Pasangan merpati dua sejoli ungkapannya telah menjadi pepatah yang sebati dengan orang Melayu dan difahami maksudnya oleh semua peringkat . Kebiasaan burung ini akan bergerak berpasangan jantan dan betina, manusia melihat pasangan mereka sebagai pasangan yang sentiasa romantik dan berkasih sayang sepanjang masa tanpa berselisih faham di antara mereka berdua, selain itu disebut juga seumpama pasangan belangkas iaitu pasangan yang susah hendak berenggang atau berpisah, hubungan mereka sungguh mantap dan rapat.
Terhasilnya perumpamaan ini kerana menggambarkan tabiat, lumrah atau situasi yang sering berlaku kepada pasangan yang berkenaan hampir menyamai pasangan merpati dua sejoli atau pasangan belangkas.
Perumpamaan ini tercetus kekadang kerana cemburu atau berdengki melihat kemesraan mereka oleh orang lain yang tidak mendapat keseronokan dan nikmat tersebut.Bagi pasangan suami isteri yang telah mempunyai ikatan yang sah , tiada sebab orang lain hendak masuk campur menegur hubungan erat yang baik dan digalakan itu.berkasih mesra suami isteri adalah suatu kewajipan tetapi bukanlah menunjukkan aksi yang seksi di hadapan orang lain atau khalayak. Apa pun aktiviti yang kita lakukan perlulah merujuk kepada keizinan syariat Islam yang kita anuti.
Pasangan orang muda. Bagi pasangan orang muda yang belum ada ikatan yang sah sudah tentulah dilarang untuk berdua-duaan sama ada di khalayak atau bersunyian kerana perbuatan itu boleh menyebabkan ketelanjuran aktiviti lain yang akan memberi mudarat kepada mereka berdua dan masyarakat.
Jiwa muda akan berasa megah, jika mereka telah berjaya mendapat pasangan, untuk melayan kemegahan dan ego tersebut mereka akan memaparkan gambar yang seumpama pasangan merpati dua sejoli itu di dalam laman yang mereka miliki untuk ditonton oleh sesiapa sahaja dan mengisytiharkannya pula kepada khalayak bahawa itulah pasangan intem mereka.
Akhirnya kekawan dan pembaca yang lain pun mengetahui akan kedudukan hubungan mereka dan statusnya.Islam melarangnya kerana mempunyai beberapa sebab yang mungkin akan merugikan diri sendiri pada suatu hari kelak, contohnya, jika mereka bergaduh dan berpisah atau berpisah kerana kematian salah seorang daripada mereka. Kemudiannya orang lain akan menjadi kurang minat untuk memperisterikanya atau menjadikannya suami , Kerana hubungan yang terpisah itu bukan hubungan yang sah dan dilarang serta diragui sejauh mana pergaulan mereka, berbeza bagi mereka yang janda atau duda kerana sebelumnya hubungan pasangan mereka sah dan mulia di sisi masyarakat dan juga Allah.
Bagi pasangan muda yang tiada apa-apa ikatan yang sah, mereka seharusnya pandai-pandailah membawa diri agar tidak rugi di kemudian hari.Pada masa yang lalu telah ramai orang yang kecewa kerana berpisah dan meninggalkan kesan titik hitam di dalam hidupnya kerana pasangannya tidak bertanggungjawab atau mungkir janji, ada juga yang terpisah sebelum ikatan yang sah kerana berlaku kematian salah seorang daripada mereka.Hubungan pasangan yang belum sah ini sepatutnya berpada-pada dan tidak melupakan realiti bahawa keakraban mereka adalah dilarang. Perbuatan atau hubungan yang melampau pada status ini akan merugikan diri sendiri dan juga keluarga.
Rasul contoh terbaik. Keakraban dalam keadaan kegeloraan memuncak memungkinkan berlaku sesuatu yang tidak diizinkan di luar kawalan akal, "menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna". Allah Maha Mengetahui tentang diri dan kejadian manusia serta naluri lelaki dan perempuan, kerana Dia yang menjadikan manusia sebab itulah Allah melantik Rasul untuk menjadi pebimbing dan contoh terbaik untuk manusia, disamping disertakan al.Quran sebagai panduan hidup, mereka yang enggan menerima ajaran dan panduan yang terdapat di dalam al.Quran dianggap sebagai jahil dan sesat. Mereka akan menghadapi kehidupan yang sukar dan sengsara di kemudian hari nanti.
Pembentangan bajet telah pun berlalu maka ramailah pakar ekonomi dan ahli perniagaan memberi pandangan dan pendapat mereka, kebanyakan mereka memberi pandangan berdasarkan pengajian dan pengalaman, pandangan jarang disepadukan dengan moral dan akhlak Islam yang perlu dihayati masyarakat dan juga tidak menyentuh akibatnya ekoran pelaksanaan sesuatu aktiviti ekonomi. Mungkin kita berfikir secara berkotak-kotak dan mengasingkan di antara suatu masalah dengan masalah yang lain. Kalau pun ada ulasan yang bersepadu ianya tidak mendapat tempat yang selesa dan menarik perhatian ramai.
Sebagai contoh. Perancangan kerajaan untuk mewujudkan Hab Hiburan Malam secara besar-besaran seperti yang dicatatkan di dalam bajet.Hab hiburan ini besar kemungkinan akan mendapat sambutan yang hebat dan akan menguntungkan dari segi pendapatan negara.risiko ruginya sangat rendah dan hampir tiada kerana pihak pengusaha tidak terdedah dengan tindakan pihak yang berkuasa sebab mereka mengusahakan aktiviti perniagaan yang dibenar dan digalakkan oleh kerajaan. Dengan itu senanglah pemuda, pemudi dan mereka yang pertengahan umur melayan naluri mereka tanpa sebarang rasa kebimbangan terhadap tindakan yang akan diambil terhadap diri mereka.
Pada masa yang telah lalu masyarakat Melayu Islam yang bertandang ke tempat demikian terpaksa pergi secara sembunyi.
Kemudahan ini sudah pasti akan meningkatkan bilangan pengunjung Islam dan di sana mereka akan berjinak-jinak pula dengan minuman beralkohol, akhirnya aktiviti harian mereka akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi, situasi perlanggaran hukum Islam ini akan membuka peluang perselisihan faham suami isteri dan akan bertambah pula bilangan keruntuhan rumahtangga.
Mereka yang aktiviti hariannya melebihkan penglibatan diri dalam kegiatan hiburan malam dan berpoya-poya akan senang terjerumus ke lembah perzinaan, kiranya ini berlaku , maka akan bertambah pula anak-anak yang dilahirkan di luar nikah yang kemudiannya berpotensi pula anak-anak tersebut dibuang atau sekurang-kurangnya mewujudkan satu lagi tanggungjawab sosial, di mana masyarakat terpaksa mendirikan pula institusi bagi menguruskan anak-anak yang tidak bernasib baik ini. Demikianlah institusi hiburan malam membiakkan kejahatan dan kerugian secara tidak langsung, untung segantang tetapi ruginya seguni. Ekonomi dijana dan ditingkatkan tetapi tidak dapat dimanfaatkan seperti mana yang dihajatkan.
Berbalik kepada remaja Islam yang sekarang ini pun sedang menghadapi berbagai masalah yang berpotensi mengurangkan tahap keimanan dan mengancam aqidah, merujuk kepada peristiwa yang telah lalu dan mungkin juga sedang berlaku di mana orang Melayu Islam sanggup menukar agamanya kepada agama lain kerana diasak oleh berbagai-bagai asakan sosial sedangkan mereka lemah dalam ilmu pengetahuan Islam dan ada yang hidup terdesak. Tarikan hiburan juga menyebabkan anak muda tidak mahu menambahkan ilmu pengetahuan dan kurang cenderung kepada aktiviti ibadat, mereka melihat berhibur dan berpoya-poya sesuatu yang senang dan menyeronokkan, akhirnya mereka akan membuat dan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang, asalkan mereka akan mendapat hiburan dan terhibur walau pun keseronokan itu hanya buat sementara waktu sahaja.
Andainya Hab Hiburan Malam itu dilaksanakan juga bermakna segala penat lelah pendakwah untuk memurnikan kehidupan masyarakat selama ini menjadi sia-sia, malah menerima tamparan hebat dari pihak berkuasa yang tidak memperdulikan dan menghargai usaha mereka. juga seumpama sindiran yang tajam masuk ke jiwa mereka.
Masa kini menjual politik melalui pembohongan dan propaganda semakin kurang larisnya .
Semakin hari semakin dunia ini berubah, muka buminya berubah, cuaca bertukar kebiasaan, barang semakin mahal, air sungai semakin keruh, peniaga semakin tidak jujur, politikus semakin temberang, jalan raya semakin sesak , manusia semakin cerdik, berani dan jahat.
Manusia semakin cerdik .
Manusia kini semakin cerdik akalnya, jauh pandangannya dan banyak saluran maklumatnya, namun demikian politikus masih menabur propaganda mereka melalui berbagai saluran , umpama menabur padi yang bercampur pasir kepada ayam peliharaan, maka menerkamlah ayam lapar mematuknya, ayam kenyang akan memilih-milihnya antara pasir dengan padi makanan mereka dan ada yang mendiamkan diri sahaja tanpa apa-apa respon.
Dalam pada terdapat ramai yang cerdik dan pandai, yang jahil juga masih wujud , mereka ini akan dipergunakan dan mereka inilah juga akan terperangkap di dalam perangkap propaganda kerana mereka tidak mampu menilai sesuatu tanpa bantuan dan tidak mampu menyaring mana yang batil, biasanya situasi ini subur di dalam dada orang yang jahil, mereka kurang ilmu dan ketandusan iman, kurang menambahkan ilmu mereka di masjid atau di surau, minda terikat dengan kebendaan dan terlupa hakikat. Orang yang bijak memilih pemimpin melalui ilmu dan iman, mereka terselamat daripada perangkap propaganda. Propaganda akhirnya kurang laris.
Manusia semakin berani .
Pada zaman Sains dan Teknologi ini manusia semakin berani, termasuk orang Malaysia, keberanian itu tercetus kerana mereka semakin pandai dan cerdik, semakin berilmu dan yakin diri. Mereka berani mendepani siapa sahaja sama ada pemimpin kecil atau pemimpin tertinggi , mereka yang cintakan kebaikan tidak segan sila menyanggah perkara-perkara yang tidak betul dan salah, manakala yang jahat pula membuat berbagai fitnah dan tohmah terhadap mereka yang tidak disukainya, fenomena ini tidak semuanya jahat tetapi yang jahat itu sepatutnya dihentikan kerana perbuatan itu hanya sia-sia dan kiranya sering diamalkan akhirnya menjadi ikutan pula kepada generasi akan datang. Manusia sepatutnya berusaha menjana Kehidupan Bersih di dunia ini sekadar kemampuan masing-masing.
"Kepada anak-anakku dan sekalian anak muda pilihlah pemimpinmu dengan menggunakan akal dan imanmu, moga-moga kamu selamat dan aman di kemudian hari".
Aku tulis apa yang aku fikir , aku inginkan dan aku hasratkan.
Ramai kekawan bertanya apakah yang aku tulis untuk dimuatkan di dalam laman blogku, biasanya aku menjawab bahawa aku menulis dan membentangkan perkara-perkara yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan bersama, di antaranya ada yang bermanfaat dan juga perkara-perkara yang suka-suka atau hanya melepaskan perasaan untuk melahirkan apa yang kurang puas di hati sanubari sahaja.
Beberapa photo objek yang terdapat di dalam topik ini, mungkin boleh menggambarkan apa yang tersirat di dalam mindaku, itulah juga cakupan sebahagian kecil daripada apa yang telah aku tulis dan aku akan ditulis.Mustahil aku akan tulis semuanya kerana aku hanya mempunyai sebahagian kecil pengetahuan mengenainya. Sebagai orang Islam aku ingin sangat Islam itu dikenali dan difahami asasnya oleh semua orang di dunia ini, sama ada mereka memeluk Islam atau tidak terpulanglah kepada keinginan Allah untuk memberi taufik dan hidayah kepada mereka kerana Islamnya seseorang itu adalah suatu nikmat yang amat berharga yang dikurniakan oleh Allah, tanpa kehendak Allah seseorang manusia itu tidak akan menjadi Islam atau beriman kepada-Nya. Mereka yang mendapat nikmat Islam dan nikmat iman bernasib baik dan beruntung besar di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat . Bagi orang Islam cuba bayangkan kalau anda tidak Islam, dalam keadaan demikian apakah yang anda fikirkan, tentulah fikiran kita tertumpu kepada azab api neraka, kalau sudah Islam mengapa pula kita abaikan tanggungjawab kita supaya orang lain juga mendapat nikmat tersebut dan terselamat dari azab api neraka. Apa yang akan terjadi pada kepercayaan Islam yang tersemat di dalam diri kita, kalau kita sentiasa mementingkan diri sendiri dan tidak mahu menyebarkan kebaikan Islam itu kepada orang lain. Sedangkan ternyata perkara itu termasuk dalam suruhan Allah.
Mengapakah kita tidak memanfaatkan laman blog, facebook,twitter dan lain-lain kemudahan internet yang telah kita kuasai ke arah menyebarkan kebaikan ini, melalui internet kita dapat menambahkan pengetahuan dan ilmu mengenai Islam dan selepas itu kita berpeluang pula memindah atau menyebarkan ilmu itu kepada sesiapa sahaja, khasnya orang Islam yang lain untuk sama-sama kita mengukuhkan keislaman atau mengukuhkan aqidah kita, dengan itu akan terhindar daripada menjadi syirik atau murtad, adakah kita sedang menunggu sehingga kita mempunyai ilmu tinggi menggunung baru kita akan memulakannya ataukah kerana kita kurang baik sebab itulah kita terasa kita tidak layak menyebarkannya, kalau ini laras pemikiran kita maka tiada seorang pun di dunai ini yang layak berbuat demikian.
Siapakah di dunia ini yang tiada kejahatan, tiada dosa dan tiada kekurangan. Bukankah membuat kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan atau dosa. Dengan berbagai kebaikan yang kita lakukan insya Allah sedikit demi sedikit akan menghapuskan dosa yang kita telah lakukan selama ini.Sebarkanlah kebaikan itu walaupun sedikit kerana sedikit- sedikit , lama-lama menjadi bukit.
Sebagai rakyat Malaysia pula aku ingin negara ini diperintah oleh orang yang baik-baik dan bersih supaya wujud Kehidupan Bersih di dalam kehidupan harian rakyatnya.Sebab usia rakyat Malaysia, malah penduduk dunia rata-rata tidak sampai 90 tahun pun , jangan kata seratus tahun, kalau ada pun yang hidup sampai seratus tahun bilangannya sangatlah sedikit dan amat jarang kedengaran ceritanya. Hidup yang singkat ini eloklah kita mengajak manusia supaya tidak leka dan tertipu dengan kehidupan dunia, aku juga mengharapkan persekitaran yang baik dan hasanah supaya persekitaran itu mempengaruhi aku ke arah kehidupan yang baik, sekurang-kurangnya keadaan itu dapat membantu aku untuk melakukan kebaikan setelah dapat mengalahkan iblis syaitan yang terang-terang menjadi musuh aku dan musuh sekalian manusia di dunia yang fana ini.
Sekiranya manusia yang menjadi penghuni dunia mengenal dan patuh serta menyembah Allah, Tuhan yang sebenar, Tuhan yang mencipta dunia dan alam ini, dalam situasi demikian dunia ini akan aman dan selamat. Mereka yang bukan Islam tidak perlu fobia dengan Islam tanpa menyiasatnya terlebih dahulu, kenalilah Islam melalui Islam, melalui ajarannya bukan mendapatkan maklumat dari mereka yang juga bukan Islam kerana mereka akan memberi maklumat yang salah disebabkan kejahilan atau kerana sengaja ingin memesong dan memburukkan Islam.
Al.Quran diturunkan untuk semua manusia di dunia ini, termasuk jin. Baca dan kajilah al.Quran di sana terdapat maklumat yang benar dan betul mengenai alam ini serta panduan hidup yang mampu membawa manusia ke jalan yang lurus dan benar, dengan mentaati-Nya manusia akan selamat di dunia dan di akhirat.
Artikel ini tidak membohongi atau mendustai sesiapa, carilah maklumat mengenai Islam dari al.Quran dan dapatkan bantuan dan pertolongan dari orang Islam yang arif mengenainya.
Artikel ini hanya ingin membuat andaian, bukannya realiti. kalau pun pernah berlaku dan ada realitinya, saya hanya mendapat maklumat dari media tertentu sahaja pada masa yang lampau, lebih baik artikel ini hanya berlandaskan andaian sahaja dengan tidak melibatkan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
Jom, buat andaian. Sejak kebelakangan ini sering diperkatakan mengenai sogokan dalam berpolitik, sama ada di dalam pemilihan jawatan parti atau pilihan raya, wujud senario ini adalah terhasil dari berlakunya kemerusutan amalan akhlak mulia yang diperintahkan supaya dihayati sepanjang masa oleh setiap agama, khususnya ajaran Islam. Sekiranya diandaikan semakin ramai wujud mereka yang berpendidikan tinggi dan berpangkat tidak mampu menjaga moral yang mulia dan mampu pula membuat sogokan secara besar-besaran di mana Islam mengistilahkan perbuatan tersebut sebagai jahil dan sesat.
Apakah yang akan terjadi kepada masyarakat dan negara sekiranya situasi ini berleluasa?. Beberapa kekurangan dan kecelaruan akan wujud di dalam masyarakat dan negara, proses pemilihan pemimpin yang berkualiti akan gagal, pemimpin yang tidak berkelayakan akan terpilih dan akhirnya menjadi pemerintah negara.mereka ini tentulah mempunyai pengikut yang ramai dan pengikutnya juga akan turut tidak berkualiti dan juga tergolong di dalam kumpulan penyogok ( rasuah ).
Orang yang mampu menyogok. Mereka yang mampu menyogok (memberi rasuah) hanyalah mereka yang mempunyai banyak wang, kiranya ini tidak berjaya dihalang dan dicantas, negara akan diperintah dan dikuasai oleh mereka yang mampu membeli rakyat dan mereka ini pastinya terdiri dari orang yang mencari wang dan mengumpul kekayaan serta tidak memperdulikan kesusahan rakyat, mereka juga sanggup menjadikan rakyat yang miskin sebagai batu loncatan mereka dengan bermodalkan wang sogokan, rakyat yang dibeli hanya merasai kesenangan hasil menerima sogokan itu sekadar beberapa meminggu sahaja tetapi akibat dari perbuatan mereka itu negara tergadai kepada mereka yang kemaruk wang dan harta.
Penerima sogokan dan penyogok mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap negara, mereka yang mengizikan sogokan dan rasuah ini hidup subur akan menerima padahnya di akhirat nanti, mereka inilah pengkhianat agama, bangsa dan negara.
Senario ini menyebabkan negara dan masyarakat tidak akan terbangun dengan memberi kesejahteraan kepada rakyat, setiap polisi yang akan diluluskan yang kelihatan melalui peraturan dan undang-undang secara sah akan mengandungi udang disebalik batu.
Pemimpin yang terlantik secara sogokan akan menjadikan kerjabuat mereka semuanya tidak sah , walaupun kelihatan sah tetapi hakikatnya tidak sah, seumpama bersolat tanpa wuduk, semua rukun dan sunat solat dilakukan dengan sempurna tetapi solatnya tidak sah kerana solatnya dilakukan tanpa wuduk. atau seumpama bersae ketika menunaikan fardu Haji tanpa melakukan tawaf terlebih dahulu, walaupun Sae dilaksanakan 7 kali seperti yang diperintahkan tetapi suruhan sebelumnya tidak dipatuhi iaitu bertawaf terlebih dahulu, manakala semasa bertawaf pula wajib dalam keadaan berwuduk. Begitulah syarat-syarat yang bersangkutan itu hendaklah dipatuhi dan dipenuhi barulah kerjabuat itu menjadi sempurna dan memberikan kebaikan.
Tidak ragu lagi. Pemimpin yang mengamalkan sogokan untuk memenangi sesuatu pemilihan jawatan atau pilihan raya , tidak diragui lagi bahawa mereka itulah pemimpin yang akan merosak dan menggadaikan negara semata-mata inginkan kesenangan hidup diri dan keluarga , mereka inilah sebenarnya musang berbulu ayam. Apabila pemimpin merasakan dirinya tidak bersalah melanggar peraturan negara dan boleh melakukan apa sahaja, dibelakang sana akan diikuti pengikutnya dan akan merebaklah gejala tersebut di seluruh negara, semakin sukarlah kita mengawalnya.