bertugas tanpa perancangan.
Pasukan pengawal lalu-lintas seolah-olah bertugas tanpa perancangan awal menyebabkan orang ramai menerima kesulitan dan kesusahan, semasa di Makkah sebelum ini pun dilihat suasananya seperti itu juga, Dua minggu sebelum wukuf barulah kita dapati kelibat pengawal atau polis mengawal keadaan pada hal sebelum itu telah berlaku kejadian mencuri, meragut atau  mencopek. Sepatutnya dalam jangka masa dua bulan di dalam musim Haji ini pihak berkuasa sepatutnya membuat kawalan ketat terutamanya berkaitan lalu-lintas dan jenayah.


Sekian...Wallahu aklam.


 

No comments: