Tuesday, September 17, 2013

Kezaliman yang tidak disedari suami dan memerlukan penilaian semula.

Kezaliman yang tidak disedari suami - suatu penilaian semula.
- Dosa yang berlaku berulang kali seperti wirid di dalam rumahtangga.
- Pada mulanya kelihatan anak atau isteri yang salah tetapi, sebenarnya bapa atau suami yang salah.
 - Anak-anak yang belum baligh tiada kesalahan dan dosa bagi mereka.
 - Pada mulanya anak murid yang melakukan kesalahan tetapi, kemudiannya guru pula melakukan kesalahan mengatasinya, 
- Pada mulanya dianggap kewajipan isteri tetapi, sebenarnya isteri hanya menolong.

Kurang lebih itulah intisari daripada penulisan artikel ini.
-----------------
Beri laluan iklan sebentar.

___________________________

Kezaliman yang tidak disedari.
Kezaliman yang berlaku dan tidak disedari sering berlaku berulang kali terhadap anak isteri sendiri akibat daripada sikap suami atau bapa yang tidak membuat penilaian terhadap tingkah laku dan kewajipannya , suami atau bapa itu adalah seorang pemberi nafkah, pengarah, pentadbir dan pendidik kepada seisi rumahtangga. Malah suami atau seorang bapa itu mempunyai tanggungjawab  melebihi tugas tersebut. Siapakah yang memberi hukum atau denda terhadap kesalahan atau dosa yang dilakukannya, adakah suami atau bapa kepada anak-anak di rumah itu memiliki kuasa terakhir tanpa ada kuasa lain mengatasinya, dalam soal ini setiap suami atau bapa harus menilai dan muhasabah semula supaya dosa kecil yang berulang kali itu tidak membukit kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.
Kita sering membincangkan kesalahan atau kenakalan anak-anak atau orang yang di bawah jagaan bapa atau suami, bapa sentiasa fokus kepada kesalahan anak-anak dan juga fokus kepada kesalahan dan kelemahan isteri tetapi sering lupa kepada diri sendiri, kadang-kadang si bapa atau suami ini sering memaafkan diri sendiri atau mengecualikan diri dalam  banyak hal dan berlagak seperti orang yang tidak pernah melakukan kesalahan terhadap anak dan isteri, pada hal mereka juga melakukan kesalahan pada masa mereka  melaksanakan tanggungjawab terhadap orang yang di bawah tanggungan mereka. Denda yang tidak adil dan melampau adalah dikategorikan sebagai dera, bersikap bengis dan kasar juga merupakan dera kejiwaan, kadang-kadang denda yang melampau akan menjadi suatu kenangan pahit kepada anak-anak sehingga akhir hayat dan tidak mampu dipadam lagi.
Memberi nafkah. 
Kewajipan memberi nafkah adalah kewajipan suami atau bapa di dalam rumahtangga, sering juga suami mendapat bantuan perbelanjaan daripada isteri yang mempunyai wang atau pendapatan, dalam kewajipan ini terdapat suami pula yang mengatur atau mengurus kewangan isteri sehingga isteri terasa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tidak perlu daripada poketnya bagi membantu suami, sedang suami berseronok dengan gaji bulanan atau pendapatannya, bebas membeli apa sahaja dan membiarkan isteri menjadi miskin di dalam rumah yang dikongsi mereka, inilah di antara elemen kezaliman yang tidak disedari dan dosa yang berlaku berulang kali seperti wirid di dalam rumahtangga, tidak salah membantu suami, tidak salah meminta isteri bantu secara  bertolak ansur dan sukarela tetapi bukan menjadi teras sehingga isteri tidak berpeluang membuat simpanan untuk masa depannya, takdir Allah tiada siapa yang tahu, kematian dan perceraian boleh berlaku,  Islam telah lama memberi panduan khasnya mengenai perbelanjaan rumahtangga atau memberi nafaqah, Sabda Nabi SAW; “Wajib atas kamu (para suami) menyediakan untuk mereka (yakni isteri-isteri kamu) rezeki mereka dan pakaian mereka mengikut kebiasaannya.” (Soheh Muslim; 1218. Abu Daud; 1905, dari Jabir bin Abdullah RA). Menurut ulama'; maksud rezeki dalam Hadis ialah nafkah hidup merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Hukumnya adalah wajib atas suami ,    
 jika kesilapan dan kesalahan perbelanjaan ini  berlaku setiap hari dan setiap bulan, inilah yang dikatakan wirid.
Mendidik anak.
Anak-anak yang belum baligh tiada dosa dan tiada kesalahan bagi mereka, orang dewasa wajib memahami sifat kanak-kanak, sudah tentulah kanak-kanak itu suka bermain, fikiran mereka  tidak matang, terdapat juga di kalangan mereka yang belum mumaiyiz, tiada kesalahan dan dosa di kalangan mereka tetapi atas dasar mendidik perbuatan yang buruk yang dilakukan mereka ibu bapa wajib melarang atau mendidik mereka supaya tidak terus melakukannya pada masa yang lain. Jika mereka bantah dan melakukan juga ibu bapa diizinkan untuk denda mereka tetapi hendaklah denda yang adil dan sesuai dengan perbuatan mereka yang tiada berdosa itu. Ibu bapa atau guru sering membuat dosa dan kesalahan melalui denda yang mereka laksanakan, melaksanakan denda ketika marah atau panas baran adalah suatu dosa, melayan marah mengikut arahan syaitan tidak akan adil hasilnya. Pada mulanya kelihatan seperti anak atau anak murid yang salah.Apabila denda dilaksanakan secara tidak adil atau melampau dan tidak sunnah akhirnya ibu bapa atau guru pula yang salah melebihi anak-anak tersebut, bak kata pepatah Melayu " Kata dulang paku serpih, kata orang aku yang lebih"

Tugasan harian rumahtangga.
Tugas harian iaitu bermacam-macam tugasan yang perlu dilakukan oleh suami atau isteri di  dalam rumah, tanggungjawab ini pada asal atau awalnya adalah tanggungjawab suami, setelah mengikut adat dan kebiasaan akhirnya menjadi tanggungjawab isteri tetapi secara rasminya adalah tanggungjawab suami atau bapa kepada anak-anak, kerja-kerja seperti memasak,membasuh pakaian, pinggan mangkuk, mengasuh anak.menggosok pakaian dan seumpamanya yang dipandang remeh itu biasanya dibebankan kepada isteri atau ibu kepada nak-anak. Biar kerja ini begitu membebankan sebahagian para suami tidak melihat kerja itu membebankan isteri atau ibu kepada anak-anaknya, pada hal kerja dan tugas ini tidak pernah terputus atau tiada "stop"nya sehinggalah isteri atau ibu itu tidak mampu lagi mengangkat tangan untuk membuatnya.Namun begitu sebahagian para suami atau bapa kepada anak-anak  tadi  tidak pernah terfikir bahawa  isterinya sedang menghadapi tekanan dan kekangan terhadap tugas yang mereka terpaksa lakukan, suami juga tidak menyedari kezaliman yang dilakukan terhadap isteri sendiri, ( kezaliman ini hendaklah dinilai berdasarkan  kepada tanggungjawab asal dan juga berdasarkan penilaian Allah Taala ), Terdapat juga suami yang tidak tergerak langsung di hatinya untuk menolong dan membantu isteri, walaupun dilihatnya pinggan mangkuk telah memenuhi sinki dan menunggu untuk dibasuh, suami tidak akan mengindahkannya. Situasi ini menyebabkan isteri yang berkerjaya terpaksa bekerja lebih sekali ganda berbanding dangan suami mereka, malah lebih dari itu kerana selain dari itu isteri terpaksa membantu perbelanjaan rumahtangga lagi, suami jenis ini terus menikmati keselesaan hidup di dunia tetapi keselesaan itu hanya sebentar sahaja, di akhirat nanti mereka akan dihadapkan ke mahkamah Allah dan neraca yang digunakan akan berat di sebelah kira, mereka akan selamat hanya kalau mendapat keampunan Allah.

Isteri yang masih muda.
Pasangan yang masih muda  bermakna isteri juga masih muda yang berusia bawah 40an, mereka ini tentunya memiliki anak kecil yang perlu dilayan dan diasuh tanpa henti siang dan malam, mereka terpaksa bangun tengah malam untuk melayani keperluan anak kecil yang masih menyusu dan esoknya ibu terpaksa pergi mencari rezeki tetapi wang pendapatannya dikontrol pula oleh suami yang dimaksudkan sehingga isteri hilang kuasa terhadap hartanya sendiri kerana kuasa diambil alih sepenuhnya oleh suaminya secara tidak direlainya,  isteri sebagai seorang yang terpelajar mengesan dan mengetahui bahawa perkara tersebut tidak patut berlaku ke atas dirinya tetapi terpaksa berkorban demi kebaikan anak-anak dan mengelak keburukan serta mudarat yang lebih buruk lagi , maka setelah puas memberi nasihat dan pandangan isteri mengambil sikap beralah dengan menyimpan perasaan kesal dan tidak rela di hatinya yang walang, suami yang tidak muhasabah diri itu bebas meneruskan aktiviti yang tidak adil dan zalim .
Allah tidak melihat hambanya secara rambang, sebaliknya tiada suatu pun yang terlepas daripada penilaian Allah,. FirmanNya dalam Surah Az.Zalzalah ayat 8 berbunyi
 _____________________

bermaksud, 

"Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!"
__________________________________________

Artikel ini sekadar memaparkan pengalaman hidup di dalam masyarakat yang berbagai ragam yang  menceritakan sebahagian kecil daripada ragam tersebut untuk dibuat penilaian semula supaya kehidupan dunia yang akan membawa ke akhirat itu menjadi lebih indah untuk semua.
Sekian...Wallahu aklam...والله أعلم

No comments: