Hari Raya Fitrah atau Hari Raya Puasa ataupun dikenali juga dengan Aidil Fitri ianya dirayakan hampir sebulan yang telah lalu iaitu pada tanggal 1 Syawal 1432, pada hari berikutnya bukanlah hari raya lagi tetapi dirayakan sebagai sempena hari raya tersebut. Oleh itu aktiviti yang ditunjukkan di dalam video dan imej di dalam artikel ini dilaksanakan sempena Hari Raya Fitrah ( Aidil Fitri ). Tiada lagi takbir dikumandangkan seperti pada 1 Syawal kerana tidak disunatkan lagi. Majlis ini amat penting diadakan untuk mengeratkan silaturrahim sesama penduduk setaman.
Tuan Haji Nor Sabri (kiri) individu yang sentiasa berfikir secara proaktif dan berusaha bertungkus lumus ke arah penubuhan dan pendaftaran persatuan penduduk taman ini sehingga berjayadidaftarkan, di samping dibantu oleh rakan-rakan AJK Penaja.Puan Sarimah bt Lisut Ahli Majlis MBSA sedang menyampaikan duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir, diperhatikan oleh Tuan Hj.Nor Sabri.
Masih awal kehadiran belum ramai.
Kanak-kanak tidak dilupakan, mereka dilayan sesuai dengan fitrahnya, Puan Sarimah bt Lisut Ahli Majlis MBSA sedang menyampaikan duit raya.
Dah semakin ramai, kehadiran dianggarkan di antara 400 - 500 orang...Tu dia Nasi Beriani kena serbu...aduh berbaris panjang...dah lapar ni...boleh potong " Q " kot.
Jamuan telah selesai ...sedang mengemas dan membersihkan kawasan sebagai aktiviti penyudah.
Di awal kalamku kali ini, aku memohon maaf kepada mereka yang kurang enak berbahasakan "aku" untuk ganti nama diri, kalimah aku tidak akan digantikan dengan kalimah ana, i atau gua dalam coretanku ini kerana tiga perkataan atau bahasa itu bukan bahasa ibundaku, pada pendapat aku menggunakan kalimah "aku" jauh lebih baik berbanding menggunakan beberapa perkataan yang disebutkan tadi, kalimah aku adalah bahasa Melayu, menggunakannya tidak menyebabkan berlaku campur aduk atau tidak juga menjadi bahasa rojak yang sering digunakan oleh orang kita, baik di kalangan rakyat atau pemimpin.Kita rasa kasar dan kurang manis menggunakan kalimah "aku" tetapi tidak pula berasa mencabul bahasa sendiri apabila menggunakan bahasa sendiri bercampuraduk dengan bahasa asing . Jika kedua-duanya kurang baik, buat kali ini aku ingin memilih yang lebih baik sedikit.
Kalimah "Aku" sering juga digunakan di dalam majlis yang dihormati dan mulia, kalau anda tidak percaya aku akan berikan contohnya seperti berikut - " Aku terima nikah .........dengan maskahwin .......tunai". Kalimah "Aku" mempunyai aura yang lebih kuat berbanding dengan saya, aku adalah suatu pengakuan yang kukuh, ini adalah pandanganku, jangan percaya sangat kerana masih ada ruang untuk diperbahaskan. Apa pun itulah pendapatku.Sebenarnya bukan ini mauduk yang hendak ditulis.
Baiklah sekarang sampailah masanya untuk kita bersembang pasal songsang dan kecelaruan. Apakah songsang dan kecelaruan itu?, songsang mengikut fahamanku ialah sesuatu yang bergerak atau bertindak secara bercanggah dan menentang arus serta hakikat, manakala kecelaruan ialah sesuatu yang telah bercampur aduk di antara benar dan salah, susah hendak difahami dan diikuti kecuali mereka yang berilmu. Perkara ini sedang berlaku pada zaman ini, malah semakin berkembang biak.
1 - Pendapat ramai menyatakan zaman kini sudah akhir zaman, memang pun sudah akhir zaman kalau berbanding dengan masa dahulu, semakin tahun semakin akhirlah situasinya tetapi akhir itu kedudukannya di mana, tentulah amat sukar untuk dijawab kerana hal itu Allah sahaja yang mengetahui detik dan ketikanya, secara umumnya kita pasti bahawa zaman ini adalah akhir zaman, tiada lagi Rasul yang akan diutuskan oleh Allah pada zaman ini, memadai dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad.s.a.w. yang terkandung di dalam al.Quran dan al.Hadis, sesiapa yang mempercayai terdapat kehadiran Rasul atau Nabi baru, maka jelas dan yakinlah bahawa kepercayaan itu adalah karut dan sesat.
Tetapi hakikatnya memang pernah berlaku pengakuan di mana terdapat orang yang mengaku dirinya Rasul atau Nabi, jika ada sesiapa yang mengaku dirinya Nabi atau Rasul yang baru dilantik pastinya orang yang membuat pengakuan itulah terlebih dahulu mengetahui secara tersirat di dalam hatinya bahawa kenyataan itu adalah suatu pembohongan .
Namun begitu terdapat juga orang lain selain dirinya pula yang mempercayainya, maka orang yang mengaku dirinya Rasul atau Nabi itu pun mengambil kesempatan itu untuk kepentingannya, dalam situasi songsang dan celaru itu dikautnya keuntungan. Demikianlah karenah dunia. Hanya mereka yang kenal Allah (makrifatullah) dan beriman kepada Allah sahaja yang tidak akan terpengaruh dengan kepercayaan karut itu.
2 - Setelah kita menyambut kemerdekaan dengan megahnya pada 31 Ogos 1957, tiba-tiba terpapar di dada akhbar dan laman internet menyatakan negara kita tidak pernah dijajah ( kecuali di zaman Jepun), sekali lagi berlaku songsang di dalam mindaku yang selama ini meyakini bahawa tarikh 31 Ogos adalah tarikh keramat yang terpahat di minda bahawa tarikh itulah tarikh terlepas dan bebas daripada dijajah oleh kerajaan British yang kita sebut sebagai penjajah.
Aku diajar oleh guru sejak di sekolah rendah lagi sejarah ini, aku tidak berbohong, guruku juga tidak berbohong, kalau berlaku pembohongan pun tentulah yang berbohong itu adalah buku yang dibaca oleh guruku atau pihak yang lebih atas lagi. Aku memang percaya dengan guruku itu dan aku sentiasa menghormatinya, malah aku sendiri pun melihat kesan penjajahan itu, orang putih meninggalkan amalan dan adat istiadatnya di dalam minda orang Melayu terutamanya pembesar Melayu dan pegawai kerajaan kerana mereka inilah yang hampir dengan penjajah.
Pembesar Melayu dan pegawai kerajaan pada zaman awal merdeka kebanyakan mereka minum arak atau minuman keras dan sangat biasa dengan majlis tari menari. Amalan itu berlanjutan sehingga awal tahun 70an. Orang Melayu semuanya beragama Islam, demikianlah tercatat di dalam perlembagaan negara, apabila menafsirkan pengertian Melayu itu.
Orang Islam diajar di antara pantang larang atau perkara yang diharamkan mereka melakukannya ialah minum arak, bergaul bebas lelaki dan perempuan , berjudi dan lain-lain yang termaktub di dalam al.Quran. Ketika orang Melayu cuba mematuhi ajaran yang baik itu tiba-tiba muncul orang Putih di tengah masyarakat Melayu atasan dan juga rakyat biasa. Kehidupan atau cara hidup orang Putih mempengaruhi kehidupan orang Melayu.
Ketauhidan kepada Allah tercabar, lantas menjadi cair dan terpengaruh pula dengan kehidupan orang Putih yang sangat menghiburkan di dunia ini, walau pun rasa seronok dan terhibur itu hanya sementara sahaja. Memilih cara hidup orang Putih itu mengikut fahamanku itulah yang dikatakan minda terjajah kerana pilihan yang dibuat itu adalah perkara yang dilarang dan diharamkan oleh Islam.
Aku pernah menghadiri majlis Sambatun Jubli Intan di sebuah sekolah terkenal pada suatu ketika dahulu di mana tetamu khas dihidangkan dengan minuman keras (arak), orang Islam dan bukan Islam menikmatinya dalam keadaan selesa walaupun di depan orang Islam lain yang tidak meneguk air haram itu. Pada pendapat aku ini adalah salah satu kesan penjajahan British. Aku harap para pembaca jangan percaya sangat artikel ini , sebab aku bukanlah pakar sejarah Persekutuan Tanah Melayu dan ditambah pula aku bukan berkelulusan mana-mana universiti sama ada di dalam atau di luar negeri. Aku hanya sekadar menceritakan pengalaman hidupku sahaja.
3 - Ketika sambutan kemerdekaan dilangsung dan dilaungkan buat kali pertama, aku juga melaungkan merdeka, merdeka, merdeka kerana usiaku pada ketika itu melebihi 7 tahun, bermakna aku sudah pun bersekolah.Aku juga masih ingat kawan-kawanku buat lawak dan berjenaka dengan pantun bercampur aduk dengan bahasa Siam, liriknya seperti berikut " Merdeka sakin, mai dai kin saka", ungkapan "merdeka sakin " aku sendiri pun tidak mengetahui maknanya tetapi bagi ungkapan berikutnya aku faham maknanya iaitu ' mai dai kin saka" bermakna " tidak boleh makan gula", agaknya sebelum merdeka susah hendak mendapatkan gula, agaknya sahaja. Kisah ini juga pada pendapatku ianya termasuk dalam kategori songsang dan celaru jika kita menjuruskannya kepada kenyataan yang menyatakan negara ini tidak pernah dijajah.
4 - Kita juga sering melihat seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah dengan perpakaian lengkap dan bertudung kepala, kelihatan begitu bersopan dan taat tetapi ibunya pula yang tidak memakai kerudung/mini telekung, keadaan ini juga menghasilkan kecelaruan. Lebih celaru lagi kalau sebahagian besar anak murid memakai mini telekung tetapi pengetua atau guru besar wanitanya pula tidak memakainya sedangkan dia juga dituntut berbuat demikian. Pernah kita lihat juga di dalam suatu mesyuarat yang besar 99% wanita memakai mini telekung tetapi yang menjadi pengerusinya pula mengabaikan kewajipan tersebut. Ini juga di dalam situasi celaru, situasi ini siapakah yang menegur siapa. Dalam suatu keadaan yang lain seorang ibu tua memakai pakaian menutup aurat berjalan bersama anak daranya yang memakai pakaian serba ketat , adakah ibu itu berpakaian demikian kerana beliau sudah tua dan anaknya pula masih muda, maka pakaian itu disesuaikan dengan usia masing-masing, jika merujuk kepada kewajipan berpakaian di dalam Islam, situasi ini juga menimbulkan kecelaruan.
Aku rasa banyak lagi kisah dan peristiwa songsang dan celaru ini, akhirnya artikel ini juga songsang dan celaru. susah nak faham sebab isi kandungannya disusunatur bercelaru...hehe..maaf ya.
Kursus Perdana Haji Negeri Selangor Darul Ehsan -1432 Hijrah - Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.Shah Alam.
Semua perbuatan atau amali yang dilakukan hanyalah sebagai simulasi sahaja ( Jangan berniat ihram kerana sekarang telah pun masuk bulan haji, ditakuti berlaku betul-betul ihramnya ).
Penerbangan pertama membawa tetamu Allah ke Arab Saudi (Mekah) pada tahun ini akan bertolak dari KLIA pada 29 Sept. 2011, kuota yang diluluskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk Malaysia ialah seramai 28.000, demikianlah makluman yang tidak rasmi yang diperolehi melalui perbualan dengan jamaah Haji yang menyertai kursus perdana pada 17/18 Sept.2011 di Masjid Negeri (MSSAS) Shah Alam,Selangor.
Jom, tonton video.
Simulasi - Wukuf di Padang Arafah.
Simulasi - Jamaah Haji bertawaf.
Simulasi Jamaah Haji bersae dibuat di sini - dah siap.
Makan, rehat dan sembang.
Sedang menunggu bermulanya majlis penutup - kemudian peserta kursus haji akan balik ke destinasi (kampung) masing-masing membuat persiapan seperti membeli barang keperluan yang akan di bawa ke Tanah Suci dan tugasan lain, termasuk memantapkan rohani.
Kursus Perdana Haji Negeri Selangor Darul Ehsan - Di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Shah Alam; Selangor.
Kursus Perdana Haji telah dilangsungkan dengan jayanya pada 19-20 Syawal 1432/17-18 Sept.2011, berikut video yang sempat dirakamkan oleh penulis Kehidupan Bersih, mungkin wajah anda juga kelihatan di dalam video. Ibadat Haji adalah suatu ibadat yang sepenuhnya menggunakan tenaga badan atau praktikal kecuali niat, segala bacaan yang dikumandangkan adalah bacaan sunat. Daftarlah sekarang untuk kemudahan anda pada masa akan datnag kerana permintaan semakin tahun semakin ramai , pendaftaran kini memerlukan masa yang lama untuk dimasukkan ke dalam calon terpilih menjdai tetamu Allah, kalau pendaftaran dibuat pada tahun ini, mungkin pada tahun 2030 akan terpilih ( yang pasti bertanyalah kepada urusetia Tabung Haji )