Tuesday, April 12, 2011

Manfaatkan kemahiran menggunakan internet untuk berdakwah.

Salam semua.

Kemajuan teknologi kini telah berjaya menyusup masuk ke dalam setiap rumah dan pejabat,khasnya mengenai penggunaan internet, dianggarkan hampir seluruh kampung telah mempunyai kemudahan tersebut, kebolehan dan kemahiran menggunakan internet telah meningkat dengan cepatnya terutamanya di kalangan anak-anak muda. Blog, facebook, twitter tidak lagi asing bagi mereka.

Blog,facebook dan twitter telah menjadi tumpuan masyarakat kini mendapatkan maklumat selain televisyen, media ini sama juga seperti media yang lain di mana ianya boleh diperalatkan untuk kebaikan dan kejahatan, terpulang kepada kebijaksanaan penggunanya.Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Artikel ini ingin mengajak anda supaya sama-sama membuka minda dan membuat sedikit percambahan fikiran ke arah kebaikan, khasnya kepada mereka yang mempunyai kemahiran menggunakan media maya yang disebutkan di atas. Idea ini tercetus setelah penulis melihat seorang penjual kuih-muih dan menjaja kuih-muihnya dengan menggunakan kereta surung, di mana berbagai kuih-muih dijualnya setiap petang, sedangkan beliau sendiri bukanlah seorang yang pakar membuat kuih-muih.

Namun demikian setiap petang kereta surungnya dipenuhi dengan kuih-muih yang lazat-lazat dan gerai atau kereta surungnya sentiasa dikerumuni pelanggan tetapnya setiap petang. Rupa-rupanya beliau mengambil kuih-muih dari kenalannya yang mahir membuat kuih-muih tersebut, tugas beliau hanya memasti atau menentukan kualiti kuih-muih tersebut supaya rasa kelazatannya kekal dan istiqamah, mana-mana kuih yang tidak mencapai piwaiannya akan ditolak, beliau sangat tegas dalam hal tersebut .

Kesimpulannya penjual kuih tidak semestinya terdiri dari mereka yang mahir atau pakar dalam bidang membuat kuih-muih. Perkara yang penting ialah mereka perlu bijak memanfaatkan kuih-muih yang lazat itu dan mendapatkan kerjasama dan sumbangan mereka yang pakar dalam bidang tersebut.


Jom, kita andai dan ibaratkan media maya seumpama kereta surung yang digunakan oleh penjual kuih-muih sebagai alat dan perantaraan serta pendekatan berdakwah masa kini. Kuih-muih ditukarkan sebagai artikel-artikel menarik mengenai ajaran Islam yang dihasilkan oleh saudara kita yang terpapar di blog, facebook atau twitter mereka dengan cara dan perubahan sikap ini akan bertambah ramai lagi pendakwah di alam maya, sekali gus dapat bersaing dengan artikel-artikel yang kurang sihat yang banyak terpapar di medium yang sama.

Mereka yang memahami ajaran Islam dan menyedari bahawa artikel mengenai ajaran Islam yang sumbernya berasal daripada al.Quran dan Hadis seharusnya diisytiharkan sebagai tiada hak cipta melainkan hak Allah semata-mata. Maka semua manusia boleh memanfaatkannya secara yang berhikmah. Dengan itu dapatlah kita merealisasikan ayat
[104] dari surah Ali-Imran yang bermaksud;

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".


Oleh itu saudara Islam lain yang kurang berpengetahuan mengenai Islam dan tidak mampu menulis sesuatu artikel mengenainya tetapi mempunyai kemahiran ICT dapatlah mereka menyalin (copy) dan menyebarkannya melalui blog, facebook atau twitter mereka.


Sekian...wallahu aklam.

Sayang Sarawak (puisi)

Salam semua.
Klik imej untuk pindah ke Facebook.
__________________________

Naik kayak sungai diredah.
Udara nyaman disukai merbah.
Sayang Sarawak sungainya indah.
Tempat kediaman udang galah.

Di dalam hutan hidupnya biawak.
Serupa buaya ia merangkak.
Sepanjang tebing tumbuhnya balak.
Hasil mahsul negeri Sarawak.

Balak diukur dan ditebang.
Dijual kepada para pedagang.
Hasilnya banyak berupa wang.
Ada bocor, ada juga dipegang.

Sejak dahulu menjadi kemusykilan.
Mengapa projek lambat diusahakan.
Bekalan air masih air hujan.
Pengangkutan juga tidak cukup jalan.

Benarkah ini suatu kenyataan.
Mungkin cuma suatu kekangan.
Atau pemimpin buat ringan.
Di mana duduknya kenyataan.

Sunday, April 10, 2011

Surah al.Fajr ( Ayat, bacaan dan terjemahan )

Salam semua.


Untuk mendengar bacaan klik di sini
( Bacaan: Abdullah al.Burimi )


[1]
Demi waktu fajar;
[2]
Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);
[3]
Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;
[4]
Dan malam, apabila ia berlalu; -


[5]
Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?
[6]
(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)
[7]
Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)
[8]
Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?
[9]
Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?
[10]
Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?
[11]
(Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).
[12]
Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.
[13]
Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;
[14]
Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)
[15]
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”
[16]
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”
[17]
Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya);
[18]
Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin;
[19]
Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),
[20]
Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba!
[21]
Jangan sekali-kali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya,
[22]
Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),
[23]
Serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya?
[24]
Ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!”
[25]
Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah.
[26]
Dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya.
[27]
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
[28]
“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
[29]
“Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
[30]
“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “
Sekian...wallahu aklam.

2 Dunia.(puisi)



2 Dunia.
Dunia nyata. Dunia media.
Bezanya ketara sehingga tidak tersangka.
Bukan bicara pahala atau dosa.
Bicara harta dan haloba.
Ada yang benci. Ada yang suka.
Bukan beristikharah tetapi ikut akal cuma.

Tuhan sentiasa ada, cuma manusia sering lupa.
Menyesal kemudian tidak berguna.
Biar ramai menyokong yang salah.
Kebenaran tetap akan terserlah.

Iblis syaitan memanjakan nafsu.
Terciptalah emosi dikala celaru.
Hilang kenyataan dan keimanan
Kebatilan dihias indah tidak berperi.
Bertahkta indah di puncak gunung.
Kelihatan umpama piala kemenangan.

Kalau tidak dilihat dengan mata.
Mengapa berbicara, bukankah itu ego semata.
Bukankah ego itu sesat dan lagha.
Lancar berbicara tetapi tidak berpijak di bumi yang nyata.
Tanya diri sendiri terbongkarlah kenyataan.
Hanya karangan yang dicipta reka.
Mengharapkan markah untuk kemenangan jua.
Agaknya itulah tanda akhir zaman.






Thursday, April 7, 2011

Surah al.Jumuah.( ayat,bacaan dan terjemahan)


Salam semua



Untuk mendengar bacaan.

1 - Klik di sini


Atau


























Terjemahannya.

[1]
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[2]
Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
[3]
Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka; dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4]
(Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w, kepada umat manusia seluruhnya) itu (yang menjadi rahmat) adalah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[5]
(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
[6]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai orang-orang yang berugama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar!”
[7]
Dan (sudah tentu) mereka tidak akan bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang mereka telah lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.
[8]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.
[9]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),
[10]
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
[11]
Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.

Sekian...wallahu aklam.